Followers

Friday 18 October 2013

VISUALISASI IMEJ FOTOGRAFI SENI BINA MASJID TRADISIONAL MELAKA.


                              1.      PENDAHULUAN

         Pengiktirafan Melaka oleh UNESCO pada 7 Julai 2008 sebagai Bandaraya Warisan Dunia telah memberikan impak positif kepada kedatangan pelancong ke Melaka dan telah menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang terunggul  dalam lakaran peta dunia. Pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia dalam kategori tapak budaya berdasarkan kepada ciri-ciri budaya, peninggalan sejarah, warisan budaya dan seni bina yang telah bertapak sejak 752 tahun bermula sejak kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Melaka sememangnya telah terkenal sebagai pusat perdagangan dan kebudayaan yang lampau dan menjadi penghubung kepada kuasa Timur dan Barat. Peninggalan warisan ini melambangkan kepelbagaian 'berbilang kaum dan budaya yang luas telah membentuk identiti kebangsaan (Johar 2011). Kekayaan warisan kebudayaan Melaka yang terdiri daripada masyarakatnya yang berbilang kaum serta penuh dengan suasana keharmonian mempesonakan. Melaka sememangnya merupakan satu destinasi yang sesuai untuk penggemar sejarah. Penaklukan Melaka oleh kuasa asing, terutamanya Portugis, Belanda dan Inggeris, telah membentuk satu keunikan identiti Melaka yang masih boleh disaksikan sehingga hari ini sebagai bukti keagungan sejarah silam. Selain itu, hasil daripada penggabungan budaya pelbagai bangsa selama lebih 752 tahun melalui perkahwinan silang budaya antara rakyat tempatan, pedagang serta kuasa asing sebagai salah satu faktor yang menjadi perhatian para pelancong untuk datang melawat Melaka. Interaksi dan pertukaran budaya ini telah melahirkan masyarakat Baba-Nyonya, Eurasian-Portugis dan Chitty

Melaka kaya dengan hasil tinggalan silam dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah untuk dilawati. Salah satu daripada warisan ini ialah seni bina masjid yang telah menjadi lambang penyebaran dan kebangkitan seni bina Islam di nusantara.  masjid-masjid di Melaka terkenal kerana seni binanya yang penuh bersejarah sinonim dengan kegemilangan Melaka suatu ketika dulu. Malah di Melaka jugalah terletaknya masjid tertua di negara ini. Apabila kita membincangkan mengenai seni bina tradisional masjid Melaka, akan terbayang dalam ruang pemikiran kita mengenai hiasan bumbungnya yang curam dan bertingkat tirus serta menara yang besar yang mengambil gaya seni bina cina.Kesemua seni bina ini menjadi lebih bererti dan dapat didokumentasikan dengan imej fotografi. Imej seni bina atau Architecture Photography, memerlukan kemahiran dalam penggunaan teknik-teknik seperti pencahayaan, komposisi dan elemen asas rekaan yang perlu digunakan untuk mendokumentasikan seni bina masjid lama Melaka. Joseph Nicéphore Niepce, yang merupakan pelopor imej seni bina, berjaya merakamkan sekeping gambar seni bina pertama yang bertajuk Lihat dari View From The Window at Le Gras yang dihasilkan pada 1826 atau 1827 telah menjadi masyhur sehingga ke hari ini. Pada 1827, Nicephore Niepce telah menghasilkan ‘asphalt-coated plate’ yg didedahkan selama beberapa jam untuk merakam imej dari tingkap rumahnya. Beliau telah menamakan teknik tersebut sebagai ‘heliograph’. Ciptaan ini telah mencatat sejarah penemuan dalam bidang fotografi sekali gus menjadikan ia sebagai pelopor kepada bidang fotografi seni bina.

Salah seorang tokoh fotografi seni bina yang telah menghasilkan karya imej seni bina yang mengagumkan iaitu William Henry Fox Talbot di mana telah menghasilkan imej jendela berkisi di Lacock Abbey pada tahun 1844.Pada masa yang sama, Louis Jacques Mande Daguerre dan William Henry Fox Talbot telah melakukan eksperimen untuk merakam imej beberapa minit sahaja dan menghasilkan teknik Daguerreotype. Fox Talbot tidak dapat menghasilkan teknik yang lebih terperinci seperti Daguerre tapi beliau berjaya menghasilkan ‘plate’ pertama yang membolehkan cetakan dilakukan berkali-kali pada imej yang dirakam. Ia mempunyai fungsi yang sama seperti filem. Teknik tersebut semakin popular dan menghasilkan inovasi penciptaan kamera. Pada tahun-tahun berikutnya, teknik Daguerreotype telah merangsang jurugambar menghasilkan koleksi imej-imej seni bina dan bangunan dan menjadi elemen terpenting dalam buku dan majalah. Pemasangan Eifel Tower pada tahun 1988 juga telah dirakam menggunakan fotografi .Semenjak itu penggunaan fotografi seni bina telah digunakan secara meluas untuk memperkenalkan budaya dan reka bentuk bangunan sesuatu negara. Malah ia juga digunakan sebagai kaedah dokumentasi utama dalam merakamkan sesuatu seni pembinaan.



Sepanjang sejarah fotografi, seni bina bangunan telah menjadi subjek yang sangat bernilai, baik dari aspek estetika atau menunjukkan perkembangan budaya sesuatu komuniti masyarakat. Imej seni bina bangunan juga dapat mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap keunikan atau keindahan hasil seni bina yang amat penting bagi menunjukkan identiti sesebuah masyarakat. Menjelang 1860-an, fotografi seni bina telah mula berkembang dan mula menjadi medium visual yang mantap. Penglibatan fotografi senibina bermula pada kurun ke-19 seiring dengan penemuan ciptaan fotografi iaitu ‘silver halide’. Lukisan-lukisan senibina 2D telah mula dilakukan untuk menggambarkan objek 3D. Semasa zaman ‘Baroque’ (Figura 3), lukisan telah dijadikan salah satu item utama dalam melengkapkan pembinaan bangunan terutamanya pada dinding dan siling gereja. Lukisan ini bertujuan memperindah dan menampakkan ruang yang lebih luas. Lukisan-lukisan senibina diperbaiki semenjak kemunculan kamera obscura oleh Bernado Bellotto untuk menghasilkan lukisan seni bina yang lebih realistik. Idea tersebut diperoleh dari zaman Renaissance, cuma di zaman Bellotto telah tercipta kamera kotak yg lebih canggih dimana lensa telah diletakkan di depan kotak dan dipancarkan ke atas permukaan kaca hijau bagi memudahkan pelukis menghasilkan lukisan yang mempunyai perspektif. Kaedah tersebut dianggap berjaya dalam penambahbaikan penghasilan lukisan yang lebih realistik. 

Pada awal pertengahan abad ke-20 , fotografi seni bina menjadi lebih kreatif apabila jurugambar mula mengkaji pelbagai di antaranya ialah teknik garis pepenjuru (Perspective), menitikberatkan aspek pencahayaan dan memasukkan elemen bayang-bayang (Shadow) dalam menentukan komposisi mereka bagi menjadikan imej seni bina tampak hidup. Pada awal 1950-an, arkitek telah mula menyedari kepentingan fotografi, mula mengupah jurugambar yang ditugaskan untuk kerja-kerja dokumentasi. Perkembangan sihat ini telah menjadikan fotografi seni bina yang dilihat sebagai lebih daripada satu bentuk seni semata-mata malah bertindak sebagai petunjuk aras kepada perkembangan dan kemajuan sesuatu budaya masyarakat.

Kertas kerja ini akan membincangkan  mengenai peranan dan kepentingan fotografi sebagai medium untuk merakamkan disebalik senibina dan persekitaran masjid masjid tradisional Melaka dengan menggunakan teknik HDR(High dynamic range imaging).Medium ini dijadikan sebagai kaedah alternatif untuk menghasilkan imej fotografi melalui penggunaan cahaya. Bidang fotografi sebenarnya bermula daripada satu lukisan gua yang membuktikan kepada fakta bahawa manusia sentiasa ingin merakam dirinya sejak dari dulu (Jacob 1993) Ini jelas menunjukkan bahawa bidang fotografi telah cuba diterokai sejak zaman awal peradaban manusia dan sangat berkait rapat dengan sosial komuniti masyarakat. Untuk mengkaji sejarah, imej fotografi memainkan peranan yang luar biasa melalui perjalanan merentasi masa. Kandungan setiap gambar adalah sejarah. Ia menunjukkan masa asal imej yang sentiasa pada masa lalu ke masa di mana ia dilihat (Gilloch 2002). Imej fotografi , bukan hanya sekadar mengabadikan sebuah gambar, tetapi kita perlu melihat bagaimana gambar itu memiliki cerita yang ingin disampaikan.

2.      FOTOGRAFI DALAM KANDUNGAN SOSIAL DAN BUDAYA.

Imej fotografi merupakan satu medium yang berkesan mempunyai peranan penting meniti perkembangan visual di tanah air kita. Ketika imej ( photograph) mampu mewakili kebenaran dan realiti pula dibandingkan dengan kata-kata ( text ), maka dalam kehidupan seharian ini sudah semestinya akan menghasilkan perkembangan teknologinya dalam menampilkan perkembangan masyarakat serta budaya untuk menjadi tatapan dari satu generasi ke satu generasi. Imej fotografi juga berperanan untuk berkomunikasi makna. Ianya mempunyai makna yang jauh lebih mendalam dan boleh difahami tidak mengira perbezaan bahasa . Imej Fotografi juga boleh bertindak sebagai alat komunikasi dan sebagai satu cara berkongsi pengalaman dan menyampaikan maklumat (Dijck 2011).Transformasi dunia fotografi juga berlaku begitu pantas sehingga melahirkan inovasi dalam bidang baru iaitu fotografi digital. Justeru itu, maksud kandungan setiap gambar merupakan rakaman sejarah yang sentiasa menunjukkan garisan masa serta perlakuan lepas akan menjadi tatapan kepada masyarakat pada masa hadapan. Selain itu, imej fotografi juga akan memaparkan gambaran sesuatu tindakan dan peristiwa yang telah berlaku seperti bidang sosial dan budaya masyarakat. Contohnya sekeping gambar mampu menceritakan perkembangan peradaban budaya masyarakat Melayu meliputi sosial ekonomi dan adat kehidupannya. Imej tetap fotografi, tidak seperti imej yang dihasilkan daripada video, tidak mudah menunjukkan peredaran masa, tetapi ia menunjukkan kepada kita bahawa masa telah berlalu (Tim 2002). Bidang fotografi telah berubah secara radikal mengikut peredaran semasa dengan meliputi keseluruhan kehidupan masyarakat secara tidak sedar dan ia menjadi penting kerana ia amat berkait rapat mengenai sesuatu wawasan, ingatan dan kebudayaan(Howie 2007). Imej fotografi merupakan salah satu cara manusia berkomunikasi secara bukan lisan. Ianya mempunyai ciri-ciri penghantaran mesej yang kompleks kepada penonton dengan kadar pemahaman yang besar, boleh dipercayai serta mampu difahami oleh seluruh masyarakat yang pelbagai.

            Di dalam penelitian mengenai sejarah Melaka, ianya bergantung kepada beberapa sumber untuk membuktikan bahawa sesuatu sejarah tersebut adalah benar dengan bukti tertulis dan tidak tertulis. Bukti tidak tertulis ini mempunyai pelbagai cara iaitu dengan meneliti dokumen arkib seperti filem, foto, monograf dan lain-lain yang dapat dijadikan bahan untuk menerangkan sesuatu fakta bagi meneliti sejarah. Bukti atau foto sejarah ini menjadi suatu medium yang sangat penting dalam mengungkapkan peristiwa sejarah sehingga dapat memudahkan seorang sejarawan mahupun budayawan untuk mengetahui mengenai maklumat sesuatu peristiwa atau cara hidup zaman tersebut. Imej fotografi dapat menggambarkan emosi yang berlaku di dalam sesuatu peristiwa seperti contoh imej fotografi yang menggambarkan kemeriahan rombongan Tunku Abdul Rahman di Bandar Hilir Melaka yang menjadi saksi perisytiharan tarikh kemerdekaan. Peristiwa ini berlaku pada 20 Februari 1956 apabila Tunku mengisytiharkan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan negara amat unik kerana ia dicapai melalui meja rundingan tanpa melibatkan penumpahan darah kemerdekaan Malaysia yang dapat menceritakan kegembiraan, penderitaan dan penat jerih setiap detik dalam sejarah rentetan dari zaman pergerakan kemerdekaan, mencapai kemerdekaan sehingga ke zaman pembangunan negara yang telah berlaku selama hampir 54 tahun. Semua imej foto tersebut telah menggambarkan bagaimana keadaan waktu itu sehingga dapat dimanfaatkan dan menjadi rujukan oleh generasi lain agar dapat menceritakan kembali kisah sejarah yang diturunkan kepada setiap generasi.

            Kita harus menyedari bahawa imej fotografi merupakan salah satu elemen terpenting dalam komunikasi yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Ramai yang gemar menggunakan perkataan yang mengatakan ‘a picture is worth a thousand words’ atau lebih mudah memberikan maksud bahawa, fotografi telah dapat mewakilkan banyak kata-kata dengan hanya melihat pada sekeping gambar. Jika selama ini ramai orang telah beranggapan bahawa bidang komunikasi hanya berkisar kan kepada perbualan dua hala semata-mata , tetapi keistimewaan imej fotografi dapat mewakilkan kata-kata yang akan dikeluarkan .Menurut Laswel (1948), komunikasi memiliki makna “Who says what to whom in what channel with what effect” yang bererti “Siapa mengatakan apa kepada siapa, dalam perantara apa, dan dengan kesan apa”. Media merupakan satu medium yang digunakan sebagai perantara untuk penyampaian maklumat daripada sesuatu sumber kepada khalayak dengan menggunakan alat-alat komunikasi seperti surat akbar, film, radio, TV. Dalam Pengertian media , fungsi utamanya ialah memenuhi kehendak akan fantasi dan informasi .Dalam tugasnya sebagai penyampai maklumat, media memerlukan berbagai sumber masukkan atau input, dan di situlah fotografi memainkan peranannya. Fotografi juga bertindak sebagai sejenis medium komunikasi visual yang berfungsi sebagai alat untuk meluahkan perasaan atau keinginan tertentu. Imej fotografi adalah sama dengan nilai seribu perkataan, ia boleh memberitahu banyak cerita dan boleh merakam situasi dan pelbagai acara. Kita mungkin dapat melihat ekspresi wajah, alam sekitar, atau sejarah hanya dengan melihat imej fotografi. Keepler (1974) berpandangan dalam buku bertajuk "Masa Depan Anda dalam Fotografi" telah mentakrifkan definisi komunikasi visual dalam dunia fotografi seperti dengan lain-lain seni visual, makna imej fotografi mungkin mustahil untuk dimasukkan ke dalam perkataan.

            Fotografi memang sentiasa berkait dengan kebudayaan. Dengan bantuan visual fotografi, kita pasti dapat melihat dan memahami mengenai keindahan negeri dan uniknya suatu kebudayaan Melayu Melaka yang dapat digambarkan dengan baik. Agak mustahil apabila kebudayaan berserta perkembangan itu mengetepikan kepentingan imej fotografi. Kepentingan bidang ini sangat membantu kerana ianya mewakili sebuah tulisan, kerana walau ada tiga halaman tulisan tentang keindahan budaya negeri Melaka misalnya, dengan imej fotografi sahaja sudah mewakili semuanya (Triadi, 2012). Fotografi memang tidak boleh dipisahkan dari kebudayaan. Merujuk dengan negeri Melaka yang kaya dengan pelbagai warisan budaya yang memiliki nilai estetika yang tinggi terutama dalam bidang seni muzik seperti Dondang Sayang, Joget, Nazam, Zapin, pantun dan rebana keras. Walaupun kesenian tradisional ini pernah popular di kalangan masyarakat tempatan pada satu masa dahulu, kini kesenian-kesenian ini semakin dilupakan dan kurang diminati oleh golongan muda. Tidak banyak hasil karya imej fotografi mengenai kebudayaan Melaka telah disimpan dan didokumenkan. Kehebatan dan keindahan kesenian ini akan pasti hilang ditelan zaman dan tidak mustahil generasi akan datang akan melupakan keindahan kesenian ini memandangkan tiada usaha yang serius ditekankan bagi mendokumentasikan kesemua kesenian tradisional ini. Walaupun dokumentasi secara bertulis dilakukan, tetapi dokumentasi secara bergambar sangat kurang dilaksanakan. 

3.      KEPENTINGAN FOTOGRAFI MENDOKUMENTASIKAN  MASJID LAMA MELAKA

            Definisi Masjid secara umum membawa maksud “tempat sujud”. Jika dilihat dalam konteks fungsi dan peranan utama masjid ialah merupakan tempat berkumpulnya kaum Muslimin untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah . Akan tetapi, peranan masjid sebenarnya jauh lebih meluas bukan sahaja digunakan untuk menunaikan solat wajib, sunat atau Jumaat semata-mata, tetapi ia lebih banyak kepada hal ehwal permuafakatan komuniti dengan dianjurkan pelbagai program seperti ceramah agama, kelas membaca al Quran, sambutan maulid nabi atau tempat berlangsungnya majlis pernikahan, potong jambul, marhaban atau sebagainya. Keistimewaan masjid yang terdapat di negeri Melaka sememangnya terkenal kerana mempunyai warisan bangunan masjid yang mempunyai nilai sejarah dan identitinya yang unik dan mengagumkan kerana mempunyai seni rupa ukiran yang mempunyai konsep dan falsafah   yang tinggi di sebalik seni binanya (Jalid 1984). Seperti banyak masjid yang dibina di Negeri Melaka pada zaman itu, hiasan dengan pengaruh Cina digunakan untuk menghiasi masjid. Bahan-bahan seperti jubin seramik dan jubin lantai daripada kerajaan China Dinasti Chin juga digunakan. Motif-motif menghiasi tepian kubah masjid dan pembinaan menara batu menunjukkan ciri seni reka Melaka pada masa itu, dan dipengaruhi oleh reka bentuk pagoda orang Cina. Masjid Kampung Hulu contohnya yang terletak Melaka Tengah, Dibina dalam tahun 1728, Masjid Kampung Hulu di Melaka adalah masjid paling tua di Malaysia yang masih digunakan dan berada di tapaknya yang asal. Seni bina masjid ini dipengaruhi oleh seni bina Jawa. Keindahan seni bina daripada masjid-masjid lama ini, yang sudah pastinya dapat menarik minat baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk berkunjung ke Melaka.

            Bangunan masjid ini telah menjadi salah satu faktor dominan pelancong mahupun para penyelidik dari pelbagai bidang untuk melaksanakan pelbagai penyelidikan dan menghayati keindahan seni bina indah ini. Oleh itu, sudah menjadi keutamaan bagi Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara yang mempunyai inisiatif untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah ini bagi memastikan keaslian seni binanya masih lagi berada dalam keadaaan terpelihara dengan melaksanakan penyelidikan secara arkeologi. Dari seni bina masjid di Negeri Melaka jelas menunjukkan kebanyakannya menggunakan kubah berbentuk segi empat bertangkup seperti piramid dan di adun dengan kesenian umpama pagoda di bucu nya mahupun seni bina menaranya. Bumbung pula umpama atap adalah dari kesenian Melayu. Keunikan seni bina campuran ini menyerlahkan kepelbagaian budaya di Malaysia. Seni rekabentuk senibina berubah dari semasa ke semasa. Perubahan ketara dapat disaksikan dari perbezaan saiz itu sendiri. Bangunan lama lebih kecil dan padat manakala senibina baru lebih mencakar langit dan besar.Bangunan lama mempunyai keindahan estetika tersendiri. Pengimejan keseluruhan bangunan dilihat lebih efektif kerana keseluruhan keindahan bangunan dapat dipamerkan. Ciri-ciri disekeliling juga dapat membantu dalam menentukan keadaan bangunan tersebut contohnya seperti di atas bukit, batu besar, pokok besar atau sebagainya. Malah ia juga dapat membantu memberikan ruang pada imej.

          Penyelidikan arkeologi masjid ini juga sinonim dengan tata cara untuk memelihara, memulihara, membaik pulih dan melindungi data yang diperoleh dalam apa juga bentuk setelah penyelidikannya dijalankan (Asyaari 2009). Setiap penyelidikan arkeologi perlulah mempunyai tujuan atau hala tuju yang jelas bagi memastikan setiap langkah yang diambil dapat memenuhi piawaian dan memberikan manfaat kepada masyarakat secara umumnya. Menurut Asyaari (2009) yang telah membincangkan mengenai keperluan masyarakat umum untuk memahami ilmu arkeologi bagi mengkaji kehidupan masyarakat masa lampau dengan menggunakan pelbagai pendekatan disiplin di bidang sains sosial. Bermula dari survey arkeologi (primer dan sekunder), ia membawa kepada ekskavasi dan menganalisis sehingga dapat merekonstruksi kembali sejarah masa lampau . Penyelidikan Arkeologi sudah pasti amat memerlukan data daripada imej fotografi yang digunakan sebagai medium untuk proses dokumentasi kehalusan dan seni bina masjid lama Melaka. Imej fotografi di dalam penulisan ini telah digunakan sebagai medium untuk merakamkan keindahan seni bina masjid ini bagi membantu penyelidik melengkapkan dokumentasi yang bertindak sebagai data tidak bertulis. Menurut (W,Eisner  1999) yang merupakan salah seorang penyelidik pendidikan telah memberikan pandangan bahawa, fotografi boleh digunakan sebagai alat lain untuk meningkatkan penulisan penyelidikan budaya di samping menguatkan carta dan graf tipikal yang dahulunya sering digunakan sebagai fakta penyelidikan. Malah imej fotografi kini dapat menggabungkan ke dalam penulisan penyelidikan budaya yang boleh membuat tafsiran yang lebih mendalam yang sering tidak lebih digambarkan dengan kata-kata . Fotografi banyak digunakan telah menjadi alat yang popular untuk penyelidik, pendidik, dan profesional lain, terutamanya mereka yang bekerja dengan kumpulan yang terpinggir (Prins 2010).  

            Di dalam kajian ini, penyelidik telah menggunakan kaedah kerja lapangan Field Works di dalam proses memperoleh data. Penyelidik telah memilih untuk menggunakan kaedah pendekatan tradisional atau disebut sebagai lawatan lapangan bagi membentuk pengetahuan kandungan masjid dan mengumpulkan imej masjid yang telah dipilih (Marfizul 2011). Bagi menjalankan penyelidikan lapangan, ada beberapa format serta kesinambungan yang telah dilakukan bagi memastikan proses dokumentasi foto ini dapat dilaksanakan dengan lancar serta mendapat hasil visual yang bermutu . Penyelidik telah memilih dan menyenaraikan 7 buah masjid lama yang mempunyai kriteria mestilah berusia 100 tahun ke atas Proses rakaman fotografi dilakukan berasaskan 7 elemen seni, iaitu  garisan (line), bentuk(form), nilai (value), tekstur (texture), ruang (space) dan warna (color) untuk menzahirkan secara maksimum kecantikan serta keunikan sesebuah masjid tersebut bagi mendapatkan establish outdoor shot untuk luaran masjid iaitu gambar yang menunjukkan masjid tersebut secara menyeluruh dan establish indoor shoot untuk dalaman masjid. Di samping itu pelbagai motif, ukiran-ukiran, mimbar, ayat-ayat suci yang berada di dalam masjid tersebut diambil dan didokumentasikan. Kebanyakan bangunan lama mempunya nilai-nilai rekabentuk yang lebih terperinci di bahagian-bahagian tertentu. Rekabentuk-rekabentuk ini boleh dilihat selalunya di bahagian-bahagian seperti dinding, tangga, tingkap, tupai-tupai dan sebagainya. Ciri-ciri terperinci seperti ini selalunya lebih ditekankan pengimejannya kerana merupakan tarikan utama sesuatu senibina. Perincian-perincian ini sering menceritakan pengaruh seni yang dibawa dan menceritakan peristiwa pada waktu bangunan itu dibina. Pencahayaan dari tepi adalah yang terbaik untuk menonjolkan permukaan reka bentuk itu.

            Pencahayaan merupakan teknik yang paling penting untuk mendapat efek 3 dimensi sesuatu subjek. Waktu pagi merupakan masa terbaik untuk mendapatkan warna efek emas ke atas bangunan tersebut. Pencahayaan dari tepi juga mencipta bayang yang lebih menarik menjadikan ciri-ciri permukaan bangunan lebih menonjol dan menyerlah. Namun begitu pencahayaan dari belakang paling tidak sesuai untuk seni bina kerana tidak mempamerkan ciri-ciri estetika bangunan tersebut. Penggunaan lensa yang betul juga memainkan peranan yang penting dalam pengimejan seni bina. Imej yang ‘distort’ akan menyebabkan kondisi bangunan yang tidak betul dan tidak seimbang. Penggunaan ‘telefoto’ adalah yang terbaik di mana jurugambar akan mengambil dari jarak jauh untuk memastikan saiz bangunan simetri dan lebih tegak. ‘Telefoto’ juga dapat membantu mencipta efek abstrak di mana garisan-garisan pada reka bentuk bangunan lebih ‘parallel’ dan memberikan impak ‘surreal’ dalam imej. Setiap imej yang diambil menggunakan teknik HDR (High dynamic range imaging). Proses untuk merakamkan visual bagi masjid-masjid yang tersohor di Melaka merupakan satu proses yang melibatkan pengetahuan teknikal fotografi digital. Penggunaan fotografi digital ini bertujuan untuk menghasilkan satu visual yang baik serta menampakan kehebatan sesebuah masjid tersebut.Di dalam penyelidikan ini, elemen yang penting untuk keberkesanan serta perjalanan penyelidikan ini adalah perancangan tetapi apa yang paling utama ialah bagaimana kaedah pembentukan dan susun atur perancangan penyelidikan ini agar dapat membuahkan hasil dalam jangka waktu yang ditetapkan dengan hasil yang maksima.

            HDR (High Dynamic Range Imaging) merupakan satu kaedah yang digunakan dalam fotografi untuk menguasai lebih luas dinamik antara kawasan paling cerah dan paling gelap. Kaedah HDR perlu mengambil beberapa keping gambar yang mempunyai tahap pendedahan yang berbeza-beza (bracketing) bermula dari under exposure , normal exposure sehingga over exposure. Kesemua gambar tersebut perlu digabungkan dalam satu imej dalam pelbagai software seperti Adobe Photoshop dan lain-lain. Jumlah minimum gambar adalah sebanyak 5 keping bagi memastikan kaedah ini memperoleh kesan yang dikehendaki. HDR boleh dilaraskan tetapan untuk mendapatkan rupa atau contrast seperti yang dimahukan. Imej HDR boleh mewakili lebih tepat pelbagai tahap intensiti yang terdapat dalam pemandangan dan objek yang sebenar, Imej HDR juga dapat bertindak sebagai satu alat visual yang efektif kerana dapat menvisualisasikan sesuatu perkara dengan lebih konkrit, realistik dan lebih tepat. Kaedah ini mempunyai lebih kebaikan daripada teknik yang bukan HDR kerana kaedah sedia ada hanya mempunyai satu tahap pendedahan dan mempunyai perincian gambar yang terhad. Ini menyebabkan gambar yang dihasilkan akan kehilangan perincian dalam kawasan-kawasan yang terang atau gelap.

Sepertimana yang kita lihat, kecanggihan perisian komputer dan teknologi pada kamera telah menghasilkan pelbagai proses editing. Antaranya seperti proses HDR ini. Ia merupakan proses yang semakin popular di kalangan peminat fotografi sama ada di Malaysia atau luar. High Dynamic Range (HDR) foto memberikan efek kontra warna dan ketelitian lebih banyak dari foto yang biasa. Dengan ini, penghasilan foto HDR akan lebih menampakkan tekstur, warna, garisan dan jalinan pada subjek yang dirakam. Teknik editing yang relevan serta pengawalan pencahayaan pada kamera yang tepat akan menghasilkan imej HDR yang berkualiti serta lebih bermutu dari gambar biasa. Setiap perincian dalam editing akan diperhalusi untuk penghasilan yang bermutu. Pemprosesan dari gabungan beberapa imej foto dalam satu proses editing HDR berserta pengubahsuaian dari segi sentuhan teknikal, dapat dilihat membantu dalam mengurangkan kesan “noise” pada gambar dan memperhalus setiap bahagian di dalamnya. Selain daripada itu, imej seni bina masjid yang diambil adalah statik dan ini membuatkan penggunaan fotografi HDR menjadi sesuai mengikut subjeknya. Oleh yang demikian proses editing menjadi lebih mudah. Setiap perspektif, motif, ukiran serta warna yang di dokumentasi dapat dilihat dengan jelas dan menonjol dari imej fotografi yang biasa. Segalanya dapat dilihat dengan jelas serta terperinci sepertimana yang terdapat pada bentuk asalnya. 

Kemajuan yang lebih terkini dalam bidang HDR pengimejan telah dibuat pada tahun 1985 apabila Gregory Ward tampil dengan format fail RGBE dimana ia merupakan yang  pertama HDR format fail. Ia membenarkan maklumat warna untuk disimpan dalam piksel yang berasingan dan dimanipulasi mengikut kesesuaian. Seterusnya pada 1997 - Recovering High Dynamic Radiance Maps dari foto dilakukan oleh Paul Debevec.  Ini adalah di mana proses fotografi pertama yang dibuat penampilan yang dihasilkan ke dalam bidang foto HDR, dan Paul membangunkan kaedah menggabungkan  gamba yang berbeza bacaannya dengan menggunakan filem. Oleh demikian, proses semakin berkembang dari konvensional ke digital sehingga sekarang. Kepentingan editing di dalam kerja dokumentasi amat penting kerana ia membantu dalam menonjolkan jalinan serta keaslian pada imej terutama sakali pada ukiran dan warnanya. Sepertimana diketahui, masjid bersejarah di Melaka ini mempunyai reka bentuk dan ukiran yang menarik. Setiap sudut yang terdapat pada masjid dan hasil seni di dalamnya diteliti satu per satu lalu didokumentasikan dengan terperinci. Pengcahayaan dan sudut perspektif binaan dilihat secara menyeluruh agar ia dapat memberikan satu impak pada imej yang terhasil. Maka dengan teknik foto HDR ia dapat membantu dalam menghasilkan satu kualiti yang bermutu pada masjid tersebut.

Dalam menghasilkan fotografi HDR, berapa perkara utama perlu diambil beratkan agar imej yang terhasil lebih berkualiti dan tidak merosakkan keaslian fotografi. Ini antaranya seperti penambahan kontra, warna, serta penggunaan cahaya yang berlebihan dan tidak mengikut kesesuaian. Terdapat dua fasa cara kerja iaitu pengawalan pada kamera dan fasa kedua ialah proses edit di dalam computer. Aspek utama yang perlu diambil kira ialah “exposure” ataupun pendedahan cahaya pada sensor kamera agar ia tidak terlalu cerah dan terlalu gelap. Pengawalan teknikal dari segi “shutter speed” dan “aperture” amat dititik beratkan. Subjek mestilah tidak bergerak agar imej yang terhasil dalam keadaan pegun kerana ia akan diambil beberapa kali sebelum dimasukkan ke dalam perisian “Adobe Photoshop”. Setelah selesai dalam fasa pertama, seterusnya proses edit gambar akan dilakukan. Pada tahap ini, pengawalan warna, keserataan tekstur dan elemen keaslian fotografi harus dijaga rapi. Keaslian gambar harus dipelihara agar tidak kelihatan hasil yang terlalu berilustrasi dan penggarapan tekstur yang terlalu kasar. Konsentrasi pada pencahayaan dan warna dapat dikawal kerana terdapat aturan pada perspektif penambahan dan pengurangan untuk bahagian tersebut. Melalui penilaian dan kajian pada tona warna imej HDR yang lain pasti quality dan keaslian fotografi boleh dikawal dan diperhalusi sebaik mungkin.  

            Usaha memartabatkan dan memulihara warisan Masjid di Melaka memerlukan perancangan yang bersepadu dan tersusun yang melibatkan kerjasama sektor awam, pihak swasta dan komuniti masyarakat. Menurut Rais Yatim (2005), pembentukan sesuatu bangsa yang bertamadun dalam erti kata yang mempunyai budi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni, dan memelihara khazanah warisan adalah suatu proses membina negara bangsa yang tidak mungkin tercapai tanpa perancangan dan pemupukan yang terancang. Pelaksanaan perancangan kebudayaan, kesenian dan warisan perlu disertai pendekatan praktikal yang lebih menyeluruh hingga sampai ke akar umbi. Tiga strategi  perlu disusun dalam usaha memartabatkan warisan budaya di negeri Melaka iaitu dengan memperkukuh identiti seni budaya dan warisan, membina jati diri generasi muda dan perindustrian seni budaya dan warisan (Latif 2010).Imej fotografi boleh bertindak sebagai medium merakamkan seni budaya dan memelihara seni bina masjid Melaka , Imej yang digunakan dapat memberikan maklumat yang lengkap terhadap peristiwa , ragam hias dan fizikal bangunan masjid. Imej fotografi juga dapat menggambarkan identiti budaya Melayu Melaka sangat penting sebagai alat memartabatkan seni, budaya dan warisan. Matlamat pembangunan budaya yang dapat dianggap amat penting dan perlu diberikan perhatian serius ialah mempertingkatkan dan memperkukuhkan kedudukan identiti, terutama identiti budaya Melayu. Menyedari tentang pentingnya identiti akan dapat memperkukuhkan integrasi antara kaum. Identiti itu memberikan kesedaran terutama kepada generasi muda tentang sejarah peradaban negara. Dengan kesedaran itu dapat memupuk semangat kebangsaan dan cintakan negara.

Peranan Imej fotografi amat mempengaruhi di dalam merealisasikan perkara tersebut. Tidak banyak imej fotografi yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri kemelayuan yang memartabatkan identiti Melayu Melaka di persada dunia. Strategi pemantapan perlu dilaksanakan agar imej fotografi tempatan mempunyai identiti yang tersendiri dan mampu diterbitkan atau disebarkan pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Penerbitan yang dimaksudkan bukanlah sekadar diterbitkan dengan kulit keras (coffee table) yang mahal tetapi biarlah penerbitan yang dilaksanakan dapat memberikan input dan kesedaran kepada masyarakat serta mudah dimiliki. Kebanyakan jurugambar tempatan tidak berminat untuk membuat proses dokumentasi seni bina bangunan masjid ini kerana bidang ini tidak memberikan pendapatan yang lumayan dan secara terus kerana terfikir kan kesukaran untuk melaksanakan kajian dan kekangan masa yang diambil adalah terlalu lama. Kebanyakan jurugambar kini lebih gemar dan terlalu terikut-ikut dengan genre atau stail luar serta gemar memilih bidang yang lebih mempunyai impak yang tinggi atau bersifat komersial seperti bidang fashion atau pengiklanan produk yang kebanyakan merujuk stail daripada jurugambar antarabangsa. Imej fotografi dianggap sebenarnya sebagai medium yang boleh "bercakap" mengenai seni bina dan seni bina pula yang boleh "bercakap" mengenai fotografi dengan cara yang boleh membawa kita kepada kefahaman baru kedua-dua visual media yang semakin berkembang pesat. Pengetahuan jurugambar dengan penyelidikan yang mendalam perlu dilakukan agar imej seni bina masjid Melaka ini tampak hidup dan bertenaga.

            Ketika kerja lapangan dan penggambaran gambar Masjid Melaka dilaksanakan. Penyelidik dan jurugambar amat tertarik dengan konsep dan seni bina kebanyakan Masjid Melaka yang diambil dengan menggunakan medium fotografi yang bertindak sebagai alat untuk pemeliharaan mercu tanda. Ketika proses ini dilakukan, penyelidik telah mendapati bahawa kebanyakan seni bina masjid-masjid tradisional Melaka secara langsung mempunyai kaitan   rapat kebanyakan seni bina masjid-masjid tradisional di Nusantara Melayu ini seperti di Sumatera, Jawa, Banjarmasin dan Kelantan. Seni bina Masjid Melaka seakan-akan mengikut seni bina daripada Negara China. Tidaklah menghairankan kerana pada satu masa dahulu Melaka mempunyai hubungan diplomatik yang rapat dengan Negara China. Sejarah ini diperkuatkan lagi dengan perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po. Apa yang mendukacitakan sepanjang sesi penggambaran ini dilaksanakan, penyelidik telah mendapati bahawa proses pembinaan bangunan baru dan ubahsuai mungkin juga pemuliharaan seperti digemburkan telah dilaksanakan di Masjid Kampung Hulu dan Masjid Kampung Keling yang sebenarnya amat dikhuatiri boleh merosakkan identiti dan keaslian seni bina masjid lama ini. Sewajarnya pembinaan atau apa sahaja pemuliharaan blok bangunan ini perlu dilakukan pemantauan yang ketat oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia agar keaslian bangunan masjid dapat terus dipelihara. Penyelidik berpendapat, Di dalam proses perubahan corak seni bina masjid yang dikhususkan di negeri Melaka contohnya ,banyak nilai-nilai seni bina tradisi yang dilupakan telah menjadi mangsa kepada kemusnahan oleh pengabaian dan dirosakkan tanpa sedar ,Lihat sahaja seni bina masjid-masjid baru sekarang ini sebenarnya banyak di pengaruhi oleh nilai-nilai seni bina dari luar. Seni bina masjid-masjid tradisional Melaka juga akan tenggelam di dalam arus pemodenan sekarang ini (Jalid, 1984). Seharusnya masyarakat kita perlu prihatin dan menyedari akan hakikat ini dan mengambil tindakan  yang sewajarnya  untuk mengekalkan identiti  seni bina Islam tradisional di Melaka agar ianya akan terus terpelihara. Penggunaan kamera digital, serta kesan pengimejan digital itu sebenarnya telah pun memainkan peranan yang penting dan utama dalam pembangunan sektor promosi pelancongan (Esatcan, 2009). Oleh itu penghasilan imej yang cantik serta secara professional menggunakan dengan bijak teknologi yang ada masa kini mampu untuk melahirkan kecantikan serta nilai estetika sesebuah masjid tersebut.

4. PENUTUP

            Cabaran dan usaha memartabatkan warisan Masjid Lama negeri Melaka haruslah dipandang serius oleh pelbagai pihak. Pelaksanaannya membawa banyak manfaat kepada rakyat negeri Melaka secara amnya. Pengembangan imej fotografi boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas dan global. Walaupun estetika seni menjadi sesuatu elemen yang paling penting dalam kandungan imej fotografi pada peringkat awalnya, tetapi imej fotografi boleh digunakan untuk mempengaruhi pendapat penonton. Ini jelas menunjukkan bahawa jurugambar boleh mencipta realiti dalam erti kata tertentu tidak sebenar pada semua imej fotografi yang dihasilkan, untuk membuat satu titik atau memberitahu cerita. Secara realitinya, Kamera dicipta bukan sahaja untuk berfungsi menjadi canggih dari aspek teknologi dan mengetepikan cara konvensional seperti “bilik gelap”. Tetapi fungsi kamera lebih besar dalam Imej yang dihasilkan tidak perlu bersifat mudah, malah, jurugambar boleh mengubah imej yang dihasilkan. Manipulasi imej telah menjadi perdebatan yang mana ada sesetengah pihak berpandangan bahawa ianya telah melanggar objektif, etika dan peranan imej fotografi di dalam merakamkan sesuatu peristiwa, budaya dan sejarah. Fotografi menjadi sangat penting bagi seorang sejarawan mahupun budayawan untuk mengkaji peristiwa bersejarah negeri Melaka dengan menggunakan sumber fotografi dalam mengkaji sejarah. Imej fotografi telah menggambar situasi sebuah peristiwa dengan tepat dan tidak boleh dipertikaikan.

Seni bina Masjid lama Melaka boleh memainkan peranan yang penting dalam perkembangan pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, Masjid Lama Melaka sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri. Bangunan bersejarah ini amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Ia merupakan satu aset yang perlu dipelihara dan diwarisi .Dengan terdapatnya bangunan bersejarah ini, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat yang boleh memberikan hukuman kepada mana-mana pihak yang cuba merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang. Di samping itu langkah konsisten daripada badan berwajib dan masyarakat sendiri yang sentiasa memantau khazanah ini dari masa ke semasa agar ia sentiasa terpelihara dan bersih pada mata pandangan pelancong.

            Secara umumnya, Imej Fotografi boleh disamakan dengan melukis dengan cahaya, dalam maksud lain ialah melakukan proses rakaman unsur visual berdasarkan pembiasan cahaya. Dalam perkembangan teknologi, fotografi memiliki keunggulan dalam karya visual karena sifatnya yang realis (tepat) atau dalam kata lain menampilkan gambar yang seolah-olah hidup. Penceritaan imej yang mampu berkomunikasi dengan baik perlu merakamkan sesuatu objek atau peristiwa bagi mempengaruhi pandangan dan penglihatan penonton. Jurugambar perlu mempunyai kebolehan tertentu untuk memastikan permukaan abstrak imej daripada ruang dan masa dapat dirakamkan dengan tepat yang dikenali sebagai 'imaginasi'. Ia adalah syarat bagi mengeluarkan dan mengekodkan imej agar ia mampu menjadi medium komunikasi yang berkesan. Penonton perlu memahami permukaan imej dan mampu untuk mentafsir gambar. Dalam berbuat demikian, pandangan penonton perlu mengikuti laluan kompleks yang terbentuk  dalam hasil karya dengan memahami struktur imej dan objektif jurugambar tersebut. Kepentingan untuk mentafsir imej seperti yang didedahkan dalam proses imbasan itu akan mewakili sintesis dan mempunyai peranan iaitu bagaimana proses manifestasi dalam imej yang dilakukan .Penonton perlu memahami dan mengikuti bahawa imej mempunyai maksud 'bererti' (jelas) , 'connotative' (kekaburan) dan kompleks simbol. gambar-gambar dipersembahkan perlu mempunyai penjelasan kod, namun, tidak ada cadangan untuk bagaimana imej itu harus ditafsirkan untuk membolehkan individu untuk pemahaman subjektif oleh pembaca (Diaz 2012).Penonton perlu menyediakan ruang untuk membuat tafsiran. Dalam erti kata lain, keupayaan untuk merakamkan , membaca maklumat dan menceritakan kembali peristiwa, alam dan subjek ke simbol dua dimensi yang terdapat dalam imej tersebut seperti yang terkandung dalam bidang literasi visual.

            Imej fotografi telah mempunyai peranan untuk melestarikan budaya dan sosial dengan dokumentasi budaya. Media yang digunakan adalah dalam bentuk karya fotografi. Dengan imej fotografi, aspek masyarakat yang dijangkau akan lebih luas dengan dibantu oleh media yang lain seperti radio atau surat akbar yang hanya dinikmati serta di fahami oleh golongan tertentu serta terhad. Dengan keterbatasan untuk membingkaikan maklumat foto, setiap jurugambar dituntut untuk menghasilkan gambar yang mampu berbicara kepada setiap orang yang melihatnya. Imej fotografi tersebut mampu mempengaruhi perasaan orang yang melihat, serta mampu menggiring masuk imaginasi dalam situasi yang diciptakan oleh jurugambar. Imej Fotografi seperti itu akan mudah mempengaruhi persepsi masyarakat mengenai kebanggaan akan budaya Melayu Melaka. Masyarakat Melayu perlu bukan sahaja perlu mempunyai kebanggaan kepada warisan budaya semata-mata , tetapi mempunyai pemahaman dan penghargaan akan tingginya nilai budaya yang wajib diwariskan kepada generasi akan datang. Masyarakat Melayu Melaka akan menyedari kepentingan dunia fotografi yang menjadi sebahagian dalam mendokumentasikan budaya bangsa dan akan mengingatkan mereka sifat jati diri bangsa mereka.

            Sejarah hasil Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka ini telah menjadi kebanggaan seluruh rakyat negeri ini. Kegemilangan sejarah ini telah diteruskan lagi oleh pemimpin negeri Melaka yang mencetuskan wawasan untuk menjadikan Melaka terus melangkah ke hadapan sebagai status negeri maju. Sokongan hingga ke akar umbi dari barisan kepimpinan , rakyat dan turut disokong oleh jentera pentadbiran negeri telah berjaya menghadapi cabaran untuk memenuhi impian itu. Y.A.B Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan keseninambungan pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Idris Harun akan berjaya membawa negeri Melaka ke arah negeri maju yang lebih maju dan harmoni.  Bagi tempoh 10 tahun akan datang, kita boleh melihat bagaimana Melaka dapat mengharungi cabaran untuk menjadi negeri Bandar Teknologi Hijau yang pertama di Malaysia .MELAKA MAJU NEGERIKU SAYANG, NEGERI BANDAR TEKNOLOGI HIJAU.

@ Ini merupakan ringkasan kertas kerja seperti tajuk di atas. Kertas kerja ini telah dibentangkan di Seminar Antarabangsa Pengajian Melayu 2013 di Akademi Pengajian Melayu,Universiti Malaya pada 30 Ogos 2014.Kertas kerja ini juga telah dikemaskini dan dikembangkan lagi pada Seminar Kebangsaan ke 2 Arkeologi, Sejarah Dan Budaya Alam Melayu 2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 26 Hingga 27 November 2013. Jika anda memerlukan kertas kerja penuh bolehlah inbox kepada saya email pertauitm@gmail.com. 
   
SENARAI RUJUKAN
Ahmad, S.(1979). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan             Pustaka.

Amato, R. (2008). Photography: The Birth of New Media Art Tesis Master Of Fine Arts,    Faculty Of New Media  Art And Performance, Long Island University.

Ann, Sarah. (2010). Storytelling  and the Photographic Image: Interactions,  Boundaries  and        Displacements in Italian Culture,1839-2009. Tesis Doctor of Philosophy, University of California.

Aziz, A. (1965). Zaman Gemilangnya Kerajaan Melayu Melaka. Kuala Lumpur: Penerbitan          Pustaka Antara.

Asmad. (1983). Dokumentasi Seminar Sejarah Melaka. Melaka: Kerajaan Negeri Melaka.

Bajorek, J. (2010). Introduction: Special Section on Recent Photography Theory :The State in       Visual Matters. Theory,Culture & Society 27 (155): 6.

Barthes, R. (1980). Camera Lucida Reflections on Photography. New York: Hill and Wang.

Chong, Y. S. (1973). Cheng Ho Hubungan Melaka-China Pada Awal Abad Je 15 Nusantara.   Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Diaz, Amy.Catherine. (2012). Photography in Social Work Research: Using Visual Image to         Humanize Findings. Qualititative Social Work 20.

Duncan, K. (2013).Connecting with the Creator. (Cover Story).World Literature Today  87(2): 82-87.

Esatcan. (2009). Documentation Of Architecture: Photography As An Objective Tool?. Tesis         Ijazah Senibina (Architechture),Middle East Technical University

Fisher, J. I. M. (2013). Take Picture-Perfect Digital Photos. PC Magazine  134-141.

Gilloch, G.(1996). Myth and Metropolis:Walter Benjamin and the City.  Cambridge.

Gilloch, G. (2002). Pictures of the Past: Benjamin and Barthes on Photography and History.  European Journal of Cultural Studies  5(5): 14.

Gordin, M. (2013). Conceptual Photography. (Cover Story). World Literature Today  87(2): 76-81.

Hanafiah, R. A. (2002). Komunikasi Dalam Tradisi Melayu. Persidangan Teori dan Pemikiran      Melayu Serantau.Anjuran Gedong Nasional, Tanjung Balai Karimum,Indonesia.

Hashim, M. Y.(2005). Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

Howie, E. (2007).Photography’s Courtly Desires:Jacques Lacan, Roland Barthes, and the Photographic Beloved.Tesis Doctor of Philosophy Department of Art,University of North Carolina.

Ibrahim, M. (2009). Tun Perak Pencetus Wawasan Empayar Melaka. Kuala Lumpur: Tinta Publishers.

IKSEP, (2011). Seminar 750 Tahun Melaka Merentas Zaman: Laman Web. Diambil dari laman web http://www.iksep.gov.my.

Irvin, S. (2012). Artwork and Document in the Photography of Louise Lawler.  Journal of Aesthetics & Art Criticism  70(1): 79-90.

Jalid, H. (1984).Masjid-Masjid Tradisional Melaka,Pengaruh Dan Nilai Senibinanya.Tesis Diploma Senibina, Kajian Senibina Perancangan dan Ukur,Universiti Teknologi Mara,Shah Alam.

Jacobs, K. (1993).The Use of Photography to Explore the Meaning of Health among Adolescents with Cancer Issues in Comprehensive Pediatric Nursing  16(3): 164.

Kim, K. K. (1982). Melaka Dan Sejarahnya. Melaka: Persatuan Sejarah Cawangan Melaka.

Langford, M. J. (1982). The Master Guide to Photography. New York: Knopf.

Latif, A. (2010). Pembinaan Jatidiri Melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun. Institut Seni Melaka Malaysia 2(13).

Magee, C. (2007). Spatial Stories: Photographic Practices and Urban Belonging. Africa Today  54(2): 109-129.

Marfizul,A.(2011). Masjid-Masjid Tersohor Di Malaysia: Penceritaan Melalui Visual Fotografi.
            Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Manguel, A. (1999). Reading Pictures. Index on Censorship  28(8): 3.

O’Neil, K. E. (2011). Reading Pictures: Developing Visual Literacy for Greater Comprehension.  Reading Teacher  65(3): 214-223.

Perbadanan, Muzium. Melaka.(1998). Melaka Pengamatan Melalui Lukisan Dan Diodrama.   Melaka: PERZIM.

Prins, E. (2010). Participatory Photography: A Tool for Empowerment or Surveillance?  Action Research  8(18).

Shahizan , Hasrul.H & Normah.M. (2012). Freedom of Photography the Malaysian Scenario: A Vital Element of Press Freedom.  Asian Social Science  8(5): 8.

Shamsie, K. (2013). The Missing Picture, World Literature Today. 87: 10-13.

Szto, P.   (2008).   Documentary Photography in American Social Welfare History: 1897-1943.  Journal of Sociology & Social Welfare 35(2): 91.

Triadi, D.(2012). Fotografi Dan Budaya Tak Terpisahkan. CekRicek Editor. Editor, C. Indonesia. 2013.

W.Eisner, E. (1998). The Englightened Eye: Qualititative Inquiry and the Enhancement of Educational Practice.   New Jersey: Upper Saddler River.

Yamada-Rice, D. (2011). New Media, Evolving Multimodal Literacy Practices and the Potential Impact of Increased Use of the Visual Mode in the Urban Environment on Young Children's Learning.  Literacy  45(1): 32-43.