Followers

Saturday 5 September 2015

APA NASIB MASA DEPAN BIDANG FOTOGRAFI DI MALAYSIA?

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdullilah, Sudah lama juga rasanya saya tidak menjengah blog saya, pada kali ini, hati saya tergerak untuk membincangkan satu perkara yang amat penting dan perlu diberikan perhatian dari seluruh keluarga Fotografi. Tidak kisahlah dari genre mana, tetapi artikal ini sebagai satu cara untuk saya meluahkan rasa hati dan kegusaran mengenai masa depan bidang ini di Malaysia. Kegusaran ini bermula setelah saya bersembang dengan sahabat-sahabat saya dari industri dan ketika saya menyemak satu permohonan dokumen bagi tujuan akreditasi. Kali ini saya tidak akan memetik atau sama sekali menyebut mana-mana nama individu kerana saya tidak mahu disalah anggap menggunakan populariti beliau. Sebagai satu penegasan, saya tidak berminat untuk mencari populariti, 

Sebelum saya mengulas lebih lanjut lagi, satu persoalan yang bermain di fikiran saya ialah dan mahu dikongsi bersama dengan para pembaca, apakah yang membezakan seorang Jurugambar Profesional dengan Camera Operator?. Adakah kita ini digelar profesional atau semata-mata menurut arahan dari pihak-pihak tertentu. Adakah kita mampu membina konsep dan idea kita sendiri atau kita hanya menurut arahan daripada agensi yang sudah menentukan konsep untuk kita. Persoalan ini sebenarnya yang bermain difikiran saya. Sebelum saya mengupas lebih lanjut lagi, apakah nasib pelajar-pelajar kita apabila sudah graduated. Adakah mereka ini akan bergelar jurugambar profesional atau sekadar camera operator?. Lambakan kursus fotografi yang ditawarkan di IPTA, Politeknik, Kolej Komuniti dah IPTS, adakah ianya sudah menurut keperluan industri?.

Berbalik kepada persoalan ini, ingin saya tegaskan bahawa Saya dan semua rakan-rakan pensyarah bukanlah dikira sebagai profesional photographer, kami adalah ahli akademik. Ahli akademik merupakan tenaga pengajar untuk melahirkan jurugambar. Kami bukan jurugambar, melainkan ada sesetengah ahli akademik yang membuka studio sendiri. Mungkin mereka membuka studio adalah untuk mengasah pengetahuan mereka dan ingin menimba pengalaman serba sedikit dengan permainan industri. Secara ikhlas, saya juga ada kemahuan untuk membuka studio dan merasai sendiri bagaimana untuk bekerja dan memahami industri. Tetapi, saya tidak mampu membuat dua kerja serentak. Saya juga tidak mampu keluar untuk mencari client kerana beban tugas sebagai ahli akademik. Begitu juga dengan ahli industri, mereka tidak boleh menjadi ahli akademik. Mereka tidak mempunyai pengetahuan atau memahami falsafah disebalik dunia pendidikan. Mereka juga tidak memahami silibus dan keperluan akademik yang lain seperti menulis journal, membuat penyelidikan dan tugas-tugas sebagai ahli akademik. Jadi disini, kita ada timbal dan balas, ahli akademik memerlukan industri dan industri memerlukan ahli akademik.

Saya kembali dengan asas perjalanan perbincangan kita. Di Malaysia, secara terus terang saya katakan masih lagi tidak mengiktiraf sebenarnya peranan jurugambar. Peranan jurugambar terlalu kecil. Industri kita masih lagi terlalu baru. Rakyat Malaysia masih lagi memandang sinis tugas-tugas sebagai jurugambar. Apa yang membuatkan seorang jurugambar itu diiktiraf sebagai profesional?. Inilah isunya, kita tidak mempunyai sebarang badan yang diiktiraf oleh Kerajaan yang tugasnya memberikan pengiktirafan kepada jurugambar. Apakah kriteria-kriteria untuk menjadi profesional?. Jawapanya, tiada kriteria. Ianya masih subjektif, Anda boleh mendapat banyak job dengan harga berjuta-juta ringgit atau dijemput mengambil gambar VVIP atau sebagainya, tetapi selagi tiada badan yang mengiktiraf, anda tetap tidak dikira sebagai profesional. Jadi apakah bezanya kita dengan camera operator?. Ya, sebenarnya, hakikatnya, kebanyakkan jurugambar merupakan camera operator. Mungkin pedih untuk ditelan, tetapi inilah kenyataan, saya berikan contoh, seorang jurugambar advertising hanya menurut idea dan konsep yang di buat oleh agensi. Jurugambar tugasnya hanyalah mengambil gambar dan menurut sahaja arahan dan konsep yang ditentukan oleh agensi. Jurugambar tiada autoriti. Begitu juga dengan jurugambar journalism. Tugas memilih gambar untuk dimuatkan di dalam majalah dan suratkhabar dibuat oleh editor. Jurugambar journalism tidak mempunyai autoriti memilih dan menentukan gambar yang ingin dimuatkan. Saya bagi lagi satu contoh, jurugambar perkahwinan bergantung kepada kehendak pasangan pengantin. Mereka hanya menerima bayaran setelah tugas diambil. Yang membezakan mereka yang bernilai tinggi atau tidak ditentukan dengan jumlah pakej yang ditawarkan. Lagi-lagi sekarang ini, mereka yang baru sahaja membeli kamera, sudah boleh menjadi seorang jurugambar perkahwinan, tidak perlu kursus, asalkan gambar diambil cantik, pakej ditawarkan dirasakan berpatutan dan berada dalam kemampuan, anda sudah boleh membuka perniagaan jurugambar perkahwinan. Adakah semua contoh-contoh yang saya berikan tadi boleh dibidas dengan mengatakan yang jurugambar kesemua bidang yang saya sebutkan tadi adalah profesional dan bukannya camera operator?. Memang pedih untuk ditelan, tapi itulah hakikat yang terpaksa kita terima.

Profesional yang dimaksudkan disini ialah, jurugambar itu mempunyai autoriti, Dia yang mencadangkan konsep, dialah yang menberikan idea kepada client, dia mempunyai kuasa untuk memilih dan menentukan gambar yang dikehendaki untuk dimuatkan di majalah, billboard dan sebagainya. Keupayaan dan kepakarannya diiktiraf oleh satu badan yang diiktiraf, dia diiktiraf memberikan talk dan dan menerima awards bertaraf kebangsaan mahupun antarabangsa. Sayangnya, kita tiada awards itu, Sedangkan artis atau selebriti mempunyai banyak lapangan anugerah atau awards yang berpretij. tetapi jurugambar di Malaysia, kita umpama terpinggir. Jika ada pun sebenarnya ia merupakan pertandingan fotografi dan terpaksa bersaing dengan mereka yang menganggap fotografi sebagai hobi. Tetapi disini, kita menganggap fotografi sebagai kerjaya, disitulah periuk nasi kita. Dimanakah maruah kita? dimanakah penghormatan kita?. Saya berikan contoh penyanyi. Semua orang boleh menyanyi. tetapi menyanyi ini rupanya perlu mempunyai skill dan bijak mencari peluang. Bijak mencari syarikat recording untuk memasarkan album mereka. Jadi begitu juga jurugambar, semua orang boleh membeli kamera dan ada kamera. tetapi sayangnya, tidak ramai masyarakat Malaysia menghormati dan menghargai hasil kerja jurugambar...

Daripada isu ini, saya terfikir, apa sebenarnya nasib graduan-graduan yang bakal menamatkan pengajian mereka baik diploma, degree mahupun master. Apa nasib mereka?. Bagaimana mereka akan mengharungi dunia industri?. bagaimana mereka akan bertahan dengan survivor yang memerlukan mereka bersaing?. Bagaimana saingan mereka?. Saya cukup risau sekarang, lambakan kursus menawarkan lebih banyak graduan tetapi industri kita tidak mempunyai banyak tempat. Ini bermaksud penawaran melebihi keperluan. Industri kita masih lagi kecil. Walau setinggi manapun kelulusan akademik mereka, hakikatnya, kita tidak melahirkan jurugambar profesional, tetapi kita melahirkan camera operator. Persoalan lagi yang sangat pedih, Kalau kita melahirkan camera operator, mengapa kita perlu menawarkan degree dan peringkat yang lebih tinggi?. Persoalan ini sejujurnya saya tidak ada jawapan yang konkrit.

Pada pandangan saya, realiti ini terjadi ialah, semua orang boleh jadi photographer. lagi-lagi sekarang, dengan kamera digital yang semakin murah, semakin banyak di pasaran, boleh dibeli dan boleh menghasilkan gambar. Dengan hobi kini, anda tidak perlu sijil, diploma atau ijazah untuk mencari rezeki, malah anda boleh menjadikannya sebagai kerja separuh masa. Banyak jurugambar "Klon" merosakkan industri. Merosakkan periuk nasi mereka yang memang bekerja sebagai jurugambar dimana rezekinya bergantung kepada kerjaya sebagai jurgambar ini. Mengapa saya panggil mereka Jurugambar "Klon"?. Sebab mereka mementingkan diri. Mereka yang merosakkan industri dan mereka juga yang merupakan racun kepada industri, Kisahnya, Saya pernah terdengar ada seorang rakan saya yang merupakan jurugambar tetap dan memiliki studio pada mulanya ditawarkan dengan bayaran yang tinggi untuk mengambil gambar korporat ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang terkemuka. Tetapi tidak berapa lama kemudian, kawan saya memaklumkan yang dia kehilangan job tersebut kerana ada seorang jurugambar "Klon" yang kita tidak tahu mempunyai studio apa atau mempunyai daftar perniagaan yang sah telah mengambil job nya dengan menawarkan bayaran yang sangat murah. malangnya, syarikat tersebut mempercayai dan mengambil jurugambar "Klon" ini. Lihatlah disini, kebanyakkan daripada client, tidak melihat kepada estetika, keindahan dan elemen kesenian fotografi dan menghargai itu semua dengan membayar hasil seni itu dengan harga yang sepatutnya. Mereka lebih rela mengambil hasil kerja yang murah dan nilai-nilai estetika itu diletakkan ke tepi.

Kalau saya menceritakan mengenai perihal jurugambar perkahwinan, lagi perit untuk diterima. Jujur dan hakikat, kebanyakkan pengantin melayu hanya mencari jurugambar yang menawarkan harga yang terlalu murah. kalau boleh dengan RM1,000.00, boleh dapat segalanya, dapat custom album, dapat outdoor shot dan macam-macam lagi. Mereka tidak melihat gambar perkahwinan mereka dari sudut estetika,mereka tidak menghiraukan walaupun gambar mereka senget benget dan tidak mempunyai nilai seni. Mereka hanya beranggapan bahawa jurugambar perkahwinan adalah sebagai syarat. mereka secara hakikatnya tidak menghargai anda. Adakah kita sebagai ahli akademik mahu mengeluarkan graduan yang hanya mengambil gambar perkahwinan?. Sudah tentu sekali tidak....

Sebenarnya, banyak lagi isu yang bermain difikiran saya. Apa yang mengusarkan saya, apa nasib pelajar -pelajar saya atau mereka yang ingin mengambil kursus fotografi pada masa akan datang. Apa nasib jurugambar kita mahupun nasib ahli akademik sendiri dalam bidang fotografi 10 hingga 15 tahun akan datang?. Bagaimana penerimaan masyarakat akan datang?. Adakah masih memandang kita sinis atau memandang tinggi kepada kita semua. Maafkan saya, ada seorang sahabat saya pernah bertanya kepada saya pada satu hari. Soalan yang tidak pernah saya jangkakan. " Nadzri, adakah satu hari nanti apabila anak kau, Ikhwan atau Sofia ingin menjadi Photographer, kau akan galakkan?" Saya rasa tuan-tuan pasti terkejut dengan jawapan saya " Tidak. Saya tidak akan galakkan". Tuan-tuan rasa mengapa saya menjawab sedemikian?. Apa yang bermain difikiran saya?. Saya hanya akan berasa yakin apabila satu hari nanti Kerajaan membantu golongan Jurugambar ini membenarkan penubuhan badan jurugambar profesional. Saya akan yakin sekiranya ada diwujudkan jawatan dalam kerajaan mahupun swasta mengikut kelulusan degree. saya meyakini jika masyarakat memandang tinggi dan sanggup membayar lebih untuk mendapatkan hasil gambar yang berkualiti. Saya merasa yakin jika jurugambar diajak berbincang sama dengan agensi dan mempunyai autoriti. Saya merasa yakin jika badan pemberi anugerah yang diwujudkan bagi mengiktiraf peranan dan tugas jurugambar. Dan saya hanya merasa yakin apabila masyarakat satu hari nanti beranggapan bahawa Jurugambar merupakan satu tugas profesional setanding dengan profesional yang lain.

Maafkan sekiranya tulisan ini menyinggung mana-mana pihak. Tiada niat saya, sekadar memberikan pandangan peribadi saya. Saya akan bincangkan isu mengenai apa yang perlu dilakukan oleh jurugambar ini untuk bergelar profesional pada entry saya akan datang, Saya menggalakkan segala komen untuk memantapkan penulisan saya. Komen biarlah beretika ye....Wassalan

Nadzri Sharif
5 September 2015
8.00 Malam.



  

Thursday 7 May 2015

DILEMA LAMBAKAN KURSUS FOTOGRAFI, ADAKAH BERKUALITI?.

Assalamualaikum W.B.T,

Sudah lama juga saya tidak menjengah Blog saya, alhamdulillah, berkat dari sokongan anda, blog saya telah mencapai lebih 15 ribu lawatan. Satu semangat baru telah disuntik. Saya masih teringat, ketika menulis Blog ini, saya menjangkakan tidak mempunyai ramai pengunjung. Saya menulis sekadar suka-suka untuk meluahkan pandangan saya. Saya bukanlah seorang insan yang popular, atau mencari glamour. Saya lebih gemar untuk terus mengekalkan Low Profile. Biarlah hanya dikenali melalui Blog dan ilmu sahaja. Mungkin saya sudah selesa dengan cara sebegini.

Pada entry kali ini, saya ingin memberikan pandangan saya mengenai lambakan kursus fotografi yang semakin tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Trend sekarang, sudah ramai jurugambar menganjurkan kursus-kursus fotografi. Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan positif apabila rata-rata daripada mereka menyedari betapa pentingnya penyebaran ilmu fotografi. Ada juga di kalangan jurugambar apabila menyedari job yang diterima sudah berkurangan akibat persaingan yang semakin sengit mula mengatur strategi untuk terlibat menganjurkan bengkel dan kursus fotografi. Ada juga yang mengambil kesempatan dengan mempunyai pengikut tersendiri sudah mula menawarkan kursus dan bengkel dengan harga yang tinggi. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Tiada salahnya, tetapi secara tidak sedar, lambakan penganjuran bengkel dan kursus fotografi akan menjadikan industri dalam keadaan yang tidak sihat. Mengapa saya berpandangan sedemikian?.    

Sering kali saya mengingatkan kepada mereka yang baru sahaja ingin menyertai bidang fotografi untuk mencari guru yang sebenar. Guru yang sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam akademik fotografi. Mempunyai silibus, mempunyai pengiktirafan. Tidak semua jurugambar mempunyai skill dalam pengajaran dan begitu juga sebaliknya, tidak semua tenaga pengajar mempunyai pengalaman dalam industri. Dua perkara yang berbeza. Bidang akademik fotografi sebenarnya bukan sekadar mempelajari berkenaan kamera semata-mata, tetapi perlu mempunyai pengetahuan dalam falsafah nya, sejarah, criticizing dan bermacam-macam-macam lagi. Untuk menjadi seorang jurugambar yang mampu mempunyai keyakinan dan autoriti pada imejnya, perlu mempunyai pengetahuan sedemikian. Fotografi bukan sekadar menggambar semata-mata, pelbagai teknikal, semiotik, mesej, pegangan, elemen, penceritaan, semuanya perlu ada pada sekeping gambar. Itu yang membezakan anda seorang jurugambar dengan mereka yang hanya menggambar. 

Disebabkan perbezaan inilah yang menyebabkan, ada sesetengah jurugambar muda telah menerima ajaran sesat dan tidak betul. Mereka menerima pengajaran teknikal yang salah. Apa yang menyedihkan, mereka yang menerima pengajaran yang salah ini pula akan mengajar junior lain seperti mana yang mereka pelajari. Ini satu keadaan yang tidak sihat. Secara jujur nya, saya pernah berada di dalam satu kursus fotografi yang  dianjurkan oleh salah satu jabatan kerajaan. Apa yang memeranjatkan saya, teknikal fotografi yang dipelajari dari seorang jurugambar yang mempunyai nama, ternyata silap. Saya cukup hairan, bagaimana jabatan kerajaan ini, menerima jurugambar yang tidak mempunyai kelayakan rasmi secara langsung dari institusi pengajian yang diiktiraf mendapat kontrak kerajaan untuk menganjurkan kursus fotografi?. Apakah standard yang sebenarnya digariskan oleh mana-mana jabatan kerajaan dalam penganjuran kursus sebegini melantik moderator atau penceramah yang mempunyai kelayakan. Perkara ini nampak macam kecil, tetapi kesannya amat besar apatah lagi jika jabatan atau individu menggunakan kamera dalam rutin pekerjaan mereka.

Lambakan kursus ini menjadikan lambakan sijil dan pengikut orang-orang tertentu dalam bidang fotografi. Ada sesetengah jurugambar menjadikan penganjuran kursus sebagai platform mereka mencipta pengaruh. Adat rakyat Malaysia, mereka akan menjadi pengikut membuta tuli, menjadi ekstremis fotografi sedangkan saya percaya, mereka ini sendiri tidak tahu dan faham sebenar-benarnya apa yang mereka ketahui dan pelajari mengenai fotografi. Apabila jurugambar mempunyai pengaruh, bukan satu lesen untuk anda mencemuh jurugambar yang lain. Jurugambar pengiklanan, akan mencemuh jurugambar journalism, jurugambar journalism pula tidak akan berpuas hati pula dengan kenyataan jurugambar perkahwinan. Ini bukan lesen untuk anda mencemuh sesama sendiri walaupun anda mempunyai pengikut. Dalam bidang fotografi, konsepnya adalah sama. Kita menggunakan cahaya untuk melukis, tetapi genre atau bidang fotografi hanyalah sebagai tugas atau pelengkap. Masing-masing mempunyai pengetahuan dan kehebatan tersendiri. Kita tidak boleh judge hasil gambar secara tepat kerana ia bergantung apakah niat seseorang jurugambar apabila dia merakamkan gambar. Ayat yang paling popular, gambar itu adalah “subjektif”. Tetapi dalam bidang forensik fotografi, gambar perlu merujuk kepada fakta kes, fakta isu dan rantaian keterangan. Jadi perkataan subjektif tidak boleh digunakan kerana gambar perlu menjelaskan keterangan dan fakta kes.

Untuk mempelajari fotografi, anda memerlukan cukup masa sekurang-kurangnya 2 tahun untuk melengkapkan pengetahuan fotografi secara keseluruhan. Saya secara jujur, kurang percaya apabila anda mengatakan dengan hanya 6 bulan, anda akan menjadi pakar. Saya membuat audit banyak institusi kerajaan apabila ingin mengeluarkan sijil. Paling kurang tempoh masa yang diiktiraf oleh MQA adalah 7 bulan hingga setahun. Jika anda ingin mempunyai pengiktirafan sijil anda, nasihat saya, anda carilah kolej, institusi yang menawarkan sijil yang diiktiraf oleh MQA atau SKM. Banyak institusi dan kolej yang mempunyai sijil yang diiktiraf. Bayaran yang anda keluarkan tidaklah mahal dan saya percaya tidak melebihi 1000 ringgit kos sepanjang pengajian anda. Malah anda mungkin diberikan subsidi. Cuba rujuk laman web MQA dan SKM untuk mendapatkan info sijil-sijil fotografi yang diiktiraf. Penting pengiktirafan ini adalah supaya anda tidak rasa anda teraniaya apabila mungkin anda menggunakan sijil tersebut untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma atau degree. Mungkin anda menggunakan sijil tersebut apabila anda ingin memohon pekerjaan dalam Jabatan kerajaan. Pengiktirafan sijil sangat penting.


Tetapi, jika anda sekadar untuk hobi semata-mata. Pengiktirafan sijil tidak penting, tetapi jika hendak belajar semata-mata, nasihat saya, carilah guru yang benar-benar dapat membantu anda, mempunyai pengiktirafan dan kelayakan untuk mengajar anda. Tidak perlu membazirkan duit membayar harga yang terlalu mahal di mana duit tersebut anda boleh gunakan untuk menambahkan aksesori. Mohon semak portfolio dan Resume penceramah. Cuba periksa, tahap kelulusan, pengalaman dan pengiktirafan diterimanya. Cuba buat sedikit homework. Anda boleh mencari ilmu dengan menyertai aktiviti group fotografi. Anda boleh belajar dari situ. Jangan terima bulat-bulat, gunakan rujukan buku atau nota mengenai fotografi yang anda boleh dapatkan dalam internet. Teknologi sekarang makin hebat, segala maklumat di hujung jari anda. 

Tuesday 14 April 2015

PERJALANAN PENGAJIAN DALAM BIDANG FOTOGRAFI (PERINGKAT DIPLOMA UiTM)

Assalamualaikum W.B.T,

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda kerana sudi singgah sebentar di Blog saya. Hari ini, program saya agak padat. Entry kali ini, saya ingin mengupas mengenai perjalanan pengajian Diploma Fotografi. Entry ini amat bersesuaian untuk pelajar lepasan SPM yang sedang mencari-cari kursus yang diminati dan bersesuaian. Anda kena memulakan rancangan anda dari sekarang. jangan tunggu selepas SPM baru merancang.  
PEMILIHAN KURSUS
Apabila anda memilih dalam untuk melanjutkan pengajian peringkat Diploma Fotografi, saya difahamkan, di dalam sistem UPU, anda dikehendaki memilih Diploma Seni Lukis dan Seni Reka. UiTM mempunyai sistem pengambilan yang istimewa yaitu dua kali pengambilan dalam setahun. Bagi sesi pengambilan Jun, akan diuruskan oleh UPU, bagi kemasukan bulan Disember adalah di bawah sistem pengambilan UiTM. Peringkat Diploma biasanya ditawarkan pada mereka lepasan SPM. Pelajar Diploma fotografi akan ditempatkan di dua buah Kampus sahaja iaitu di  UiTM Melaka atau UiTM Perak. Saya kurang pasti, bagaimana pengagihan kampus tersebut. Bagi Kampus UiTM Puncak Alam adalah untuk pengajian Sarjana Muda.
Subjek yang penting yang perlu anda ambil dalam peperiksaan SPM ialah sekurang-kurangnya A2 dalam Pendidikan Seni Visual, lulus Bahasa Melayu, dan bahasa inggeris.Untuk memasuki peringkat Diploma, anda terpaksa menjalani ujian saringan iaitu ujian melukis dan menjalani sesi interview.  
PROSES INTERVIEW
Apabila selesai mendaftar dalam sistem UPU atau UiTM, sekiranya anda bernasib baik, anda akan menerima email untuk proses interview. Bagi menjalani proses interview, saya amat menasihatkan kepada anda untuk membawa segala portfolio gambar yang pernah diambil oleh anda. Jangan sesekali anda membawa portfolio yang tidak berkaitan dengan fotografi. Contohnya, semasa disekolah, sekiranya melalui kelab fotografi, anda pernah membuat tugasan teknikal kamera (Depth of Field, Low Shutter, High Shutter Dll), bawalah contoh tersebut semasa interview. Lagi bagus, jika anda mempunyai koleksi hasil karya fotografi anda sendiri. Selalunya, pensyarah yang interview anda ingin melihat bagaimana minat anda terhadap bidang fotografi. Usah takut sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa pengetahuan asas, cukuplah dengan menunjukkan minat yang tinggi. Jadi saya nasihatkan anda bergerak aktif dalam kelab fotografi disekolah. Sekiranya anda pernah terlibat dalam mana-mana kursus fotografi, sila sertakan sijil-sijil yang berkaitan. Ingat!, sijil-sijil ini perlu disusun dalam fail portfolio plastik yang boleh dibeli di mana-mana kedai dan disusun dengan kemas. Bakal pelajar selalu terlepas pandang perkara penting ini. 
Satu lagi soalan yang pasti ditanya oleh pensyarah, adakah anda mempunyai kamera?. Untuk proses pembelajaran Diploma Fotografi, anda wajar mempunyai kamera sendiri. Jika tidak mempunyai kamera, anda akan bermasalah besar untuk menyiapkan tugasan yang bakal diberikan. Anda pasti akan ketinggalan kerana sesi kelas kebanyakkannya diadakan secara praktikal. Jangan harap untuk meminjam dengan kawan-kawan. UiTM juga tidak menyediakan perkhidmatan sewaan atau pinjaman kamera. Anda tidak perlu membeli kamera yang terlalu mahal. Anda boleh sahaja membeli model kamera yang sederhana. Tetapi ingat, kamera yang digunakan mestilah apa sahaja jenama DSLR. Kamera Compaq, tidak diterima. Jenama bukan menjadi isu, anda boleh memilih jenis kamera yang bersesuaian dan anda selesa menggunakannya.
PROSES PEMBELAJARAN   
Seperti yang saya nyatakan tadi, jangan risau sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa asas fotografi. Semuanya akan diajar mengenai teknikal asas pada semester pertama. Anda juga akan mempelajari, studio lighting, advertising fashion dan product, photojournalism, video studies, history of photography, alternative process dan digital design. Anda juga dikehendaki mengambil subjek keusahawanan, English (Ramai yang gagal jika tidak datang kelas) dan subjek agama. Anda juga diwajibkan lulus kokurikulum.  Anda akan menghabiskan masa selama dua tahun setengah untuk menamatkan Diploma anda. Di akhir semester iaitu semester 5, anda dikehendaki menyediakan Major Project dan Minor Project iaitu memaparkan hasil karya dalam bidang-bidang yang saya sebutkan di atas. Jadi, sesi pembelajaran bukan sahaja dalam fotografi, tetapi anda akan juga mempelajari sedikit mengenai design. Sistem UiTM mengamalkan Merit GPA. Anda diwajibkan lulus semua mata pelajaran pada setiap semester. Jika gagal anda dikehendaki mengulang semula. Jika tiga kali anda masih lagi gagal dalam subjek yang sama, anda akan diberhentikan.
Belajar fotografi, bukan sekadar mengambil gambar semata-mata dan dengan mudah anda akan lulus. Buang persepsi begitu. Tidaklah terlalu sukar sehingga gagal. Jika anda gagal hanya kerana anda tidak masuk kelas, tidak hantar assignment dalam semua subjek atau terkandas dalam peperiksaan. Bagi saya, nak gagal tu sebenarnya susah, tetapi nak lulus cemerlang pun memang memerlukan usaha yang keras. Pelajar Fotografi, banyak menggunakan duit kerana anda terpaksa keluar mencari subjek assignment, mencari event untuk journalism, menyewa baju untuk model fashion atau terpaksa menyewa studio diluar jika studio penuh. Kemudahan studio yang disediakan oleh UiTM memang sentiasa penuh, pendek kata, siapa cepat dialah yang dapat. UiTM tidak menyediakan sewaan kamera atau meminjamkan kamera DSLR kepada anda. Semuanya perlu disediakan sendiri. Di dalam hal ini, pinjaman PTPTN memang banyak membantu anda. Menjadi pelajar fotografi memang sibuk. Anda tidak mempunyai masa yang banyak untuk bersenang lenang, anda perlu menyiapkan assignment fotografi yang diberikan oleh pensyarah. Pengurusan masa amat penting.
APA YANG ANDA AKAN BUAT SELEPAS GRADUATE?.
Perkataan TAMAT itu, memang keramat. Apabila anda memulakan pengajian, saya pasti ramai yang tidak sabar-sabar untuk menamatkan pengajian dengan jayanya. Selepas itu anda konvo dan memikirkan apa yang perlu anda lakukan selepas tamat pengajian Diploma Fotografi. Jika anda bertanya pandangan saya, saya cadangakan kepada anda meneruskan pengajian peringkat ijazah. Jika anda mempunyai Diploma Fotografi, anda boleh memilih untuk terus menyambung pengajian Sarjana Muda Fotomedia di Puncak Alam selama Dua Tahun, atau memilih memasuki ijazah Sarjana Muda yang lain seperti pendidikan, komunikasi masa dan sebagainya (Tempoh tiga hingga empat tahun). Jadi, nasihat saya, jika anda dapat memasuki Diploma Fotografi, anda tidak berminat. Jangan susah hati, habiskan Diploma dulu dan kemudiannya, daftarlah memasuki Sarjana Muda yang anda minat. Untuk menyambung, anda perlu mempunyai GPA minimum atas 3.00 bagi Sarjana Muda Fotomedia Kreatif dan minimum 3.30 bagi Sarjana Muda yang lain. UiTM kini semakin ketat syarat kemasukkannya.
Jika anda memilih untuk bekerja, anda boleh memasuki industri seperti berkerja di akhbar-akhbar, studio, komunikasi korporat, berniaga dan sebagainya. Semuanya memerlukan perancangan yang awal dan anda perlu mempunyai target yang jelas mengapa ingin menyambung pengajian dalam bidang Diploma Fotografi. Saya akan membincangkan mengenai peluang kerjaya dalam bidang fotografi pada entry yang akan datang.  
Diharapkan, dengan kupasan yang santai ini dapat memberikan ilham dan sedikit pendedahan mengenai Diploma Fotografi. Jika anda mempunyai sebarang soalan, sila tinggalkan pesanan anda. 
Sekian, terima kasih
Nadzri Sharif
14 April 2014
Seri Kelemak
9.19 Malam.  

Monday 13 April 2015

MEMOIR: ADAKAH SAYA SEORANG JURUFOTO?.

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdullilah, setelah lama tidak menulis di blog ini, apabila dibuka, saya amat terkejut. Sesekali, saya tersenyum, alhamdullilah...walaupun tidaklah merupakan kejayaan yang besar, tetapi secara tidak sedar, blog saya mencapai 10 ribu lebih pengunjung. Terima kasih kepada sahabat-sahabat saya yang sentiasa membaca blog saya. Saya rasa umpama satu semangat baru, untuk terus menulis. Terus berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pandangan dalam bidang yang saya cintai iaitu Fotografi.
 
Pertama kali, saya memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini, kesibukan menulis Tesis PhD saya dan analisis data membantutkan sedikit masa untuk menulis. Kesibukan untuk menyiapkan buku teks fotografi dalam bahasa melayu juga salah alasan yang tidak dapat dielakkan. Insyaallah, tahun 2015, merupakan tahun akhir pengajian saya. Insyaallah, pada awal tahun hadapan, bermulalah tugas saya sebagai pendidik. Sudah hampir 3 tahun saya tidak mengajar, perasaan rindu dan excited itu tetap ada.
 
Mungkin jika anda membaca tajuk entry saya pada kali ini, mungkin ada banyak persoalan yang bermain difikiran anda. Secara jujur, walaupun saya sudah hampir 8 tahun bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Fotografi di UiTM Melaka, menggengam Sarjana dalam Visual Komunikasi dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang fotografi, mempunyai Diploma Fotografi dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam peringkat Doktor Falsafah membuat penyelidikan mengenai Visual Literasi: Visual Forensik, saya masih lagi menganggap diri saya seorang yang masih lagi belajar. Apabila bermulanya, saya sebagai pelajar di UKM, saya merasakan begitu besarnya ilmu, luasnya ilmu sehingga merasakan diri ini terlalu kerdil.
 
Lagi kerdil diri saya jika orang bandingkan saya dengan nama-nama hebat dalam industri, kadang-kadang saya tertanya kepada diri saya sendiri, adakah saya seorang jurufoto?. Saya bukan seorang Jurufoto kerana saya tidaklah mempunyai portfolio yang hebat, saya bukan seorang jurufoto kerana saya tidak mempunyai permintaan dalam industri, saya bukanlah seorang jurufoto kerana tiada hasil karya yang dipamerkan. Tetapi saya adalah Hamba kepada ilmu Fotografi. Saya berusaha untuk mendalami ilmu fotografi dan kemudiannya menyebarkan kepada mereka yang baru ingin mengenali bidang fotografi. Saya cuba memberikan satu martabat dan satu impian bahawa mereka mempunyai masa depan dan membina kerjaya dalam bidang fotografi.
 
Usahlah, dibandingkan saya dengan mereka yang hebat. Jauh di sudut hati saya, saya amat mengagumi, senior-senior saya yang berjaya. Jauh di sudut hati, mereka memang bertuah kerana dapat berkerja dan membina nama. Sebagai seorang junior dan senior, sudah semestinya saya tumpang bangga. Bukanlah niat dihati untuk tidak mahu terlibat dalam industri, tetapi kekangan masa membuatkan niat untuk membuat portfolio terbantut. Mungkin ada yang akan menganggap bahawa itu adalah alasan semata-mata, tetapi tugas sebagai pensyarah tidaklah semudah yang disangka, lagi-lagi tuntutan dan misi universiti yang sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada pelajarnya. Tugas sebagai pensyarah, bukanlah sekadar mengajar, malah adakalanya terlibat dalam kerja-kerja pentadbiran, kursus, bengkel, diwajibkan untuk membuat penyelidikan, malah Key Performace Indicator untuk kenaikkan pangkat menjadi semakin sukar. Memerlukan pensyarah menulis buku dan terlibat sebagai Consultant atau pakar rujuk. Janganlah dianggap berada dalam gred 45. 52 atau JUSA satu kelebihan, tetapi semakin tinggi gred anda, semakin besar dan berat tanggungjawab anda. Apatah lagi kini, dasar Universiti mengetatkan proses kenaikkan pangkat. Tidak disalahkan kepada pihak pengurusan atau kementerian, tetapi ini sudah menjadi tanggungjawab pensyarah agar sentiasa up to date, ilmu yang dimiliki dan menjadi inovatif. Persepsi yang memandang rendah terhadap keupayaan pensyarah menghasilkan work untuk dipamerkan atau mempunyai portfolio hebat dalam industri perlulah sedikit diubah.  
 
Sudah lama saya mengetahui, ada segelintir orang industri memandang rendah kepada kami. Malah ada diantara mereka dengan sinis menyindir dan memburukkan kami di hadapan bekas pelajar kami. Ada juga yang beranggap, pensyarah fotografi tidak mempunyai kelasnya yang tersendiri. Memang benar, mungkin kami tidaklah sepenting jika hendak dibandingkan dengan orang industri, tetapi kami tetap melaksanakan tugas kami jauh sekali untuk dihargai. Kami bertungkus lumus cuba memberikan yang terbaik, bertungkus lumus cuba menghasilkan work untuk dikongsi, tetapi ianya bukan satu tugas yang mudah. Insyaallah, saya cuba membina kerjaya saya, saya cuba membina ilmu saya untuk dikongsi kepada mereka yang memerlukan. Saya tiada masalah, malah menjemput dengan tangan yang terbuka.
 
Senario pendidikan sekarang, pelajar sekarang bukanlah seperti kita yang dulu. Dengan teknologi yang semakin mudah apatah lagi banyak imej-imej yang boleh diperoleh dari internet. Sesekali saya agak ragu-ragu dengan gambar yang diserahkan kepada saya oleh pelajar. Mereka sudah beranggapan, cukuplah dapat diploma, sebagai syarat. Bukannya mempunyai kehendak atau usaha yang kuat untuk mempelajar fotografi. Jujur saya berikan pandangan, kita tidak hanya mengajar pelajar dengan digital semata-mata, berikan juga mereka pendedahan dalam printing black n White, gunakan large format, belajar manual, bila ada pendedahan sedemikian, itu yang membezakan kita dengan jurugambar yang tiada pendidikan formal. Terus terang saya memberitahu anda, jika anda mahir menggunakan kamera filem dan belajar membuat printing gambar, sekaligus akan membuatkan anda memahami dan matang dalam aspek teknikal. Tanyalah pelajar sekarang mengenai Table of Aperture, walaupun sudah semester 6, adakalanya perkara yang paling asas tidak diambil berat. Biarkan mereka merasa duduk di bilik gelap sehingga tengah malam, biarkan mereka berada di studio sampai tengah malam, dan adakalanya tertidur di studio akibat terlalu letih. Itulah nikmatnya belajar fotografi. tanyalah kepada batch saya, senior-senior saya mengenai pengalaman itu. Satu memori yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.
 
Berbalik kepada senario sekarang, seperti yang saya katakan, pelajar tidak mempunyai roh dalam mencari ilmu. Meraka suka mengambil jalan yang mudah. Ijazah sekarang tidak menjamin kejayaan di industri. Industri memang melihat kepada skill dan pengalaman. Ijazah sebagai passport semata-mata. Jika anda ingin menyambung peringkat Sarjana dan PhD, tetapkan pendirian anda, ubah sikap untuk mencari ilmu. Jika anda fikir dengan adanya Sarjana dan PhD anda boleh hidup senang, dapat pangkat yang tinggi, anda lupakan saja. Seorang rakan saya yang mempunyai Sarjana, sehingga sekarang susah untuk mencari pekerjaan. Dia tidak mempunyai portfolio yang hebat dan masih tercari cari. Kita perlu ubah dan menganjak ke satu tahap dimana industri dan akademik bersatu. Tiada gunanya kita berbalah, industri kita masih lagi kecil. Terlalu ramai orang yang beranggapan diri mereka hebat kerana mempunyai pengikut. Bila ada pengikut mereka sudah menganggap diri mereka sebagai dewa. Inilah sebenarnya yang merosakkan bidang fotografi. mereka kebanyakkanya memberikan maklumat yang salah kepada pengikut mereka. Bila sudah terlalu banyak group-group fotografi sebegini. Ianya sedikit sebanyak merosakkan fenomena bidang fotografi sendiri. Dimanakah martabat kita sebenarnya?.
 
Saya tidak pernah percaya dengan hanya sebulan belajar fotografi, anda akan menjadi pakar. Untuk menjadi pakar bukan dalam masa yang singkat, bukan hanya di dalam kelas, tetapi anda praktikkan. Anda belajar dari pengalaman. Skill anda akan terbina sedikit demi sedikit hasil dari pengalaman. Skill tidak datang sendiri, tetapi skill datang dari kesilapan. Apabila ada kesilapan, anda akan belajar dan belajar. Jangan takut dan malu uploadkan gambar anda untuk dikritik. Apabila dikritik anda akan menjadi matang. Percayalah, anda akan menjadi jurufoto yang baik. Saya belajar foto dengan sedikit usaha, saya bukannya gifted. Saya tiada bakat yang semulajadi. Keluarga saya tiada seorang pun seorang jurufoto, saya tidak mengikut sesiapa. Tetapi saya belajar dari pensyarah-pensyarah dan pengalaman. Sampai satu tahap, saya memilih untuk menjadi pensyarah. Mengapa saya memilih pensyarah?. Sebab saya memang meminati teori dan pendidikan. Jadi, berilah saya sokongan dan peluang untuk menjadi pendidik yang baik.  
 
Untuk memertabatkan bidang fotografi, saya amat bersetuju sekiranya kita mempunyai satu badan yang boleh mengiktiraf professional kita. Saya pernah membincangkan perkara ini dengan MQA. Memang tiada jentera yang bergerak kearah itu. Jika kita mempunyai satu badan professional yang diiktiraf, sekaligus dapat memertabatkan bidang fotografi. Kita boleh mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan jawatan dalam professional fotografi. Jika mempunyai badan pengiktirafan, mungkin generasi akan datang beranggapan bidang fotografi sebagai bidang professional. Saya amat menantikan kerjasama semua untuk kita realisasikan impian itu. Untuk bergerak tidak boleh keseorangan, untuk bergerak akademik dan indsutri wajar bersatu. tetapi masalahnya disini, kita tidak mempunyai persatu yang kuat. Persatuan fotografi yang sedia ada, masih belum kuat kearah itu. Kita bina persatuan bukan untuk menunjukkan siapa yang hebat. tetapi kita bina persatuan untuk tunjukkan betapa jurufoto bersatu padu.
 
Akhir kalam, saya memohon maaf di atas penulisan saya jika ada mana-mana individu yang terasa hati. Bukan niat saya untuk mengkritik atau menjatuhkan sesiapa. Tegurlah..dan bimbinglah saya secara matang. Insyaallah, saya pasti akan mendengar. Salam Maghrib dan berjumpa lagi pada entry yang akan datang.
 
Wasalam
 
Nadzri Sharif
Seri Kelemak
7 Malam.
 

Thursday 8 January 2015

DIMANA TEMPATNYA PELAJAR FOTOGRAFI DALAM INDUSTRI. SALAH SIAPA?.

Assalamualaikum W.B.T

Tajuk ini mungkin agak kontroversi, tetapi saya bukanlah seorang yang gemarkan kontroversi atau mencari publisiti dengan mengeluarkan entry sebegini. Sahabat-sahabat yang mengenali saya tahu, siapakah diri yang sebenar. Saya lebih suka bersikap Low Profile dan tidak terlalu menonjolkan diri. Sebelum kita berbicara mengenai isu ini, saya cuma berikan sedikit brief mengenai pengalaman saya dalam bidang akademik. Saya telah bertugas dan menjadi ahli keluarga UiTM sejak dari tahun 2006. Saya pernah dipertanggungjawabkan sebagai salah seorang daripada ahli yang mengubal silibus. dan kini saya telah diberikan kepercayaan sebagai Pakar Rujuk MQA. Sudah ramai bekas-bekas pelajar saya sehingga ada diantara mereka kini merupakan pensyarah dan menjadi ahli keluarga UiTM Melaka. 

Apabila kita membicarakan isu ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya, kemana perginya pelajar fotografi?. Mengapa nama dan kedudukan mereka tidak gah dalam industri seperti jurugambar yang saya hormat, Ada juga, nama-mana besar ini tidak pernah menerima pendidikan formal iaitu mempunyai diploma atau ijazah dalam bidang fotografi. Ada juga persoalan, mengapa pelajar fotografi tidak mempunyai kekuatan dan pengetahuan dalam keusahawanan dan tidak mempunyai kekuatan untuk bersaing dengan nama-nama besar itu. Jika kita renung kembali, ada benarnya persoalan ini. Saya sendiri tercari-cari, dimana mereka ini selepas bergraduat. 

Sebelum saya, membincangkan dengan lebih lanjut, perlu untuk saya mengupas sedikit mengenai mengenai kokurikulum dan silibus fotografi yang telah digubal oleh tenaga akademik atau pensyarah fotografi di UiTM. Kokurikulum yang dirangka merupakan satu rekabentuk kokurikulm yang mengambil aspek pengetahuan, praktikaliti, keusahawanan dan multi tasking. Contohnya, peringkat diploma mempunyai penanda aras (JSU) lebih rendah daripada pelajar ijazah. Pelajar diploma mempunyai peratusan yang lebih banyak dalam teknikal. tetapi pelajar degree pula lebih banyak kepada Creative thinking, membuat interpretasi dan teori. Tidak dapat saya nyatakan secara terperinci disini kerana ianya merupakan dokumen sulit. Walaubagaimana pun, ada kursus yang menumpukan kepada keusahawanan, pilihan bahasa ke tiga (seperti jepun, jerman, mandarin dan france), ada juga subjek-subjek liberal. subjek praktikaliti, studio, teori, kaedah penyelidikan dan sebagainya. Pendekkata, semua elemen-elemen untuk mempersiapkan diri pelajar2 fotografi untuk menghadapi industri sudah tersedia. Malah, silibus ini sentiasa ditambah baik dan diperbaiki kekurangannya. Untuk pelajar memahami industri fotografi. Ditambah lagi latihan industri selama 6 bulan di mana-mana agensi, bahagian, kerajaan, swasta untuk mereka mempraktikan dan membiasakan diri dengan industri. 

Semuanya sudah tersedia kepada pelajar-pelajar UiTM. Mungkin kita boleh merujuk dengan kolej swasta seperti Lim Kok Wing, MSU, MMU dan lain-lain yang saya percaya cuba mereka bentuk silibus kursus fotografi yang terbaik. apatah lagi semua IPTA dan IPTS kerajaan akan dipantau rekabentuk silibus oleh badan berkecuali iaitu MQA. MQA merupakan satu agensi autonomi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang mempunyai kuasa untuk memberikan pengiktirafan. MQA telah memberikan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh IPTA dan IPTS dalam merekabentuk kursus. UiTM sudah pasti tertakluk di bawah pengawasan MQA. Jadi, kita tidak boleh menyalahkan silibus sepenuhnya. 

Salah satu punca, mengapa pelajar fotografi tidak dikenali dalam industri ialah minat. Saya sebenarnya, agak terkilan pada mulanya, kerana ada sesetengah pelajar yang memohon masuk Diploma Fotografi tidak mempunyai minat dan sedikit pengetahuan dalam bidang ini. Sudah ramai saya menemu duga. Kebanyakkan dari mereka tidak tahu dan mempunyai arah yang jelas mengapa mereka memilih kursus fotografi. Ada di antara mereka memohon kursus lain seperti grafik dan IDE, tetapi entah bagaimana, mereka telah dicampak ke kursus fotografi. Apabila minat tiada, mereka hilang roh nya. Mereka cuma belajar setakat menepati syarat lulus. Ini amat berbeza dengan jurugambar di luar sana. Mereka sangguip bayar beratus malahan beribu ringgit untuk menyertai bengkel. Menghabiskan wang untuk keluar mencari jobs dan work. Sanggup explore teknik-teknik baru. Ini adalah kerana jurugambar yang tidak mendapat pendidikan formal mempunyai minat dan roh dalam fotografi. Saya ceritakan satu situasi yang benar-benar berlaku ketika penganjuran Bengkel Pemantapan Fotografi Siri (2) 2014. Saya ada menawarkan kepada pelajar untuk menyertai bengkel tersebut dengan cuma bayaran RM 100.00 sahaja. Pelajar lebih suka duduk dirumah menikmati cuti semestar dan seorang pun tidak berminat menyertai bengkel ini. Adakah ini perlu disalahkan Universiti dan Tenaga akademik.?. Sudah bermacam cara dibuat untuk meningkatkan minat pelajar. tetapi sayang seribu kali sayang..

Punca kedua, ialah masa, bukan tiada pelajar fotografi yang cemerlang, tetap ada. Ada diantara mereka mempunyai nama dalam bidang video dan bekerja dengan agensi tempatan mahupun antarabangsa. Tetapi, mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mereka dikenali seperti jurgambar termasyhur yang lain. Ada diantara mereka cuba untuk menimba pengalaman sebelum menunaikan hasrat membuka studio atau agensi. Kursus fotografi di Melaka sebagai contoh, masih terlalu baru. Mungkin masa akan datang, nama mereka pasti akan dikenali. Bukan maksudnya mereka tidak berusaha, Tetapi cabaran tu tetap ada.

Industri Fotografi di Malaysia masih terlalu kecil. Kita tidaklah sebesar jika hendak dibandingkan dengan benua Amerika, Eropah atau negara-negara Asia seperti Singapura, Korea, Jepun, China dan lain-lain. Kebanyakkan Agensi, Jabatan Kerajaan ataupun swasta melihat industri fotografi ini masih lagi kecil. Rata-rata masyarakat Malaysia hanya mengenali jurugambar perkahwinan. Ada di antara mereka telah mengangkat jurugambar perkahwinan sebagai prestij. Mengapa ini berlaku?. Mengapa mereka tidak mengenali jurugambar daripada bidang-bidang lain. Jawapan nya adalah, jurugambar perkahwinan paling mudah mendapat bayaran, jobs ataupun permintaan berbanding dengan bidang-bidang lain. Pendedahan kepada pelajar amatlah kecil. Ada seorang rakan saya berkongsi kepada saya, jika studio fotografi mengkhususkan kepada job advertising semata-mata, mungkin agak sukar untuk studio tersebut bernafas. Jadi hendak atau tidak, beliau terpaksa mempelbagaikan business profile nya termasuk menawarkan video korporat, consultation dan sebagainya. Jika pelajar fotografi ingin membuka studio, mereka perlu mencari pengalaman dengan senior-senior yang sudah membina nama. Mencari linkage dan pelanggan. Ini bukan satu tugas yang mudah. Jujur saya katakan, syarikat-syarikat besar kini mempunyai department dan jurufoto mereka sendiri. Jika tiada sekalipun, mereka lebih gemar memilih nama-nama besar fotografi. Jadi pembinaan portfolio dan pengaruh itu menjadi sangat penting, Dalam konteks ini, penting pelajar fotografi mempelbagaikan kemahiran yang ada.

Jika kita melihat sektor awam pula, gred jawatan tertinggi jurugambar setinggi B38. Kumpulan perkhidmatan jurugambar adalah kumpulan sokongan dan skim mereka di bawah skim bakat. Seorang jurugambar Gred 17 menerima gaji permulaan RM 936.00 dengan kenaikkan tahunan sebanyak RM95.00 sahaja. Bagi Gred 38 pula menerima gaji RM 3,430.00 dengan kenaikkan tahunan sebanyak RM 180.00 sahaja. Jawatan jurugambar dalam kerajaan tidak mempunyai kumpulan Pengurusan dan Profesional. Ini amat menyedihkan. Ini juga satu faktor mengapa pelajar lepasan diploma tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan. peluang mereka tidak luas. Jurugambar yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda tidak diberikan kelebihan kerana kumpulan jawatan bagi Gred 41 ke atas tiada. Ini juga merupakan faktor mengapa pelajar lulusan fotografi menukar arah bekerja dalam bidang yang bukan apa yang mereka pelajari semasa di Universiti.

Kesimpulannya, kita memerlukan tindakan segera bagi memastikan agar lepasan graduan lulusan fotografi mempunyai masa depan kerjaya yang cerah. Banyak yang perlu kita perbetulkan dan berusaha meningkatkan permintaan industri terhadap graduan fotografi. Pelajar Fotografi telah di ajar pelbagai skills. Telah dibantu untuk berusahawan dan sebagainya. Peluang perlu diberikan kepada mereka bagi memastikan graduan ini tidak malap. Untuk makluman, bukan UiTM sahaja yang mengeluarkan Graduan dalam bidang fotografi. UNISEL, Lim Kok Wing, MMU, Kolej Segi dan banyak institusi lain juga mengeluarkan graduan dalam bidang fotografi. Ini bermakna, lambakan graduan memang berlaku. Saya amat khuatir, jika perkara ini tidak dibendung, graduan kita akan mempunyai masalah untuk mendapatkan pekerjaan jika Industri bidang fotografi mulai tepu. Bersama-samalah kita mencari jalan dan bertukar-tukar pandangan demi generasi kita pada masa akan datang .

Nadzri b. Mohd Sharif
Seri Kelemak
9 Januari 2014
11.11 a.m 

Wednesday 7 January 2015

PERKEMBANGAN BIDANG FOTOGRAFI: SATU PANDANGAN

Assalamualaikum W.B.T

Syukur alhamdullilah, pada hari ini, segala urusan saya dapat berjalan dengan lancar. Pagi tadi, saya memotong beberapa bil yang tidak diperlukan. Seperti kebiasaannya, Bandar Melaka, memang sentiasa penuh dengan ramai orang, untuk mencari parkir, memerlukan kesabaran dan sedikit kecekapan. Itulah sebabnya, saya gemar bergerak untuk menyelesaikan apa sahaja urusan pada waktu pagi. 

Berbalik kepada tajuk yang ingin saya bincangkan hari ini. Mengenai Perkembangan Bidang Fotografi secara umum dan merupakan pandangan peribadi saya. Hatta, perkembangan bidang ini lebih kepada senario tempatan dan hanya sedikit sahaja saya sentuh mengenai perkembangan bidang fotografi di negara-negara jiran kita. Insyaallah, mungkin entry akan datang, saya akan bincangkan perkembangan bidang fotografi di negara-negara seperti Indonesia, Brunei dan Filipina. 

Sebenarnya, jauh dalam sudut hati saya, saya berasa amat berbangga kerana bidang fotografi sudah mula dikenali dan bertapak dengan jayanya. Jika, kita melayari website-website, begitu banyak penawaran kursus fotografi dianjurkan. Dari nama yang dikenali sehingga kepada jurufoto -jurufoto yang baru sahaja berkecimpung dalam bidang fotografi ini. Dari harga yang mahal sehingga menawarkan dengan harga yang murah. Dari bengkel 3 hari sehinggalah kepada bengkel setengah hari. Setiap tenaga pengajar ini, sudah pasti mempunyai strategi untuk menarik jurugambar yang baru berkecimpung untuk menyertai bengkel yang ditawarkan. Secara jujurnya, pernah sekali saya diam-diam menyertai salah satu bengkel yang dianjurkan. Niatnya cuma satu, untuk melihat sendiri bagaimana jurufoto tersebut mengendalikan bengkelnya. 

Pandangan saya secara jujur, pilihlah bengkel fotografi yang memang mempunyai tenaga pengajar yang diiktiraf. Maksud saya, diiktiraf dari segi pengalaman dan akademik. Untuk belajar fotografi, tidak cukup dengan hanya membaca di internet dan membeli buku semata-mata. Tetapi perlu ada tok guru yang mempunyai pengalaman dan ilmu yang cukup. Perhatikan portfolionya. Perhatikan kelulusannya. Banyak kes yang terjadi, jurugambar ada yang mengadu kepada saya, ilmu yang diperolehi tidak betul dan mereka tidak jelas apa yang cuba disampaikan. Beberapa terma foto diubah suai mengikut rasa tenaga pengajar tersebut. Ini yang bahayanya. 

Apabila anda ingin mempelajari fotografi, anda memerlukan pengetahuan yang luas dalam aspek teknikal. Soal gambar cantik atau tidak sebenarnya anda sendiri akan pelajari melalui pengalaman. Cantik dalam bidang fotografi itu adalah subjektif. Anda rasakan imej gambar anda cantik, tetapi mungkin interpretasi orang yang melihat imej gambar berlainan dengan anda. Tips saya mudah sahaja. Berikan penegasan dan kekuatan subjek matter utama anda. Mudahkan mesej yang disampaikan. Masukkan sedikit permainan teknikal. Masukkan sedikit unsur-unsur estetik. Insyaallah, imej gambar anda akan menjadi Wow Factor. Untuk mendapatkan Wow factor itu bukan mudah. Anda memerlukan fokus dan meletakkan jiwa anda pada imej gambar. Jika diingat mengenai terma jiwa gambar, Student saya suka mengejek saya kembali jika membuat presentation gambar mereka dengan mengatakan, Imej gambar mereka mempunyai Soul... tidak mengapa, asalkan mereka sentiasa ingat. 

Saya kurang setuju jika ada beberapa tenaga pengajar mengeluarkan tagline. Pandai fotografi dalam masa singkat. Ilmu fotografi memerlukan masa. Anda perlu mencari style (gaya) anda sendiri. Tidak perlu terlalu obses dengan mana-mana jurugambar yang sudah mempunyai nama. Mereka dengan cara mereka dan anda dengan cara anda. Dapatkan ilmu mereka dan kemudian bina style anda sendiri. Untuk mendapatkan style, mula-mula anda meniru dahulu. Cuba rajinkan diri dengan menyelak dan melihat mana-mana majalah fotografi yang anda suka. Perhatikan dan cuba tiru. Insyaallah, lama kelamaan, anda boleh membina gaya anda. Apa yang anda perlu tekankan ketika mengikuti bengkel tersebut. Belajar sebanyak yang mungkin hal-hal teknikal dari tenaga pengajar anda. Jangan terlalu risau dengan hendak membina gambar yang cantik. Hendak membina gambar yang cantik memang memerlukan sedikit masa. Jika anda rajin praktikan tips saya. Insyaallah, anda akan menjadi seorang jurugambar yang cekap. 

Satu mentaliti yang sentiasa ada pada seorang jurugambar. Mereka ingin mendapatkan job2 weeding sehingga ada yang sanggup meletakkan harga yang terlalu murah. Bidang fotografi bukan sekadar untuk weeding sahaja. Lambakan jurufoto perkahwinan merupakan satu persaingan yang sihat. Tetapi ada daripada mereka cuba merosakkan industri dengan menawarkan harga yang terlalu murah. Cuba semak harga lantai yang telah ditetapkan. Patuhi dan fikirkan untuk jangka masa yang panjang. Pasangan pengantin selalu hendak harga yang murah tetapi mereka hendak macam-macam. Jangan rosakkan industri fotografi dengan menurut kehendak mereka. Semaklah harga Lantai yang telah ditetapkan. Untuk masa sekarang, sudah ada kamera sahaja, sudah boleh membuat Job weeding. Jadi bersainglah secara sihat.  

Bidang fotografi ini sudah terlalu luas. Boleh dikatakan, dalam kehidupan manusia yang sedang berada dalam arus kemodenan ini memerlukan imej fotografi dalam kehidupan mereka. Lihat sahaja disekeliling kita, pengiklanan, akhbar, promosi, pengajaran, forensik, perubatan, kejuruteraan, budaya semuanya memerlukan imej fotografi. Malah sudah ada beberapa penyelidikan dari fakulti-fakulti yang bukan dari FSSR sudah mengkaji dan membuat penyelidikan mengenai imej fotografi. Ini semuanya menjadi satu petanda bahawa sudah ramai menyedari dan menerima imej fotografi dalam kehidupan zaman ini. Jika diimbas dahulu, ada sesetengah saudara mara saya, memandang rendah kepada saya apabila mengetahui saya mengambil jurusan fotografi. Ada juga dengan sini bertanya kepada saya, apa yang saya hendak buat selepas bergraduat nanti. Ada peluang pekerjaan?. Dan kini alhamdullilah, rezeki allah ada dimana-mana. Saya kini pun tidak menduga. tetapi saya bersyukur dan gembira kerana bidang fotografi sedang berkembang dengan pesatnya. Tetapi menjadi satu kekhuatiran secara peribadi. Bidang fotografi akan menjadi tepu satu hari nanti. Bila terlalu ramai jurugambar, tetapi industri fotografi kita masih lagi kecil. Saya agak risau dengan lambakan jurugambar akan membuatkan industri ini menjadi tepu. Ada sesetengah student saya, langsung tidak mempraktikan diploma atau ijazah mereka dengan bekerja sebagai jurugambar. tetapi mereka bekerja diluar bidang. Ada yang menjadi pegawia bank dan ada juga yang bekerja sebagai pegawai tadbir. Ini bermakna mereka menjadikan diploma dan ijazah dalam bidang fotografi sebagai pasport untuk bekerja semata-mata. 

Sudah sampai masanya, Kerajaan mengiktiraf jurugambar yang bekerja dalam sektor kerajaan. Gred jurugambar kini hanya setakat gred 30 sahaja. Mereka masih lagi dikira sebagai kumpulan sokongan. Tidak salah rasanya, kerajaan memperkenalkan Gred jurugambar dalam kumpulan pengurusan dan profesional (PnP). Berikan laluan sehingga gred 52 ke atas. Bukalah peluang jurugambar yang boleh diserapkan dalam semua Kementerian. Kita tidak boleh beranggapan, jurugambar setakat memegang kamera semata-mata. Tetapi mereka mempunyai multi skills yang sama dengan graduan kelulusan lain. Tetapi sayang, jurugambar yang bekerja dengan sektor kerajaan terpinggir. Kita memerlukan satu persatuan yang betul-betul kuat untuk membawa isu dan cadangan ini kepada JPA. Jika peluang ini dibuka. Graduan-graduan fotografi mempunyai jaminan kerjaya yang cerah. 

Perkembangan fotografi perlu bersifat globaliasi dan multi skills. Jika kita tidak mahukan industri dan kerjaya fotografi ini menjadi tepu. Kita perlu meneroka bidang fotografi ini dengan lebih meluas. Industri dan akademik perlu berjalan seiringan. Tanpa industri, siapalah ahli akademik. Tanpa Ahli akademik, pincanglah industri. Kita lupakan sengketa dan menunjukkan siapa yang lebih hebat. Kita perlu sokongan dan dorongan diantara satu sama yang lain jika kita cintakan dan sayangkan bidang fotografi. Saya amat terbuka menerima apa jua cadangan daripada jurugambar yang sedia ada. Saya menyokong sepenuhnya usaha-usaha untuk memertabatkan bidang ini. Insyaallah, seberkas lidi tidak mudah dipatahkan. begitu juga kita, Bermuafakat untuk memperkembangkan bidang fotografi agar dihormati oleh generasi yang akan datang....

Nadzri b. Mohd Sharif 
8 Januari 2014 
1.05 Tengah Hari..
Kelemak ... 

     

Saturday 3 January 2015

BENGKEL PEMANTAPAN FOTOGRAFI SIRI (2) 2012 PART 2

Sepanjang Bengkel, peserta telah menimba banyak pengalaman yang amat berharga. Peserta telah diajar teknik dan cara yang betul menguasai kamera, pengenalan kepada perisian Adobe Photoshop dan pemahaman terhadap fungsi pencahayaan. Beserta dengan entry ini saya sertakan perjalanan sepanjang bengkel yang telah berlangsung selama 3 hari. 

Sesi pendaftaran peserta pada pagi 28 Oktober 2014 sebelum Majlis Perasmian. Peserta diberikan goodies dan T Shirt.  





Aktiviti sesi praktikal . Peserta ditugaskan mengambil imej gambar mengikut tugasan yang diberikan dan dibantu oleh pensyarah yang bertugas. 




Sesi pembelajaran yang dikendalikan oleh Puan Nor Fariza dan dibantu oleh En Mokhsin 



Sesi praktikal di luar kampus mengambil Panning, Low Shutter dan High Shutter yang dikendalikan sendiri oleh saya.







Peserta diberikan peluang menggunakan MAC untuk bengkel asas editing 






Sesi Art Talk oleh En Fadhil b. Kamaruddin dan En Hanif b. Omar mengenai pengalaman mereka dalam bidang fotografi. Sesi tersebut turut dihadiri oleh barisan Team Duku Photography 




Nadzri b. Mohd Sharif
4 Januari 2014 
12.19 Tgh Hari 

BENGKEL PEMANTAPAN FOTOGRAFI SIRI (2) 2014

Assalamualaikum W.B.T

Entry pada hari ini adalah saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan semua mengenai Bengkel Pemantapan Fotografi Siri (2) 2014 yang telah selamat diadakan pada 28 Hingga 30 Oktober 2014 yang lalu. Mohon maaf saya, agak lambat untuk uploadkan gambar-gambar sepanjang bengkel tersebut bagi tatapan rakan-rakan sekelian. Biarlah Gambar menceritakan segalanya.... Bengkel Pemantapan ini berlangsung di UiTM Melaka dan disertai hampir 38 anggota PDRM dan 69 peserta dari UiTM seluruh Malaysia. Alhamdullilah, segalanya berjalan dengan lancar.... 

Majlis Perasmian Bengkel Pemantapan Fotografi Siri (2) 2014 oleh Prof Madya Dr Roiamah Omar, Timbalan Rektor, Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Melaka. Turut hadir bersama Dr Azahar Harun, Ketua ICAN dan En Raziq b. Abd Samat, Penyelaras Jabatan Fotografi, UiTM Melaka. 








SELAMAT DATANG 2015..SELAMAT TINGGAL 2014

Assalamualaikum W.B.T

Lama benar rasanya tidak menjenguk blog ini. Minta maaf, kerana saya agak sibuk menyelesaikan beberapa tugasan pengajian saya. Insyaallah, tahun 2015, merupakan tahun terakhir saya menyiapkan kerja-kerja PhD. Pertama kali, saya ingin memanjat syukur, kerana pada tahun 2015, usia saya kian menginjak tua. Matang dalam menjalani kehidupan di bumi allah yang serba luas ini. Syukur ke hadrat allah, kerana memberikan saya peluang untuk terus bernafas, dianugerahkan kesihatan dan dipermudahkan urusan. 

Tahun 2014, bukan lah tahun yang saya anggap sebagai tahun yang mencabar diri saya secara peribadi. Tahun 2014, merupakan tahun saya menumpukan beberapa tugasan, alhamdullilah, tahun 2014, saya berjaya menganjurkan Bengkel Pemantapan Fotografi Siri (2) 2014 yang telah berlangsung pada 28 Hingga 30 Oktober 2014. Tahun 2014 juga merupakan tahun saya dapat memperkenalkan diri saya sebagai Komentar majalah Aperture. Tahun 2014, juga saya berjaya menempatkan penulisan saya dalam Bab buku terbitan ATMA UKM Malaysia. Tahun 2014, saya berjaya menulis beberapa journal scopus yang menjadi satu kepuasan yang tidak terhingga, 






Tahun 2014, mengajar saya banyak perkara, saya menerima beberapa cabaran yang berat, dan alhamdullilah, allah maha menyayangi dan memelihara diri saya. Saya dapat menghadapi cabaran tersebut dengan sebaiknya. Mungkin sukar untuk saya menerima beberapa kejutan atau berita yang mengugat kesabaran saya. tetapi saya percaya, allah maha adil dan saksama, setiap perkara yang negatif akan dibalasnya. cuma masa yang menentukan semua. Oleh itu saya perlu terus sabar dan tabah menghadapi dugaan ini. 

Insyaallah, azam saya tahun 2015 ini, saya akan aktif untuk menganjurkan beberapa kursus untuk peminat fotografi. Mungkin saya akan menukar sedikit konsep pengajaran agar sesi kursus ini akan lebih menarik dan mesra peserta. Saya juga merancang untuk menerbitkan lagi beberapa buah buku dan aktif menulis dalam beberapa majalah. Tujuan saya adalah untuk terus berkongsikan ilmu dan menimba pengalaman sebanyak yang mungkin.

Mungkin tahun 2015 ini, saya sedaya upaya untuk menulis banyak lagi makalah dan cerita dalam blog saya. Insyaallah, saya akan sedaya upaya menjenguk ke blog ini. Saya mengharapkan agar rakan-rakan dapat memberikan input untuk saya memperbaiki konsep dan menjadikan blog ini sebagai medan pertukaran maklumat dan cerita. Insyaallah 


NADZRI SHARIF 
8.54 Malam 
3 Januari 2014