Followers

Thursday 7 May 2015

DILEMA LAMBAKAN KURSUS FOTOGRAFI, ADAKAH BERKUALITI?.

Assalamualaikum W.B.T,

Sudah lama juga saya tidak menjengah Blog saya, alhamdulillah, berkat dari sokongan anda, blog saya telah mencapai lebih 15 ribu lawatan. Satu semangat baru telah disuntik. Saya masih teringat, ketika menulis Blog ini, saya menjangkakan tidak mempunyai ramai pengunjung. Saya menulis sekadar suka-suka untuk meluahkan pandangan saya. Saya bukanlah seorang insan yang popular, atau mencari glamour. Saya lebih gemar untuk terus mengekalkan Low Profile. Biarlah hanya dikenali melalui Blog dan ilmu sahaja. Mungkin saya sudah selesa dengan cara sebegini.

Pada entry kali ini, saya ingin memberikan pandangan saya mengenai lambakan kursus fotografi yang semakin tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Trend sekarang, sudah ramai jurugambar menganjurkan kursus-kursus fotografi. Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan positif apabila rata-rata daripada mereka menyedari betapa pentingnya penyebaran ilmu fotografi. Ada juga di kalangan jurugambar apabila menyedari job yang diterima sudah berkurangan akibat persaingan yang semakin sengit mula mengatur strategi untuk terlibat menganjurkan bengkel dan kursus fotografi. Ada juga yang mengambil kesempatan dengan mempunyai pengikut tersendiri sudah mula menawarkan kursus dan bengkel dengan harga yang tinggi. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Tiada salahnya, tetapi secara tidak sedar, lambakan penganjuran bengkel dan kursus fotografi akan menjadikan industri dalam keadaan yang tidak sihat. Mengapa saya berpandangan sedemikian?.    

Sering kali saya mengingatkan kepada mereka yang baru sahaja ingin menyertai bidang fotografi untuk mencari guru yang sebenar. Guru yang sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam akademik fotografi. Mempunyai silibus, mempunyai pengiktirafan. Tidak semua jurugambar mempunyai skill dalam pengajaran dan begitu juga sebaliknya, tidak semua tenaga pengajar mempunyai pengalaman dalam industri. Dua perkara yang berbeza. Bidang akademik fotografi sebenarnya bukan sekadar mempelajari berkenaan kamera semata-mata, tetapi perlu mempunyai pengetahuan dalam falsafah nya, sejarah, criticizing dan bermacam-macam-macam lagi. Untuk menjadi seorang jurugambar yang mampu mempunyai keyakinan dan autoriti pada imejnya, perlu mempunyai pengetahuan sedemikian. Fotografi bukan sekadar menggambar semata-mata, pelbagai teknikal, semiotik, mesej, pegangan, elemen, penceritaan, semuanya perlu ada pada sekeping gambar. Itu yang membezakan anda seorang jurugambar dengan mereka yang hanya menggambar. 

Disebabkan perbezaan inilah yang menyebabkan, ada sesetengah jurugambar muda telah menerima ajaran sesat dan tidak betul. Mereka menerima pengajaran teknikal yang salah. Apa yang menyedihkan, mereka yang menerima pengajaran yang salah ini pula akan mengajar junior lain seperti mana yang mereka pelajari. Ini satu keadaan yang tidak sihat. Secara jujur nya, saya pernah berada di dalam satu kursus fotografi yang  dianjurkan oleh salah satu jabatan kerajaan. Apa yang memeranjatkan saya, teknikal fotografi yang dipelajari dari seorang jurugambar yang mempunyai nama, ternyata silap. Saya cukup hairan, bagaimana jabatan kerajaan ini, menerima jurugambar yang tidak mempunyai kelayakan rasmi secara langsung dari institusi pengajian yang diiktiraf mendapat kontrak kerajaan untuk menganjurkan kursus fotografi?. Apakah standard yang sebenarnya digariskan oleh mana-mana jabatan kerajaan dalam penganjuran kursus sebegini melantik moderator atau penceramah yang mempunyai kelayakan. Perkara ini nampak macam kecil, tetapi kesannya amat besar apatah lagi jika jabatan atau individu menggunakan kamera dalam rutin pekerjaan mereka.

Lambakan kursus ini menjadikan lambakan sijil dan pengikut orang-orang tertentu dalam bidang fotografi. Ada sesetengah jurugambar menjadikan penganjuran kursus sebagai platform mereka mencipta pengaruh. Adat rakyat Malaysia, mereka akan menjadi pengikut membuta tuli, menjadi ekstremis fotografi sedangkan saya percaya, mereka ini sendiri tidak tahu dan faham sebenar-benarnya apa yang mereka ketahui dan pelajari mengenai fotografi. Apabila jurugambar mempunyai pengaruh, bukan satu lesen untuk anda mencemuh jurugambar yang lain. Jurugambar pengiklanan, akan mencemuh jurugambar journalism, jurugambar journalism pula tidak akan berpuas hati pula dengan kenyataan jurugambar perkahwinan. Ini bukan lesen untuk anda mencemuh sesama sendiri walaupun anda mempunyai pengikut. Dalam bidang fotografi, konsepnya adalah sama. Kita menggunakan cahaya untuk melukis, tetapi genre atau bidang fotografi hanyalah sebagai tugas atau pelengkap. Masing-masing mempunyai pengetahuan dan kehebatan tersendiri. Kita tidak boleh judge hasil gambar secara tepat kerana ia bergantung apakah niat seseorang jurugambar apabila dia merakamkan gambar. Ayat yang paling popular, gambar itu adalah “subjektif”. Tetapi dalam bidang forensik fotografi, gambar perlu merujuk kepada fakta kes, fakta isu dan rantaian keterangan. Jadi perkataan subjektif tidak boleh digunakan kerana gambar perlu menjelaskan keterangan dan fakta kes.

Untuk mempelajari fotografi, anda memerlukan cukup masa sekurang-kurangnya 2 tahun untuk melengkapkan pengetahuan fotografi secara keseluruhan. Saya secara jujur, kurang percaya apabila anda mengatakan dengan hanya 6 bulan, anda akan menjadi pakar. Saya membuat audit banyak institusi kerajaan apabila ingin mengeluarkan sijil. Paling kurang tempoh masa yang diiktiraf oleh MQA adalah 7 bulan hingga setahun. Jika anda ingin mempunyai pengiktirafan sijil anda, nasihat saya, anda carilah kolej, institusi yang menawarkan sijil yang diiktiraf oleh MQA atau SKM. Banyak institusi dan kolej yang mempunyai sijil yang diiktiraf. Bayaran yang anda keluarkan tidaklah mahal dan saya percaya tidak melebihi 1000 ringgit kos sepanjang pengajian anda. Malah anda mungkin diberikan subsidi. Cuba rujuk laman web MQA dan SKM untuk mendapatkan info sijil-sijil fotografi yang diiktiraf. Penting pengiktirafan ini adalah supaya anda tidak rasa anda teraniaya apabila mungkin anda menggunakan sijil tersebut untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma atau degree. Mungkin anda menggunakan sijil tersebut apabila anda ingin memohon pekerjaan dalam Jabatan kerajaan. Pengiktirafan sijil sangat penting.


Tetapi, jika anda sekadar untuk hobi semata-mata. Pengiktirafan sijil tidak penting, tetapi jika hendak belajar semata-mata, nasihat saya, carilah guru yang benar-benar dapat membantu anda, mempunyai pengiktirafan dan kelayakan untuk mengajar anda. Tidak perlu membazirkan duit membayar harga yang terlalu mahal di mana duit tersebut anda boleh gunakan untuk menambahkan aksesori. Mohon semak portfolio dan Resume penceramah. Cuba periksa, tahap kelulusan, pengalaman dan pengiktirafan diterimanya. Cuba buat sedikit homework. Anda boleh mencari ilmu dengan menyertai aktiviti group fotografi. Anda boleh belajar dari situ. Jangan terima bulat-bulat, gunakan rujukan buku atau nota mengenai fotografi yang anda boleh dapatkan dalam internet. Teknologi sekarang makin hebat, segala maklumat di hujung jari anda.