Followers

Saturday 3 June 2017

TIPS PROSES TEMUDUGA PELAJAR BARU FSSR UiTM

Assalamualaikum W.B.T

Saya menerima banyak email daripada lepasan SPM berkenaan temu duga bagi memasuki Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Oleh itu, post kali ini akan mengupas dengan lebih terperinci bagaimana proses temu duga berjalan. Semoga bakal-bakal pelajar mendapat input daripada post ini. 

1. MENERIMA EMAIL TEMUDUGA 

LAKUKAN

Pertama sekali, bakal-bakal pelajar WAJIB memeriksa email. Pastikan alamat email yang betul dan sama digunakan semasa proses permohonan di UPU atau UiTM Online. Kebiasaanya, pihak UiTM akan mengeluarkan email panggilan temuduga satu bulan sebelum kemasukkan seperti contoh, bagi kemasukkan Jun, proses temuduga akan dilakukan sekitar penghujung bulan April atau awal bulan Mei.

        Apabila anda mendapat email temuduga, perkara pertama yang kena pastikan ialah pusat temuduga yang akan diadakan. Kebiasaanya, calon-calon dari negeri Johor, pusat temu duganya adalah di UiTM Pasir Gudang, Johor. Bagi calon-calon dari Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang, pusat temu duga adalah di negeri UiTM Lendu, Melaka. Bagi calon-calon dari Selangor, pusat temuduga di UiTM Shah Alam. Bagi negeri-negeri belah utara kebiasaanya pusat temu duga adalah di UiTM Seri Iskandar. Bagi negeri-negeri pantai timur, pusat temu duga samaada di UiTM Machang atau UiTM Dungun. Bagi Sabah dan Sarawak, pusat temu duga adalah di negeri masing-masing. Bakal pelajar  memang PENTING mengetahui dengan tepat tarikh, masa dan pusat temuduga. Pastikan anda hadir se awal pagi jam 8 kerana setiap calon akan terlibat dengan 3 proses utama temu duga.

JANGAN LAKUKAN 

Banyak calon-calon pelajar terlepas waktu temu duga kerana tidak memeriksa email atau memasukkan email yang salah ketika proses permohonan. Apabila anda tidak hadir ke pusat temuduga mengikut masa yang ditetapkan, pihak UiTM berpendapat anda menolak panggilan temuduga. Apabila anda tidak di temuduga, anda tidak boleh ditawarkan memasuki mana-mana kursus di FSSR.

          JANGAN LAKUKAN anda hadir di pusat temuduga yang salah, tidak hadir untuk temuduga dan tidak menghadiri mana-mana proses temuduga yang telah ditetapkan.


2. PERSIAPAN TEMUDUGA

LAKUKAN 

Persiapan temuduga amat penting bagi anda dan kebiasaanya ramai calon yang hadir tidak bersedia dengan proses tersebut. Terdapat 3 proses temuduga yang akan anda jalankan iaitu 1. Ujian Melukis, 2. Ujian Kreativiti dan 3. Temubual. Anda diwajibkan menghadiri ketiga-tiga proses tersebut. Sepanjang proses temuduga ini, anda diwajibkan memakai pakaian FORMAL ( Berbaju kemeja, berseluar slack dan berkasut (Lelaki), Berbaju kurung dan berkasut (Wanita).

1. Ujian Melukis = Pastikan anda membawa peralatan lukisan yang mencukupi seperti pensel 2B dan kertas lukisan sendiri. Pihak UiTM tidak menyediakan peralatan tersebut sepanjang proses ujian melukis. Ujian melukis anda akan diletakkan apa-apa objek dihadapan anda, dan dikehendaki melukis objek tersebut mengikut ukuran yang bersesuaian. Pastikan anda mendapat latihan tersebut dengan bertanyakan kepada Cikgu Pendidikan Seni Visual teknik yang betul. Masa yang diberikan adalah selama 1 Jam.

2. Ujian Kreativiti = Selepas Ujian Lukisan, kertas lukisan anda akan dikutip oleh pensyarah bertugas. Selepas itu anda diberikan sehelai kertas A4 di atasnya anda akan melihat telah dilukis objek-objek tertentu. Gunakan imiginasi anda dengan melukis dan menyambungkan objek-objek tersebut. Kebiasaanya, pensyarah akan melihat sejauh mana kreativiti anda melukis dan menyambungkan objek tersebut. Masa diberikan untuk ujian ini hanya 20 minit.

       Kebiasannya, selepas ujian kreativiti anda akan diberikan borang 9 Pilihan program yang boleh anda pilih. Pilih mengikut minat (JANGAN IKUT KAWAN-KAWAN) dan kemampuan anda. Berikut merupakan senarai pilihan program yang ditawarkan mengikut kampus yang boleh anda pertimbangkan seperti berikut:

1. (AD117) DIPLOMA FOTOGRAFI = Ditawarkan di UiTM Melaka atau UiTM Perak                       (PASTIKAN ANDA MEMILIH PROGRAM INI hihihi...)
2. (AD111) Seni Reka Grafik= UiTM Melaka, UiTM Kelantan
3. (AD114) Seni Reka Perindustrian = UiTM Melaka, UiTM Kedah
4. (AD118) Seni Reka Seni Halus= UiTM Melaka, UiTM Perak, UiTM Kelantan
5. Seni Reka Fashion
6. Seni Reka Seramik

Letakkan keutamaan anda dengan menanda pilihan nombor 1 sebagai paling utama. Jangan lupa letakkan AD117 (Diploma Fotografi sebagai Pilihan 1 anda...(Prosmosi lagi).    

3. Temubual = Banyak calon-calon tidak bersedia ketika proses ini dijalankan. Berikut merupakan perkara-perkara yang PENTING disediakan semasa proses temubual tersebut adalah seperti berikut:

i) Salinan Sijil-Sijil

Salinan sijil-sijil yang diperlukan adalah seperti berikut:
a) Salinan sijil kelahiran calon, bapa dan ibu (disahkan oleh Pegawai A)
b) Salinan kad pengenalan calon, bapa dan ibu (disahkan oleh Pegawai A)
c) Salinan sijil SPM (Disahkan oleh Pengetua Sekolah Menengah)
d) Salinan sijil-sijil aktiviti, kursus, bengkel yang berkaitan dengan permohonan anda

PASTIKAN SEMUA SIJIL-SIJIL INI DISUSUN DALAM SATU FOLDER PLASTIK          

ii) Portfolio Pendidikan Visual

Anda dikehendaki membawa portfolio yang anda hasilkan semasa mengikuti subjek Pendidikan Seni Visual. Dari situ Pensyarah akan melihat tahap kreativiti dan kesungguhan anda. Dapatkan nasihat dari Guru Pendidikan Seni Visual anda untuk menghasilkan portfolio yang kreatif tapi simple.

iii) Portfolio mengikut kursus yang dimohon

Jika anda memohon Diploma Fotografi pastikan anda membawa contoh-contoh gambar atau instagram yang menunjukkan hasil karya fotografi anda. Jika anda memohon Seni Reka Fesyen, pastikan anda membawa contoh-coktoh baju dan teknikal jahitan yang dipelajari. Jika anda memohon Seni Reka Grafik anda membawa semua hasil logo, packaging yang anda buat.

iv) Adab ketika temubual

Sesi temubual adalah untuk melihat kesungguhan anda untuk memasuki program FSSR bukan hendak melihat kehebatan anda. Saya tidak suka calon yang berlagak dan bercakap besar kerana ianya akan melambangkan attitude anda ketika proses pembelajaran berjalan. Tidak salah anda bersikap mesra, menjawab semua soalan dengan yakin dan bersungguh-sungguh. Saya akan kupas teknik temubual yang betul dan hebat.

Berikut merupakan tips hebat temubual berdasarkan pengalaman saya adalah seperti berikut:
1. Perkenalkan diri anda dengan kreatif. Pastikan wajah anda sentiasa tersenyum dan memperkenalkan diri dengan penuh keyakinan.
2. Jangan bina argument dengan pensyarah yang menemuduga anda. Jika anda tidak bersetuju anda diamkan sahaja. Itu langkah yang paling bijak.
3. Sepanjang proses temuduga, anda duduk dengan selesa, jawab dengan memandang terus mata pensyarah yang menemuduga anda. Ukirkan senyuman.
4. JANGAN sesekali membawa surat recommendation dari sesiapa termasuklah Jurugambar dekat kampung anda, Menteri Pengajian Tinggi, President Donald Trump atau Ratu Elizabeth II. Yakin pada diri dan kemampuan anda.
5. Saya ingatkan dengan sekeras-kerasnya. PAKAIAN menunjukkan siapa diri anda. pastikan anda memakai PAKAIAN FORMAL dan BERKASUT bagi calon lelaki atau wanita.
6. Jangan takut dengan Pensyarah yang menemuduga anda, Mereka ini memang berniat hendak membantu anda. Jadikan sesi temubual tersebut menarik dan menyeronokkan.
7.  Bertanya dahulu kepada pegawai yang memanggil anda siapa pensyarah yang menemuduga anda. Jika pensyarah itu mempunyai tittle Prof, anda kena memanggil beliau Prof, jika tittle Dr, anda perlu memanggil beliau Dr. Jika tiada apa-apa tittle, anda boleh membahasakan mereka dengan panggilan Tuan atau Puan. JANGAN panggil mereka dengan panggilan ABANG atau AKAK.

3. SELEPAS TEMUDUGA

Proses temuduga mengambil masa kemungkinan seharian kerana calon yang menyertai sesi ini memang ramai. Pastikan anda bersedia dengan bekalan makanan yang mencukupi kerana pihak UiTM kebiasaannya tidak menyediakan minum pagi. Datang awal sebelum pukul 8 pagi. Selepas anda melengkapkan proses temubual, anda dan keluarga boleh balik dengan senang hati. Cuma, selepas itu, anda akan menanti dengan penuh debaran keputusan proses temuduga ini yang akan menentukan samaada anda LAYAK atau TIDAK LAYAK menjadi sebahagian keluarga Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada anda semua. Selamat Maju Jaya....

Dr. Nadzri b. Hj. Mohd Sharif
Seri Kelemak
4 Jun 2017 7;28 pagi...


                 

Friday 2 June 2017

KENANGAN PELAJAR DIPLOMA FOTOGRAFI UiTM CAW. MELAKA SESI (2016-2018) (PART 1: PERKENALAN BERMULA)

Assalamualaikum W.B.T

Masa cepat betul berlalu, tak lama lagi usia akan menjengah 37 tahun. Secara tak sedar, dah lebih Setahun 3 bulan saya kembali ke UiTM Caw. Melaka selepas melaporkan diri kembali ke UiTM pada 9 Mac 2016. Ketika tu, saya amat merindui dunia akademik (mengajar) setelah hampir 3 tahun 6 bulan menyelesaikan urusan pengajian Doktor Falsafah di UKM. Banyak betul perubahan yang berlaku pada sistem UiTM sehingga tidak terkejar dibuatnya. 

        Saya sejak dari kecil memang bercita-cita menjadi seorang guru. Masih teringat lagi, ayah saya membelikan papah hijau besar yang digantung di ruang makan. Papan hijau itulah saya gunakan untuk bermain cikgu-cikgu. Kesian sepupu-sepupu saya apabila dipaksa belajar dan saya pula berlagak seperti seorang guru. Saya pernah juga ditemuduga untuk memasuki Institut Perguruan, tetapi telah gagal. Saya masih bersyukur, walapun cita-cita saya tidak tercapai sebagai seorang guru, saya masih lagi menjadi seorang pendidik. Cuma bezanya saya mendidik pelajar universiti.  

          Berbalik kepada tujuan posting kali ini, saya hendak menceritakan pengalaman saya betapa seronoknya kembali ke dalam dunia pengajaran. Pada mulanya saya agak kekok, tetapi perasaan itu diatasi dengan perasaan excited. Tanggungjawab saya bermula pada bulan Jun 2016, apabila saya diminta untuk mengetuai program Minggu Inspirasi FSSR. Program ini merupakan program induksi kepada pelajar baru FSSR UiTM Melaka. Program inilah merupakan program pertama saya bertemu dengan kumpulan pelajar Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif seramai 40 orang kesemuanya. Saya berasa sangat excited apabila Penyelaras Program Fotografi ketika itu telah melantik saya sebagai penasihat akademik bagi kumpulan MAD1171A. Bagi kumpulan MAD1171B pula diletakkan di bawah tanggungjawab Puan Dona Lowi Maadon. Berikut saya kongsikan gambar-gambar ketika minggu inspirasi tersebut.   


Tekun betul Natasha Awra (Senah), Wan Nurafina (Mak) dan Farisha Farhah (Wajah persis Aidah Jebat). Turut kelihatan Batrisya Dayana. Natasha Awra dan Farisha Farhah merupakan pelajar Anugerah Dekan. 


Masa ini merupakan taklimat awal aktiviti Minggu Inspirasi FSSR. Seronok menyaksikan kesemua pelajar baru (Part 1) FSSR UiTM Melaka dapat dikumpulkan tanpa mengira perbezaan jabatan-jabatan. Di bawah FSSR UiTM Melaka terdapat empat Jabatan iaitu Jabatan Seni Reka Grafik, Jabatan Seni Reka Industri, Jabatan Fotografi dan Jabatan Seni Halus. 



Minggu Inspirasi FSSR bukan minggu yang menakutkan malah menyeronokkan. Objektif utama program ini adalah menjalinkan silaturahim di antara pelajar senior dan junior. Banyak aktiviti menyeronokkan berlaku di bawah pantauan pensyarah-pensyarah.


Saya mengambil kesempatan ketika ini bertemu dengan pelajar-pelajar Diploma Fotografi. Masih teringat lagi, ketika ini tengah bulan puasa. Saya meminta mereka balik awal untuk berehat, tetapi masing-masing macam tidak mahu berganjak untuk mendapatkan tanda tangan senior-senior Diploma Fotografi. 


Kecoh betul suasana ketika ini, Masing-masing bertemu dengan senior-senior untuk mendapatkan tanda tangan. Ketika inilah hubungan di antara junior dan senior bertambah rapat.





Aktiviti-aktiviti menyeronokkan sepanjang minggu inspirasi yang pasti menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan seumur hidup saya. 


Berlumuran tepung setelah di iktiraf sebagai pelajar-pelajar FSSR oleh KPP FSSR DR Azahar Harun


Bos yang sentiasa menyokong, memahami dan mengambil berat perjalanan program ini. Beliau seorang yang sangat tenang dan matang. Beliau ialah Dr Azahar Harun, KPP FSSR UiTM Melaka. 


Saat bergambar beramai-ramai selepas tamat minggu inspirasi 01 FSSR Jun 2016






Keesokan harinya merupakan majlis berbuka puasa bersama Timbalan Rektor HEA, Dr Rani Diana bt. Othman. Beliau yang banyak memberikan panduan, nasihat dan cadangan kepada saya bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

Program Minggu Inspirasi seperti yang saya sebutkan tadi merupakan program pertama di bawah kendalian saya, bermula dari tu, saya mula mengenali pelajar-pelajar MAD1171A dan MAD1171B dengan lebih mendalam. Banyak betul kerenah, kisah disebalik persahabatan ini akan saya ceritakan untuk berkongsi kepada rakan-rakan blog suasana sebenar ketika menjalani pengajian di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka atau dikhususkan kepada Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif. 

                Saya memang mengamalkan cara berhubung rapat dengan pelajar-pelajar. Saya bertindak sebagai bapa, mak, pensyarah, guru, sahabat kepada semua pelajar tanpa membezakan jantina dan background masing-masing. Yang datang ini, masing-masing mempunyai latarbelakang keluarga yang berbeza-beza. Ada merupakan anak golongan berharta, ada yang dilahirkan dalam keluarga yang susah dan ada pula yang dilahirkan dalam keadaan keluarga berpecah. Tetapi, sering saya ingatkan kepada mereka, buang semua sejarah silam, maju kehadapan dan berusaha menghabiskan Diploma Fotografi tepat masanya. Saya tegaskan, masalah keluarga bukan penghalang untuk kita boleh berjaya, untuk mengubah kehidupan keluarga kita ialah cari kejayaan dengan menimba ilmu setinggi yang boleh. Itulah perkataan yang saya sering tegaskan kepada semua pelajar-pelajar saya. Untuk berjaya, restu ibu dan bapa penting disulami dengan tawakal kepada allah...tetapi, tidak semua pelajar saya mendengar apa yang saya nasihatkan, setakat hari ini sudah 2 orang pelajar telah disingkirkan kerana memperolehi pointer yang rendah, 1 orang lagi sedang menunggu masa untuk disingkirkan kerana begitu banyak lagi paper yang terpaksa diambil semester hadapan, 1 orang lagi akan keluarga kerana masalah keluarga dan 1 orang lagi juga akan keluar dengan alasan yang saya rasakan tidak matang dan mengikut hati (tidak dapat saya ceritakan disini).

             Kehidupan di universiti merupakan satu keseronokkan yang tidak ada gantinya. Jangan rosakkan keindahan hidup sebagai mahasiswa dengan membuat langkah-langkah yang boleh merosakkan diri. Kebanyakkan pelajar sering lupa tujuan sebenar mengapa mereka belajar di universiti. Kesilapan terbesar pelajar ialah BERCINTA. Pelajar saya tidak terlepas dengan masalah ini. Saya memang terpaksa bertindak tegas dengan mana-mana pelajar yang melanggar arahan saya. Sejak dari mula kelas, saya nasihatkan semua pelajar hampir setiap hari supaya jangan BERCINTA. Sudah 11 tahun saya menjadi pensyarah, kebanyakkan pelajar yang bercinta ini memang akan membawa masalah. Apabila pelajar bercinta, dia tidak akan fokus dan mula terawang-awang dalam dunianya. Menjadi leka dan terpaksa memeningkan kepala di atas perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Tapi apakan daya, masih ada juga pelajar-pelajar di bawah jagaan saya melanggar arahan tersebut malah menyalahkan saya apabila saya menegurnya di atas pretasinya yang telah jatuh kerana bercinta. Tetapi saya beranggapan, mungkin pelajar saya ini tidak matang dan tengelam dengan perasaannya. Oleh itu, saya berfikir, tidak perlulah saya mengambil tahu lagi pasal dirinya dan biarkan dia terus terkapai-kapai dalam dunia percintaannya. Saya rasa betul-betul lucu apabila BERCINTA ini dijadikan satu alasan untuk mengubah pasangannya untuk jadi terbaik, sedangkan diri sendiri pun tidak habis diploma... tak tahu apa yang berlaku pada masa hadapan, So, saya decide saya biarkan dan tidak mahu campur tangan urusan pelajar BERCINTA ini lagi... 

                 Ini merupakan satu dalam ratusan kisah yang akan saya ceritakan nanti kepada rakan-rakan pengungjung blog. Saya berjanji akan sentiasa updated kan post-post yang terbaru yang lebih pelbagai untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat diluar sana. Insyaallah, bertemu lagi kita pada post yang akan datang. Jangan lupa berikan sebarang pandangan yang membina untuk saya bersemangat untuk terus menulis...semoga allah permudahkan niat saya..

Dr. Nadzri b. Hj. Mohd Sharif 
Seri Kelemak
3 Jun 2017 9.40 pagi