Sebagaimana yang tertulis,
sebelum Kuala Selangor mempunyai Sultan, kawasan ini telah didiami oleh orang
laut yang diketuai oleh Upu Chendera Burung. Terdapat beberapa percanggahan
pendapat berkaitan dengan kisah negeri Selangor keseluruhannya. Jika
berpandukan sejarah Kesultanan Selangor
yang pertama, memang tidak dinafikan bahawa Raja Lumu, iaitu Sultan
Salehuddin, merupakan Yang Di Pertuan
Negeri Selangor yang pertama.
Walau
bagaimanapun, ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa Raja Lumu bukannya
Sultan Selangor yang pertama. Ini adalah disebabkan terdapat pendapat yang
mengatakan bahawa sebelum ini kawasan Kelang diperintah oleh seseorang yang
tiba lebih awal, iaitu Datuk Engku Kelang.
Datuk Engku Kelang dikatakan berasal dari
Negeri Sembilan dan merupakan anak Sultan Johor. Dalam keterangan yang sama
juga dijelaskan bahawa Kuala Selangor telah ditadbir oleh Datuk Penggawa
manakala Langat oleh Datuk Aru dan Ulu Langat
oleh Chik Yang Tujuh.
Berpandukan keterangan ini nyatalah bahawa pimpinan Datuk
Engku Kelang tidak meliputi Kuala Selangor tetapi hanya setakat sepanjang
Sungai Kelang.Pendapat yang lain pula
mengatakan, pada tahun 1743 Raja Lumu telah belayar ke Riau untuk mencari
negeri baharu ke utara Melaka. Rombongan
itu turut disertai Daeng Loklok dan beberapa orang pengikutnya.
Disebabkan
keputusan bekalan air minuman, rombongan ini singgah sebentar di sebuah pulau.
Walau bagaimanapun, di situ tidak terdapat air tawar untuk dijadikan minuman.
Rombongan itu lalu masuk menyusuri Sungai Selangor. Kedatangan Raja Lumu ini
telah disambut baik oleh penduduk tempatan. Ini disebabkan baginda adalah
daripada keturunan Bugis. Hasrat mencari air tawar untuk minuman itu luput daripada fikiran Raja Lumu apabila
penduduk tempatan meminta baginda menjadi ketua di kawasan itu.
Berita pelantikan Raja Lumu
sebagai ketua di kawasan itu telah sampai ke pengetahuan Sultan Muzaffar Shah,
Sultan Negeri Perak. Baginda kemudiannya menghantar perutusan untuk mengadakan
pertemuan dengan Raja Lumu. Permintaan ini telah dipersetujui oleh Raja Lumu
dan baginda kemudian berangkat ke Kuala Bernam yang menjadi tempat pertemuan
baginda dengan Sultan Muzaffar Syah. Ketibaan Raja Lumu disambut secara
besar-besaran dan dengan istiadat
diraja, iaitu diiringi pukulan nobat dan nafiri. Sambutan sebegini bertujuan untuk menguji
Raja Lumu sama ada benar atau tidak
baginda berketurunan raja yang
berdaulat.
Setelah
kesemua ujian berkenaan tidak mendatangkan sebarang bencana kepada Raja Lumu,
Sultan Muzaffar Syah mengistiharkan pelantikan tersebut. Seterusnya Raja Lumu
dinobatkan dan digelar Sultan Salehuddin Syah manakala Daeng Loklok digelar
Datuk Maharaja Lela Husain.
Pertabalan bersejarah itu berlangsung di Pulau Pangkor
pada tahun 1756. Selesai sahaja pertabalan, Sultan Salehuddin Syah berangkat
pulang ke Kuala Selangor dan bersemayam di Bukit Selangor yang dikenali sebagai
Bukit Melawati. Pertabalan ini telah memulakan susur
galur pemerintahan Kesultanan Selangor.
Menurut buku Tuffatul
al Nafis karangan Almarhum Raja Ali Al Haji, Riau, semasa Tengku Raja
Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu telah dijemput
oleh Yang DiPertuan Perak untuk mengadap. Dalam perundingan antara kedua-dua
pihak itu, persetujuan telah dicapai untuk melantik Tengku Raja Selangor menjadi
Yang DiPertuan Besar Selangor dengan gelaran Sultan Salehuddin. Kemudian Sultan
Salehuddin pun berangkat pulang ke Kuala Selangor dengan diiringi oleh Yang Dipertuan Besar Perak. Setelah
sampai di Kuala Selangor Sultan Salehuddin pun ditabalkan di hadapan rakyat
Selangor dengan penuh istiadat. Sejak itu kedua-keduanya menjadi sahabat baik
dan sentiasa berutusan
Sultan Salehuddin memerintah
kerajaan dari tahun 1743 (1756) hingga tahun 1778. Sejak itu bermulalah sejarah
orang Bugis daripada keturunan Daeng Chelak bertapak di Kuala Selangor. Sultan
Salehuddin mangkat dan disemadikan di Bukit Selangor serta dinamakan Marhum Salleh. Almarhum Baginda
meninggalkan empat orang putera dan puteri, iaitu Raja Ibrahim, Raja Nala, Raja
Punuh, dan Raja Sharifah. Raja Ibrahim
telah berkahwin dengan Cik Long Halijah, iaitu salah seorang anak
perempuan Daeng Loklok yang bergelar Datuk Maharaja Lela Husain.
No comments:
Post a Comment