Followers

Saturday 5 September 2015

APA NASIB MASA DEPAN BIDANG FOTOGRAFI DI MALAYSIA?

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdullilah, Sudah lama juga rasanya saya tidak menjengah blog saya, pada kali ini, hati saya tergerak untuk membincangkan satu perkara yang amat penting dan perlu diberikan perhatian dari seluruh keluarga Fotografi. Tidak kisahlah dari genre mana, tetapi artikal ini sebagai satu cara untuk saya meluahkan rasa hati dan kegusaran mengenai masa depan bidang ini di Malaysia. Kegusaran ini bermula setelah saya bersembang dengan sahabat-sahabat saya dari industri dan ketika saya menyemak satu permohonan dokumen bagi tujuan akreditasi. Kali ini saya tidak akan memetik atau sama sekali menyebut mana-mana nama individu kerana saya tidak mahu disalah anggap menggunakan populariti beliau. Sebagai satu penegasan, saya tidak berminat untuk mencari populariti, 

Sebelum saya mengulas lebih lanjut lagi, satu persoalan yang bermain di fikiran saya ialah dan mahu dikongsi bersama dengan para pembaca, apakah yang membezakan seorang Jurugambar Profesional dengan Camera Operator?. Adakah kita ini digelar profesional atau semata-mata menurut arahan dari pihak-pihak tertentu. Adakah kita mampu membina konsep dan idea kita sendiri atau kita hanya menurut arahan daripada agensi yang sudah menentukan konsep untuk kita. Persoalan ini sebenarnya yang bermain difikiran saya. Sebelum saya mengupas lebih lanjut lagi, apakah nasib pelajar-pelajar kita apabila sudah graduated. Adakah mereka ini akan bergelar jurugambar profesional atau sekadar camera operator?. Lambakan kursus fotografi yang ditawarkan di IPTA, Politeknik, Kolej Komuniti dah IPTS, adakah ianya sudah menurut keperluan industri?.

Berbalik kepada persoalan ini, ingin saya tegaskan bahawa Saya dan semua rakan-rakan pensyarah bukanlah dikira sebagai profesional photographer, kami adalah ahli akademik. Ahli akademik merupakan tenaga pengajar untuk melahirkan jurugambar. Kami bukan jurugambar, melainkan ada sesetengah ahli akademik yang membuka studio sendiri. Mungkin mereka membuka studio adalah untuk mengasah pengetahuan mereka dan ingin menimba pengalaman serba sedikit dengan permainan industri. Secara ikhlas, saya juga ada kemahuan untuk membuka studio dan merasai sendiri bagaimana untuk bekerja dan memahami industri. Tetapi, saya tidak mampu membuat dua kerja serentak. Saya juga tidak mampu keluar untuk mencari client kerana beban tugas sebagai ahli akademik. Begitu juga dengan ahli industri, mereka tidak boleh menjadi ahli akademik. Mereka tidak mempunyai pengetahuan atau memahami falsafah disebalik dunia pendidikan. Mereka juga tidak memahami silibus dan keperluan akademik yang lain seperti menulis journal, membuat penyelidikan dan tugas-tugas sebagai ahli akademik. Jadi disini, kita ada timbal dan balas, ahli akademik memerlukan industri dan industri memerlukan ahli akademik.

Saya kembali dengan asas perjalanan perbincangan kita. Di Malaysia, secara terus terang saya katakan masih lagi tidak mengiktiraf sebenarnya peranan jurugambar. Peranan jurugambar terlalu kecil. Industri kita masih lagi terlalu baru. Rakyat Malaysia masih lagi memandang sinis tugas-tugas sebagai jurugambar. Apa yang membuatkan seorang jurugambar itu diiktiraf sebagai profesional?. Inilah isunya, kita tidak mempunyai sebarang badan yang diiktiraf oleh Kerajaan yang tugasnya memberikan pengiktirafan kepada jurugambar. Apakah kriteria-kriteria untuk menjadi profesional?. Jawapanya, tiada kriteria. Ianya masih subjektif, Anda boleh mendapat banyak job dengan harga berjuta-juta ringgit atau dijemput mengambil gambar VVIP atau sebagainya, tetapi selagi tiada badan yang mengiktiraf, anda tetap tidak dikira sebagai profesional. Jadi apakah bezanya kita dengan camera operator?. Ya, sebenarnya, hakikatnya, kebanyakkan jurugambar merupakan camera operator. Mungkin pedih untuk ditelan, tetapi inilah kenyataan, saya berikan contoh, seorang jurugambar advertising hanya menurut idea dan konsep yang di buat oleh agensi. Jurugambar tugasnya hanyalah mengambil gambar dan menurut sahaja arahan dan konsep yang ditentukan oleh agensi. Jurugambar tiada autoriti. Begitu juga dengan jurugambar journalism. Tugas memilih gambar untuk dimuatkan di dalam majalah dan suratkhabar dibuat oleh editor. Jurugambar journalism tidak mempunyai autoriti memilih dan menentukan gambar yang ingin dimuatkan. Saya bagi lagi satu contoh, jurugambar perkahwinan bergantung kepada kehendak pasangan pengantin. Mereka hanya menerima bayaran setelah tugas diambil. Yang membezakan mereka yang bernilai tinggi atau tidak ditentukan dengan jumlah pakej yang ditawarkan. Lagi-lagi sekarang ini, mereka yang baru sahaja membeli kamera, sudah boleh menjadi seorang jurugambar perkahwinan, tidak perlu kursus, asalkan gambar diambil cantik, pakej ditawarkan dirasakan berpatutan dan berada dalam kemampuan, anda sudah boleh membuka perniagaan jurugambar perkahwinan. Adakah semua contoh-contoh yang saya berikan tadi boleh dibidas dengan mengatakan yang jurugambar kesemua bidang yang saya sebutkan tadi adalah profesional dan bukannya camera operator?. Memang pedih untuk ditelan, tapi itulah hakikat yang terpaksa kita terima.

Profesional yang dimaksudkan disini ialah, jurugambar itu mempunyai autoriti, Dia yang mencadangkan konsep, dialah yang menberikan idea kepada client, dia mempunyai kuasa untuk memilih dan menentukan gambar yang dikehendaki untuk dimuatkan di majalah, billboard dan sebagainya. Keupayaan dan kepakarannya diiktiraf oleh satu badan yang diiktiraf, dia diiktiraf memberikan talk dan dan menerima awards bertaraf kebangsaan mahupun antarabangsa. Sayangnya, kita tiada awards itu, Sedangkan artis atau selebriti mempunyai banyak lapangan anugerah atau awards yang berpretij. tetapi jurugambar di Malaysia, kita umpama terpinggir. Jika ada pun sebenarnya ia merupakan pertandingan fotografi dan terpaksa bersaing dengan mereka yang menganggap fotografi sebagai hobi. Tetapi disini, kita menganggap fotografi sebagai kerjaya, disitulah periuk nasi kita. Dimanakah maruah kita? dimanakah penghormatan kita?. Saya berikan contoh penyanyi. Semua orang boleh menyanyi. tetapi menyanyi ini rupanya perlu mempunyai skill dan bijak mencari peluang. Bijak mencari syarikat recording untuk memasarkan album mereka. Jadi begitu juga jurugambar, semua orang boleh membeli kamera dan ada kamera. tetapi sayangnya, tidak ramai masyarakat Malaysia menghormati dan menghargai hasil kerja jurugambar...

Daripada isu ini, saya terfikir, apa sebenarnya nasib graduan-graduan yang bakal menamatkan pengajian mereka baik diploma, degree mahupun master. Apa nasib mereka?. Bagaimana mereka akan mengharungi dunia industri?. bagaimana mereka akan bertahan dengan survivor yang memerlukan mereka bersaing?. Bagaimana saingan mereka?. Saya cukup risau sekarang, lambakan kursus menawarkan lebih banyak graduan tetapi industri kita tidak mempunyai banyak tempat. Ini bermaksud penawaran melebihi keperluan. Industri kita masih lagi kecil. Walau setinggi manapun kelulusan akademik mereka, hakikatnya, kita tidak melahirkan jurugambar profesional, tetapi kita melahirkan camera operator. Persoalan lagi yang sangat pedih, Kalau kita melahirkan camera operator, mengapa kita perlu menawarkan degree dan peringkat yang lebih tinggi?. Persoalan ini sejujurnya saya tidak ada jawapan yang konkrit.

Pada pandangan saya, realiti ini terjadi ialah, semua orang boleh jadi photographer. lagi-lagi sekarang, dengan kamera digital yang semakin murah, semakin banyak di pasaran, boleh dibeli dan boleh menghasilkan gambar. Dengan hobi kini, anda tidak perlu sijil, diploma atau ijazah untuk mencari rezeki, malah anda boleh menjadikannya sebagai kerja separuh masa. Banyak jurugambar "Klon" merosakkan industri. Merosakkan periuk nasi mereka yang memang bekerja sebagai jurugambar dimana rezekinya bergantung kepada kerjaya sebagai jurgambar ini. Mengapa saya panggil mereka Jurugambar "Klon"?. Sebab mereka mementingkan diri. Mereka yang merosakkan industri dan mereka juga yang merupakan racun kepada industri, Kisahnya, Saya pernah terdengar ada seorang rakan saya yang merupakan jurugambar tetap dan memiliki studio pada mulanya ditawarkan dengan bayaran yang tinggi untuk mengambil gambar korporat ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang terkemuka. Tetapi tidak berapa lama kemudian, kawan saya memaklumkan yang dia kehilangan job tersebut kerana ada seorang jurugambar "Klon" yang kita tidak tahu mempunyai studio apa atau mempunyai daftar perniagaan yang sah telah mengambil job nya dengan menawarkan bayaran yang sangat murah. malangnya, syarikat tersebut mempercayai dan mengambil jurugambar "Klon" ini. Lihatlah disini, kebanyakkan daripada client, tidak melihat kepada estetika, keindahan dan elemen kesenian fotografi dan menghargai itu semua dengan membayar hasil seni itu dengan harga yang sepatutnya. Mereka lebih rela mengambil hasil kerja yang murah dan nilai-nilai estetika itu diletakkan ke tepi.

Kalau saya menceritakan mengenai perihal jurugambar perkahwinan, lagi perit untuk diterima. Jujur dan hakikat, kebanyakkan pengantin melayu hanya mencari jurugambar yang menawarkan harga yang terlalu murah. kalau boleh dengan RM1,000.00, boleh dapat segalanya, dapat custom album, dapat outdoor shot dan macam-macam lagi. Mereka tidak melihat gambar perkahwinan mereka dari sudut estetika,mereka tidak menghiraukan walaupun gambar mereka senget benget dan tidak mempunyai nilai seni. Mereka hanya beranggapan bahawa jurugambar perkahwinan adalah sebagai syarat. mereka secara hakikatnya tidak menghargai anda. Adakah kita sebagai ahli akademik mahu mengeluarkan graduan yang hanya mengambil gambar perkahwinan?. Sudah tentu sekali tidak....

Sebenarnya, banyak lagi isu yang bermain difikiran saya. Apa yang mengusarkan saya, apa nasib pelajar -pelajar saya atau mereka yang ingin mengambil kursus fotografi pada masa akan datang. Apa nasib jurugambar kita mahupun nasib ahli akademik sendiri dalam bidang fotografi 10 hingga 15 tahun akan datang?. Bagaimana penerimaan masyarakat akan datang?. Adakah masih memandang kita sinis atau memandang tinggi kepada kita semua. Maafkan saya, ada seorang sahabat saya pernah bertanya kepada saya pada satu hari. Soalan yang tidak pernah saya jangkakan. " Nadzri, adakah satu hari nanti apabila anak kau, Ikhwan atau Sofia ingin menjadi Photographer, kau akan galakkan?" Saya rasa tuan-tuan pasti terkejut dengan jawapan saya " Tidak. Saya tidak akan galakkan". Tuan-tuan rasa mengapa saya menjawab sedemikian?. Apa yang bermain difikiran saya?. Saya hanya akan berasa yakin apabila satu hari nanti Kerajaan membantu golongan Jurugambar ini membenarkan penubuhan badan jurugambar profesional. Saya akan yakin sekiranya ada diwujudkan jawatan dalam kerajaan mahupun swasta mengikut kelulusan degree. saya meyakini jika masyarakat memandang tinggi dan sanggup membayar lebih untuk mendapatkan hasil gambar yang berkualiti. Saya merasa yakin jika jurugambar diajak berbincang sama dengan agensi dan mempunyai autoriti. Saya merasa yakin jika badan pemberi anugerah yang diwujudkan bagi mengiktiraf peranan dan tugas jurugambar. Dan saya hanya merasa yakin apabila masyarakat satu hari nanti beranggapan bahawa Jurugambar merupakan satu tugas profesional setanding dengan profesional yang lain.

Maafkan sekiranya tulisan ini menyinggung mana-mana pihak. Tiada niat saya, sekadar memberikan pandangan peribadi saya. Saya akan bincangkan isu mengenai apa yang perlu dilakukan oleh jurugambar ini untuk bergelar profesional pada entry saya akan datang, Saya menggalakkan segala komen untuk memantapkan penulisan saya. Komen biarlah beretika ye....Wassalan

Nadzri Sharif
5 September 2015
8.00 Malam.