Assalamualaikum W.B.T,
Sudah lama juga saya tidak
menjengah Blog saya, alhamdulillah,
berkat dari sokongan anda, blog saya telah mencapai lebih 15 ribu lawatan. Satu
semangat baru telah disuntik. Saya masih teringat, ketika menulis Blog ini,
saya menjangkakan tidak mempunyai ramai pengunjung. Saya menulis sekadar
suka-suka untuk meluahkan pandangan saya. Saya bukanlah seorang insan yang
popular, atau mencari glamour. Saya
lebih gemar untuk terus mengekalkan Low Profile. Biarlah hanya dikenali melalui
Blog dan ilmu sahaja. Mungkin saya sudah selesa dengan cara sebegini.
Pada entry kali ini, saya ingin
memberikan pandangan saya mengenai lambakan kursus fotografi yang semakin
tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Trend
sekarang, sudah ramai jurugambar menganjurkan kursus-kursus fotografi. Ini
merupakan satu perkembangan yang baik dan positif apabila rata-rata daripada
mereka menyedari betapa pentingnya penyebaran ilmu fotografi. Ada juga di
kalangan jurugambar apabila menyedari job
yang diterima sudah berkurangan akibat persaingan yang semakin sengit mula
mengatur strategi untuk terlibat menganjurkan bengkel dan kursus fotografi. Ada
juga yang mengambil kesempatan dengan mempunyai pengikut tersendiri sudah mula
menawarkan kursus dan bengkel dengan harga yang tinggi. Masing-masing mempunyai
agenda tersendiri. Tiada salahnya, tetapi secara tidak sedar, lambakan
penganjuran bengkel dan kursus fotografi akan menjadikan industri dalam keadaan
yang tidak sihat. Mengapa saya berpandangan sedemikian?.
Sering kali saya mengingatkan
kepada mereka yang baru sahaja ingin menyertai bidang fotografi untuk mencari
guru yang sebenar. Guru yang sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam
akademik fotografi. Mempunyai silibus, mempunyai pengiktirafan. Tidak semua
jurugambar mempunyai skill dalam pengajaran dan begitu juga sebaliknya, tidak
semua tenaga pengajar mempunyai pengalaman dalam industri. Dua perkara yang
berbeza. Bidang akademik fotografi sebenarnya bukan sekadar mempelajari
berkenaan kamera semata-mata, tetapi perlu mempunyai pengetahuan dalam falsafah
nya, sejarah, criticizing dan
bermacam-macam-macam lagi. Untuk menjadi seorang jurugambar yang mampu
mempunyai keyakinan dan autoriti pada imejnya, perlu mempunyai pengetahuan
sedemikian. Fotografi bukan sekadar menggambar semata-mata, pelbagai teknikal,
semiotik, mesej, pegangan, elemen, penceritaan, semuanya perlu ada pada
sekeping gambar. Itu yang membezakan anda seorang jurugambar dengan mereka yang
hanya menggambar.
Disebabkan perbezaan inilah yang
menyebabkan, ada sesetengah jurugambar muda telah menerima ajaran sesat dan
tidak betul. Mereka menerima pengajaran teknikal yang salah. Apa yang
menyedihkan, mereka yang menerima pengajaran yang salah ini pula akan mengajar
junior lain seperti mana yang mereka pelajari. Ini satu keadaan yang tidak
sihat. Secara jujur nya, saya pernah berada di dalam satu kursus fotografi
yang dianjurkan oleh salah satu jabatan
kerajaan. Apa yang memeranjatkan saya, teknikal fotografi yang dipelajari dari
seorang jurugambar yang mempunyai nama, ternyata silap. Saya cukup hairan,
bagaimana jabatan kerajaan ini, menerima jurugambar yang tidak mempunyai
kelayakan rasmi secara langsung dari institusi pengajian yang diiktiraf mendapat
kontrak kerajaan untuk menganjurkan kursus fotografi?. Apakah standard yang sebenarnya digariskan oleh
mana-mana jabatan kerajaan dalam penganjuran kursus sebegini melantik moderator
atau penceramah yang mempunyai kelayakan. Perkara ini nampak macam kecil,
tetapi kesannya amat besar apatah lagi jika jabatan atau individu menggunakan
kamera dalam rutin pekerjaan mereka.
Lambakan kursus ini menjadikan
lambakan sijil dan pengikut orang-orang tertentu dalam bidang fotografi. Ada
sesetengah jurugambar menjadikan penganjuran kursus sebagai platform mereka
mencipta pengaruh. Adat rakyat Malaysia, mereka akan menjadi pengikut membuta
tuli, menjadi ekstremis fotografi sedangkan saya percaya, mereka ini sendiri
tidak tahu dan faham sebenar-benarnya apa yang mereka ketahui dan pelajari
mengenai fotografi. Apabila jurugambar mempunyai pengaruh, bukan satu lesen
untuk anda mencemuh jurugambar yang lain. Jurugambar pengiklanan, akan mencemuh
jurugambar journalism, jurugambar journalism pula tidak akan berpuas hati pula dengan
kenyataan jurugambar perkahwinan. Ini bukan lesen untuk anda mencemuh sesama
sendiri walaupun anda mempunyai pengikut. Dalam bidang fotografi, konsepnya
adalah sama. Kita menggunakan cahaya untuk melukis, tetapi genre atau bidang fotografi hanyalah sebagai tugas atau pelengkap.
Masing-masing mempunyai pengetahuan dan kehebatan tersendiri. Kita tidak boleh judge hasil gambar secara tepat kerana
ia bergantung apakah niat seseorang jurugambar apabila dia merakamkan gambar.
Ayat yang paling popular, gambar itu adalah “subjektif”. Tetapi dalam bidang
forensik fotografi, gambar perlu merujuk kepada fakta kes, fakta isu dan
rantaian keterangan. Jadi perkataan subjektif tidak boleh digunakan kerana
gambar perlu menjelaskan keterangan dan fakta kes.
Untuk mempelajari fotografi, anda
memerlukan cukup masa sekurang-kurangnya 2 tahun untuk melengkapkan pengetahuan
fotografi secara keseluruhan. Saya secara jujur, kurang percaya apabila anda
mengatakan dengan hanya 6 bulan, anda akan menjadi pakar. Saya membuat audit
banyak institusi kerajaan apabila ingin mengeluarkan sijil. Paling kurang
tempoh masa yang diiktiraf oleh MQA adalah 7 bulan hingga setahun. Jika anda
ingin mempunyai pengiktirafan sijil anda, nasihat saya, anda carilah kolej,
institusi yang menawarkan sijil yang diiktiraf oleh MQA atau SKM. Banyak
institusi dan kolej yang mempunyai sijil yang diiktiraf. Bayaran yang anda
keluarkan tidaklah mahal dan saya percaya tidak melebihi 1000 ringgit kos
sepanjang pengajian anda. Malah anda mungkin diberikan subsidi. Cuba rujuk
laman web MQA dan SKM untuk mendapatkan info sijil-sijil fotografi yang
diiktiraf. Penting pengiktirafan ini adalah supaya anda tidak rasa anda
teraniaya apabila mungkin anda menggunakan sijil tersebut untuk melanjutkan
pelajaran peringkat diploma atau degree. Mungkin anda menggunakan sijil
tersebut apabila anda ingin memohon pekerjaan dalam Jabatan kerajaan.
Pengiktirafan sijil sangat penting.
Tetapi, jika anda sekadar untuk
hobi semata-mata. Pengiktirafan sijil tidak penting, tetapi jika hendak belajar
semata-mata, nasihat saya, carilah guru yang benar-benar dapat membantu anda,
mempunyai pengiktirafan dan kelayakan untuk mengajar anda. Tidak perlu
membazirkan duit membayar harga yang terlalu mahal di mana duit tersebut anda
boleh gunakan untuk menambahkan aksesori. Mohon semak portfolio dan Resume
penceramah. Cuba periksa, tahap kelulusan, pengalaman dan pengiktirafan
diterimanya. Cuba buat sedikit homework.
Anda boleh mencari ilmu dengan menyertai aktiviti group fotografi. Anda boleh
belajar dari situ. Jangan terima bulat-bulat, gunakan rujukan buku atau nota
mengenai fotografi yang anda boleh dapatkan dalam internet. Teknologi sekarang
makin hebat, segala maklumat di hujung jari anda.