Followers

Friday 11 April 2014

PERANAN ASAS FOTOGRAFI DAN KEPENTINGAN DALAM PENYIASATAN JENAYAH SECARA RINGKAS

              Dewasa ini, kepesatan ekonomi dan sosial yang menjadi akar proses pembangunan global. Secara umumnya, kepesatan ini telah mewujudkan dan meningkatkan beberapa perubahan kepada pola-pola jenayah. Jenayah di Malaysia kini menjadi semakin kompleks dan kadangkala semakin sukar untuk dikesan. Setiap hari, kita sering disajikan dengan laporan melalui media massa mengenai kes jenayah yang semakin menggawatkan keadaan seperti peras ugut, penyalahgunaan dadah, rasuah, penculikan, kes rogol dan sebagainya. Statistik jenayah yang diperoleh melalui PDRM dikatakan semakin meningkat. Seringkali pula orang awam dikatakan berasa khuatir dan gelisah terhadap bahaya dan kesan jenayah yang sukar diramalkan keluasannya terutama dalam masyarakat serba moden kini yang banyak menonjolkan peningkatan keadaan individualisme, materialisme dan hedonisme. Terdapat satu trend yang semakin membimbangkan terhadap jenayah ganas yang mengakibatkan kecederaan teruk dan kematian. Pelakuan jenayah merupakan suatu permasalahan sosial yang melanda kebanyakan bandar di dunia kini. Permasalahan ini meningkat seiring dengan kepesatan sesebuah bandar dan negara. Daripada sejumlah 14 jenis kategori jenayah di Malaysia yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jenayah yang mencatatkan peningkatan adalah jenayah harta benda, jenayah kekerasan, jenayah komersil dan jenayah komersil bersiri. 

           Secara umumnya, definisi Jenayah adalah lebih menjurus kepada satu kelakuan yang menyalahi undang-undang dan patut disalahkan yang boleh dihukum oleh kerajaan. Ia juga merupakan satu perbuatan atau sebarang kesalahan yang boleh mengancam masyarakat. Segala perbuatan atau tindakan itu boleh disabitkan kesalahan di sisi undang-undang dan orang yang melakukannya bertanggungjawab menerima hukuman denda atau penjara seperti yang telah diperuntukkan oleh undang-undang . Mohd Reduan (2009) telah menerangkan ciri-ciri jenayah dengan merujuk kepada satu ungkapan “Actus non fecit reum nisi menssit rea” yang bermaksud sesuatu perbuatan seseorang tidak boleh menjadikannya bersalah kecuali mempunyai niat yang salah iaitu terdapat undang-undang jenayah bagi menentukan sama ada perbuatan seseorang merupakan satu kesalahan ataupun tidak. Terdapat dua ciri-ciri jenayah iaitu niat yang salah atau niat jahat yang disebut sebagai “mens-rea” dan tindakan atau perbuatan yang salah yang disebut sebagai “actus-reus”. Jenayah telah diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu Jenayah ganas yang secara amnya termasuk pembunuhan, cubaan membunuh, rompakan berkumpulan dengan senjata api, samun berkawan tanpa senjata api, samun dengan senjata api, samun tanpa senjata api, rogol dan akhir sekali secara sukarela menyebabkan kecederaan dan jenayah harta termasuk mereka kesalahan yang melibatkan kehilangan harta semasa yang tidak ada penggunaan keganasan oleh pelaku. Penjenayah telah menjadi lebih sofistikated disebabkan teknologi komputer dan telekomunikasi yang cepat berkembang telah mengambil langkah progresif untuk memberikan mereka kelebihan melalui pengetahuan penyiasatan dan hasilnya menyebabkan kesukaran dalam penyiasatan forensik oleh pihak berkuasa. Jenayah pada masa kini telah menjadi lebih kompleks dan kadang-kadang mustahil untuk dikesan.

               Siasatan jenayah yang sistematik dan mantap perlu bagi memastikan pesalah jenayah ini dapat dihadapkan di muka pengadilan dan membantu mengurangkan kadar jenayah yang sedia ada. Gilbert (2004) mendefinisikan tempat kejadian sebagai lokasi di mana satu kesalahan jenayah yang disyaki berlaku, manakala Inman dan Rudin (2001) mendefinisikan ia sebagai puncak piramid terbalik yang mengembang untuk merangkumi penyiasatan jenayah, pengiktirafan, analisis, tafsiran keterangan dan akhirnya melalui proses perbicaraan mahkamah. Secara umumnya, proses siasatan jenayah lebih kepada carian sistematik untuk kebenaran dan satu proses untuk mencari, mengumpul, menyediakan, mengenal pasti dan membentangkan bukti untuk menentukan apa yang berlaku dan yang mengenal pasti untuk menentukan apa yang berlaku dan yang bertanggungjawab atas segala perbuatan salah. Tambahan pula, ia disebut sebagai satu proses rekonstruktif yang menggunakan hujah deduktif berdasarkan bahan bukti yang ada pada seseorang, untuk menentukan sama ada suspek mempunyai maklumat bukti suatu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah. Siasatan forensik penyiasatan merupakan satu kaedah sains yang bertujuan untuk memulakan prosiding mahkamah undang-undang syariah dan sivil.

             Imej fotografi boleh menunjukkan dan menentukan sifat kejadian atau menjadi petunjuk jenis jenayah yang telah dilakukan. Ia dapat berfungsi untuk merekodkan aspek penting dalam proses penyiasatan. Imej fotografi juga boleh memberikan tindak balas terhadap undang-undang sebagai dokumentasi bahan bukti dan memberikan peningkatan tahap komunikasi visual dalam penyiasatan jenayah. Dalam erti kata, sains forensik menggunakan imej fotografi untuk merakam dan mengkaji bukti, akses fotografi, dan yang terbaru ialah penambahbaikan teknologi pengimejan digital (Porter 2011). Rakaman tempat kejadian dengan cara ini akan membolehkan mahkamah untuk melihat tempat kejadian dalam saiz yang kecil dan terkawal. Keberkesanan imej fotografi hanya boleh berperanan sekiranya visual itu mempunyai ciri-ciri seperti mudah, jelas dibaca dan difahami , Mesej yang dapat di tafsir mudah dan tidaklah bersifat kompleks untuk meneliti imej visual dengan terperinci. Imej fotografi pula mestilah mempunyai ciri visual yang dapat mendorong interaksi yang aktif antara jurugambar, pegawai penyiasat dan pentadbiran mahkamah dalam mendalami maksud yang terdapat dalam imej gambar dan membantu pihak yang terlibat dalam memfokuskan perhatian kepada maksud yang terdapat dalam imej fotografi forensik tersebut. Pendek kata, semuanya memberi makna pada pihak yang terlibat dalam proses penyiasatan dan pengadilan. Andainya visual imej fotografi ini dapat dihayati dan ditafsirkan dengan tepat, tidak sukar untuk jurugambar forensik menghasilkan bahan visual yang berkualiti, tepat dan diakui kesahan nya. 

No comments: