Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda kerana sudi singgah sebentar di Blog saya. Hari ini, program saya agak padat. Entry kali ini, saya ingin mengupas mengenai perjalanan pengajian Diploma Fotografi. Entry ini amat bersesuaian untuk pelajar lepasan SPM yang sedang mencari-cari kursus yang diminati dan bersesuaian. Anda kena memulakan rancangan anda dari sekarang. jangan tunggu selepas SPM baru merancang.
PEMILIHAN KURSUS
Apabila anda memilih dalam untuk melanjutkan pengajian peringkat Diploma Fotografi, saya difahamkan, di dalam sistem UPU, anda dikehendaki memilih Diploma Seni Lukis dan Seni Reka. UiTM mempunyai sistem pengambilan yang istimewa yaitu dua kali pengambilan dalam setahun. Bagi sesi pengambilan Jun, akan diuruskan oleh UPU, bagi kemasukan bulan Disember adalah di bawah sistem pengambilan UiTM. Peringkat Diploma biasanya ditawarkan pada mereka lepasan SPM. Pelajar Diploma fotografi akan ditempatkan di dua buah Kampus sahaja iaitu di UiTM Melaka atau UiTM Perak. Saya kurang pasti, bagaimana pengagihan kampus tersebut. Bagi Kampus UiTM Puncak Alam adalah untuk pengajian Sarjana Muda.
Subjek yang penting yang perlu anda ambil dalam peperiksaan SPM ialah sekurang-kurangnya A2 dalam Pendidikan Seni Visual, lulus Bahasa Melayu, dan bahasa inggeris.Untuk memasuki peringkat Diploma, anda terpaksa menjalani ujian saringan iaitu ujian melukis dan menjalani sesi interview.
PROSES INTERVIEW
Apabila selesai mendaftar dalam sistem UPU atau UiTM, sekiranya anda bernasib baik, anda akan menerima email untuk proses interview. Bagi menjalani proses interview, saya amat menasihatkan kepada anda untuk membawa segala portfolio gambar yang pernah diambil oleh anda. Jangan sesekali anda membawa portfolio yang tidak berkaitan dengan fotografi. Contohnya, semasa disekolah, sekiranya melalui kelab fotografi, anda pernah membuat tugasan teknikal kamera (Depth of Field, Low Shutter, High Shutter Dll), bawalah contoh tersebut semasa interview. Lagi bagus, jika anda mempunyai koleksi hasil karya fotografi anda sendiri. Selalunya, pensyarah yang interview anda ingin melihat bagaimana minat anda terhadap bidang fotografi. Usah takut sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa pengetahuan asas, cukuplah dengan menunjukkan minat yang tinggi. Jadi saya nasihatkan anda bergerak aktif dalam kelab fotografi disekolah. Sekiranya anda pernah terlibat dalam mana-mana kursus fotografi, sila sertakan sijil-sijil yang berkaitan. Ingat!, sijil-sijil ini perlu disusun dalam fail portfolio plastik yang boleh dibeli di mana-mana kedai dan disusun dengan kemas. Bakal pelajar selalu terlepas pandang perkara penting ini.
Satu lagi soalan yang pasti ditanya oleh pensyarah, adakah anda mempunyai kamera?. Untuk proses pembelajaran Diploma Fotografi, anda wajar mempunyai kamera sendiri. Jika tidak mempunyai kamera, anda akan bermasalah besar untuk menyiapkan tugasan yang bakal diberikan. Anda pasti akan ketinggalan kerana sesi kelas kebanyakkannya diadakan secara praktikal. Jangan harap untuk meminjam dengan kawan-kawan. UiTM juga tidak menyediakan perkhidmatan sewaan atau pinjaman kamera. Anda tidak perlu membeli kamera yang terlalu mahal. Anda boleh sahaja membeli model kamera yang sederhana. Tetapi ingat, kamera yang digunakan mestilah apa sahaja jenama DSLR. Kamera Compaq, tidak diterima. Jenama bukan menjadi isu, anda boleh memilih jenis kamera yang bersesuaian dan anda selesa menggunakannya.
PROSES PEMBELAJARAN
Seperti yang saya nyatakan tadi, jangan risau sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa asas fotografi. Semuanya akan diajar mengenai teknikal asas pada semester pertama. Anda juga akan mempelajari, studio lighting, advertising fashion dan product, photojournalism, video studies, history of photography, alternative process dan digital design. Anda juga dikehendaki mengambil subjek keusahawanan, English (Ramai yang gagal jika tidak datang kelas) dan subjek agama. Anda juga diwajibkan lulus kokurikulum. Anda akan menghabiskan masa selama dua tahun setengah untuk menamatkan Diploma anda. Di akhir semester iaitu semester 5, anda dikehendaki menyediakan Major Project dan Minor Project iaitu memaparkan hasil karya dalam bidang-bidang yang saya sebutkan di atas. Jadi, sesi pembelajaran bukan sahaja dalam fotografi, tetapi anda akan juga mempelajari sedikit mengenai design. Sistem UiTM mengamalkan Merit GPA. Anda diwajibkan lulus semua mata pelajaran pada setiap semester. Jika gagal anda dikehendaki mengulang semula. Jika tiga kali anda masih lagi gagal dalam subjek yang sama, anda akan diberhentikan.
Belajar fotografi, bukan sekadar mengambil gambar semata-mata dan dengan mudah anda akan lulus. Buang persepsi begitu. Tidaklah terlalu sukar sehingga gagal. Jika anda gagal hanya kerana anda tidak masuk kelas, tidak hantar assignment dalam semua subjek atau terkandas dalam peperiksaan. Bagi saya, nak gagal tu sebenarnya susah, tetapi nak lulus cemerlang pun memang memerlukan usaha yang keras. Pelajar Fotografi, banyak menggunakan duit kerana anda terpaksa keluar mencari subjek assignment, mencari event untuk journalism, menyewa baju untuk model fashion atau terpaksa menyewa studio diluar jika studio penuh. Kemudahan studio yang disediakan oleh UiTM memang sentiasa penuh, pendek kata, siapa cepat dialah yang dapat. UiTM tidak menyediakan sewaan kamera atau meminjamkan kamera DSLR kepada anda. Semuanya perlu disediakan sendiri. Di dalam hal ini, pinjaman PTPTN memang banyak membantu anda. Menjadi pelajar fotografi memang sibuk. Anda tidak mempunyai masa yang banyak untuk bersenang lenang, anda perlu menyiapkan assignment fotografi yang diberikan oleh pensyarah. Pengurusan masa amat penting.
APA YANG ANDA AKAN BUAT SELEPAS GRADUATE?.
Perkataan TAMAT itu, memang keramat. Apabila anda memulakan pengajian, saya pasti ramai yang tidak sabar-sabar untuk menamatkan pengajian dengan jayanya. Selepas itu anda konvo dan memikirkan apa yang perlu anda lakukan selepas tamat pengajian Diploma Fotografi. Jika anda bertanya pandangan saya, saya cadangakan kepada anda meneruskan pengajian peringkat ijazah. Jika anda mempunyai Diploma Fotografi, anda boleh memilih untuk terus menyambung pengajian Sarjana Muda Fotomedia di Puncak Alam selama Dua Tahun, atau memilih memasuki ijazah Sarjana Muda yang lain seperti pendidikan, komunikasi masa dan sebagainya (Tempoh tiga hingga empat tahun). Jadi, nasihat saya, jika anda dapat memasuki Diploma Fotografi, anda tidak berminat. Jangan susah hati, habiskan Diploma dulu dan kemudiannya, daftarlah memasuki Sarjana Muda yang anda minat. Untuk menyambung, anda perlu mempunyai GPA minimum atas 3.00 bagi Sarjana Muda Fotomedia Kreatif dan minimum 3.30 bagi Sarjana Muda yang lain. UiTM kini semakin ketat syarat kemasukkannya.
Jika anda memilih untuk bekerja, anda boleh memasuki industri seperti berkerja di akhbar-akhbar, studio, komunikasi korporat, berniaga dan sebagainya. Semuanya memerlukan perancangan yang awal dan anda perlu mempunyai target yang jelas mengapa ingin menyambung pengajian dalam bidang Diploma Fotografi. Saya akan membincangkan mengenai peluang kerjaya dalam bidang fotografi pada entry yang akan datang.
Diharapkan, dengan kupasan yang santai ini dapat memberikan ilham dan sedikit pendedahan mengenai Diploma Fotografi. Jika anda mempunyai sebarang soalan, sila tinggalkan pesanan anda.
Sekian, terima kasih
Nadzri Sharif
14 April 2014
Seri Kelemak
9.19 Malam.