Followers

Monday 13 April 2015

MEMOIR: ADAKAH SAYA SEORANG JURUFOTO?.

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdullilah, setelah lama tidak menulis di blog ini, apabila dibuka, saya amat terkejut. Sesekali, saya tersenyum, alhamdullilah...walaupun tidaklah merupakan kejayaan yang besar, tetapi secara tidak sedar, blog saya mencapai 10 ribu lebih pengunjung. Terima kasih kepada sahabat-sahabat saya yang sentiasa membaca blog saya. Saya rasa umpama satu semangat baru, untuk terus menulis. Terus berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pandangan dalam bidang yang saya cintai iaitu Fotografi.
 
Pertama kali, saya memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini, kesibukan menulis Tesis PhD saya dan analisis data membantutkan sedikit masa untuk menulis. Kesibukan untuk menyiapkan buku teks fotografi dalam bahasa melayu juga salah alasan yang tidak dapat dielakkan. Insyaallah, tahun 2015, merupakan tahun akhir pengajian saya. Insyaallah, pada awal tahun hadapan, bermulalah tugas saya sebagai pendidik. Sudah hampir 3 tahun saya tidak mengajar, perasaan rindu dan excited itu tetap ada.
 
Mungkin jika anda membaca tajuk entry saya pada kali ini, mungkin ada banyak persoalan yang bermain difikiran anda. Secara jujur, walaupun saya sudah hampir 8 tahun bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Fotografi di UiTM Melaka, menggengam Sarjana dalam Visual Komunikasi dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang fotografi, mempunyai Diploma Fotografi dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam peringkat Doktor Falsafah membuat penyelidikan mengenai Visual Literasi: Visual Forensik, saya masih lagi menganggap diri saya seorang yang masih lagi belajar. Apabila bermulanya, saya sebagai pelajar di UKM, saya merasakan begitu besarnya ilmu, luasnya ilmu sehingga merasakan diri ini terlalu kerdil.
 
Lagi kerdil diri saya jika orang bandingkan saya dengan nama-nama hebat dalam industri, kadang-kadang saya tertanya kepada diri saya sendiri, adakah saya seorang jurufoto?. Saya bukan seorang Jurufoto kerana saya tidaklah mempunyai portfolio yang hebat, saya bukan seorang jurufoto kerana saya tidak mempunyai permintaan dalam industri, saya bukanlah seorang jurufoto kerana tiada hasil karya yang dipamerkan. Tetapi saya adalah Hamba kepada ilmu Fotografi. Saya berusaha untuk mendalami ilmu fotografi dan kemudiannya menyebarkan kepada mereka yang baru ingin mengenali bidang fotografi. Saya cuba memberikan satu martabat dan satu impian bahawa mereka mempunyai masa depan dan membina kerjaya dalam bidang fotografi.
 
Usahlah, dibandingkan saya dengan mereka yang hebat. Jauh di sudut hati saya, saya amat mengagumi, senior-senior saya yang berjaya. Jauh di sudut hati, mereka memang bertuah kerana dapat berkerja dan membina nama. Sebagai seorang junior dan senior, sudah semestinya saya tumpang bangga. Bukanlah niat dihati untuk tidak mahu terlibat dalam industri, tetapi kekangan masa membuatkan niat untuk membuat portfolio terbantut. Mungkin ada yang akan menganggap bahawa itu adalah alasan semata-mata, tetapi tugas sebagai pensyarah tidaklah semudah yang disangka, lagi-lagi tuntutan dan misi universiti yang sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada pelajarnya. Tugas sebagai pensyarah, bukanlah sekadar mengajar, malah adakalanya terlibat dalam kerja-kerja pentadbiran, kursus, bengkel, diwajibkan untuk membuat penyelidikan, malah Key Performace Indicator untuk kenaikkan pangkat menjadi semakin sukar. Memerlukan pensyarah menulis buku dan terlibat sebagai Consultant atau pakar rujuk. Janganlah dianggap berada dalam gred 45. 52 atau JUSA satu kelebihan, tetapi semakin tinggi gred anda, semakin besar dan berat tanggungjawab anda. Apatah lagi kini, dasar Universiti mengetatkan proses kenaikkan pangkat. Tidak disalahkan kepada pihak pengurusan atau kementerian, tetapi ini sudah menjadi tanggungjawab pensyarah agar sentiasa up to date, ilmu yang dimiliki dan menjadi inovatif. Persepsi yang memandang rendah terhadap keupayaan pensyarah menghasilkan work untuk dipamerkan atau mempunyai portfolio hebat dalam industri perlulah sedikit diubah.  
 
Sudah lama saya mengetahui, ada segelintir orang industri memandang rendah kepada kami. Malah ada diantara mereka dengan sinis menyindir dan memburukkan kami di hadapan bekas pelajar kami. Ada juga yang beranggap, pensyarah fotografi tidak mempunyai kelasnya yang tersendiri. Memang benar, mungkin kami tidaklah sepenting jika hendak dibandingkan dengan orang industri, tetapi kami tetap melaksanakan tugas kami jauh sekali untuk dihargai. Kami bertungkus lumus cuba memberikan yang terbaik, bertungkus lumus cuba menghasilkan work untuk dikongsi, tetapi ianya bukan satu tugas yang mudah. Insyaallah, saya cuba membina kerjaya saya, saya cuba membina ilmu saya untuk dikongsi kepada mereka yang memerlukan. Saya tiada masalah, malah menjemput dengan tangan yang terbuka.
 
Senario pendidikan sekarang, pelajar sekarang bukanlah seperti kita yang dulu. Dengan teknologi yang semakin mudah apatah lagi banyak imej-imej yang boleh diperoleh dari internet. Sesekali saya agak ragu-ragu dengan gambar yang diserahkan kepada saya oleh pelajar. Mereka sudah beranggapan, cukuplah dapat diploma, sebagai syarat. Bukannya mempunyai kehendak atau usaha yang kuat untuk mempelajar fotografi. Jujur saya berikan pandangan, kita tidak hanya mengajar pelajar dengan digital semata-mata, berikan juga mereka pendedahan dalam printing black n White, gunakan large format, belajar manual, bila ada pendedahan sedemikian, itu yang membezakan kita dengan jurugambar yang tiada pendidikan formal. Terus terang saya memberitahu anda, jika anda mahir menggunakan kamera filem dan belajar membuat printing gambar, sekaligus akan membuatkan anda memahami dan matang dalam aspek teknikal. Tanyalah pelajar sekarang mengenai Table of Aperture, walaupun sudah semester 6, adakalanya perkara yang paling asas tidak diambil berat. Biarkan mereka merasa duduk di bilik gelap sehingga tengah malam, biarkan mereka berada di studio sampai tengah malam, dan adakalanya tertidur di studio akibat terlalu letih. Itulah nikmatnya belajar fotografi. tanyalah kepada batch saya, senior-senior saya mengenai pengalaman itu. Satu memori yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.
 
Berbalik kepada senario sekarang, seperti yang saya katakan, pelajar tidak mempunyai roh dalam mencari ilmu. Meraka suka mengambil jalan yang mudah. Ijazah sekarang tidak menjamin kejayaan di industri. Industri memang melihat kepada skill dan pengalaman. Ijazah sebagai passport semata-mata. Jika anda ingin menyambung peringkat Sarjana dan PhD, tetapkan pendirian anda, ubah sikap untuk mencari ilmu. Jika anda fikir dengan adanya Sarjana dan PhD anda boleh hidup senang, dapat pangkat yang tinggi, anda lupakan saja. Seorang rakan saya yang mempunyai Sarjana, sehingga sekarang susah untuk mencari pekerjaan. Dia tidak mempunyai portfolio yang hebat dan masih tercari cari. Kita perlu ubah dan menganjak ke satu tahap dimana industri dan akademik bersatu. Tiada gunanya kita berbalah, industri kita masih lagi kecil. Terlalu ramai orang yang beranggapan diri mereka hebat kerana mempunyai pengikut. Bila ada pengikut mereka sudah menganggap diri mereka sebagai dewa. Inilah sebenarnya yang merosakkan bidang fotografi. mereka kebanyakkanya memberikan maklumat yang salah kepada pengikut mereka. Bila sudah terlalu banyak group-group fotografi sebegini. Ianya sedikit sebanyak merosakkan fenomena bidang fotografi sendiri. Dimanakah martabat kita sebenarnya?.
 
Saya tidak pernah percaya dengan hanya sebulan belajar fotografi, anda akan menjadi pakar. Untuk menjadi pakar bukan dalam masa yang singkat, bukan hanya di dalam kelas, tetapi anda praktikkan. Anda belajar dari pengalaman. Skill anda akan terbina sedikit demi sedikit hasil dari pengalaman. Skill tidak datang sendiri, tetapi skill datang dari kesilapan. Apabila ada kesilapan, anda akan belajar dan belajar. Jangan takut dan malu uploadkan gambar anda untuk dikritik. Apabila dikritik anda akan menjadi matang. Percayalah, anda akan menjadi jurufoto yang baik. Saya belajar foto dengan sedikit usaha, saya bukannya gifted. Saya tiada bakat yang semulajadi. Keluarga saya tiada seorang pun seorang jurufoto, saya tidak mengikut sesiapa. Tetapi saya belajar dari pensyarah-pensyarah dan pengalaman. Sampai satu tahap, saya memilih untuk menjadi pensyarah. Mengapa saya memilih pensyarah?. Sebab saya memang meminati teori dan pendidikan. Jadi, berilah saya sokongan dan peluang untuk menjadi pendidik yang baik.  
 
Untuk memertabatkan bidang fotografi, saya amat bersetuju sekiranya kita mempunyai satu badan yang boleh mengiktiraf professional kita. Saya pernah membincangkan perkara ini dengan MQA. Memang tiada jentera yang bergerak kearah itu. Jika kita mempunyai satu badan professional yang diiktiraf, sekaligus dapat memertabatkan bidang fotografi. Kita boleh mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan jawatan dalam professional fotografi. Jika mempunyai badan pengiktirafan, mungkin generasi akan datang beranggapan bidang fotografi sebagai bidang professional. Saya amat menantikan kerjasama semua untuk kita realisasikan impian itu. Untuk bergerak tidak boleh keseorangan, untuk bergerak akademik dan indsutri wajar bersatu. tetapi masalahnya disini, kita tidak mempunyai persatu yang kuat. Persatuan fotografi yang sedia ada, masih belum kuat kearah itu. Kita bina persatuan bukan untuk menunjukkan siapa yang hebat. tetapi kita bina persatuan untuk tunjukkan betapa jurufoto bersatu padu.
 
Akhir kalam, saya memohon maaf di atas penulisan saya jika ada mana-mana individu yang terasa hati. Bukan niat saya untuk mengkritik atau menjatuhkan sesiapa. Tegurlah..dan bimbinglah saya secara matang. Insyaallah, saya pasti akan mendengar. Salam Maghrib dan berjumpa lagi pada entry yang akan datang.
 
Wasalam
 
Nadzri Sharif
Seri Kelemak
7 Malam.
 

1 comment:

Anonymous said...

assalam..
matlamat ke arah jawatan profesional fotografi, itu sy setuju..
sy jg pernah fikir benda yg sama..
sygnya blum ade.. hihi