Followers

Friday 15 June 2018

TERIMA KASIH UiTM (Part 1)

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdullilah, hari ini sudah masuk hari kedua Hari Raya (16 Jun 2018). Hari raya tahun ini memang sibuk seperti kebiasaan. Melayan saudara mara yang tidak pernah gagal beraya di rumah saya saban tahun. Alhamdullilah, sememangnya hari raya ini sebagai platform merapatkan silaturahim. Sekali sekala bercerita, banyak kisah yang dikongsi. Ditambah dengan gelak ketawa dan gurauan. Memang meriah Hari Raya Tahun 2018. Alhamdullilah.... 

     Malaysia, kini dikatakan berada dalam gelombang perubahan "Malaysia Baharu" sejak kemenangan Pakatan Harapan pada bulan Mei lepas. Sebagai seorang ahli akademik, saya tidak boleh bersifat kepartian, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membuat analisis berdasarkan persekitaran semasa. Saya perlu bersifat neutral. Setiap komen yang diutarakan dari saya, perlu bersifat akademik. Inilah antara sebab mengapa saya sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun secara rasmi atau tidak. Semuanya adalah untuk memelihara nilai akademik ini. 

           Saya terpanggil untuk menerangkan secara mudah dan menjawab persepsi dan ulasan-ulasan rakyat yang tidak memahami perjuangan UiTM. Isu yang sedang hangat kini apabila ada badan NGO yang mencadangkan UiTM dibuka kepada semua rakyat tidak mengira bangsa. Ada sesetengah orang MELAYU berhujah dengan fakta dengan berakata sudah sampai masanya pintu UiTM dibuka kepada semua. Ada juga yang cuba memberikan pandangan menjengkelkan apabila mempersoalkan mengapa UiTM tidak berada di atas ranking yang hebat setanding dengan UKM atau UM. Malah ada juga yang cuba membandingkan UiTM dengan Universiti terkemuka diluar negara dan mempersoalkan kredibiliti pensyarah di UiTM. Insyaallah, saya cuba memberikan penjelasan mudah sebagai RAKYAT BIASA yang tidak berlandaskan kepada perlembagaan atau sebagainya. Saya memberikan pandangan sebagai salah seorang rakyat Malaysia biasa dan sebagai ahli keluarga UiTM. Ini merupakan pandangan peribadi saya semata-mata. Mohon pembaca dapat membaca dengan hati terbuka. 

              Sebelum saya mengulas lebih panjang, saya ingin ceritakan kisah saya sebentar. Saya meninggalkan sekolah saya dengan keputusan SPM yang tidak berapa baik. Saya mempunyai masalah sejak dari sekolah rendah lagi, saya tidak pernah lulus MATEMATIK dan BAHASA INGGERIS. Saya adalah pelajar aliran sastera, yang dahulunya masyarakat berpandangan pelajar aliran sastera ini tidak mempunyai peluang yang besar untuk melanjutkan pengajian di IPTA. Kenapa saya amat mengharapkan IPTA?. Pertamanya, pencen abah saya tidak sampai RM 700 sebulan dan emak saya seorang surirumah. Sudah pasti mereka tidak mampu membayar yuran universiti swasta dan Universiti penyelidikan seperti UKM,UM dan USM. Apabila saya memperoleh keputusan SPM yang tidak berapa baik, saya termenung sebentar, apa peluang yang saya ada?. Alhamdullilah, guru seni saya Puan Lina telah bercerita mengenai UiTM dan program Seni Lukis dan Seni Reka yang ditawarkan. Dari situ saya cuba mengenali UiTM. Ketika itu, jaringan internet tidaklah sebaik kini. Sehinggalah saya mengisi borang UPU. Berdasarkan keputusan SPM saya, saya tidak mempunyai banyak pilihan. Akhirnya Diploma Fotografi menjadi pilihan saya. Hendak diikutkan, saya sendiri tidak pernah tahu apa itu Diploma Fotografi. Tetapi demi Abah dan Emak, saya mendaftarkan diri juga. Alhamdullilah, yuran ITM sangat murah ketika itu hanya sebanyak RM90.00 satu semester. Diberikan kemudahan kolej dan makan minum secara percuma. 

             Kisah saya ini merupakan salah satu dari ribuan kisah anak-anak yang cuba mencari peluang belajar di menara gading. ITM ketika itu, memberikan saya peluang yang tidak pernah saya termimpi dapat menjejakan kaki disitu. ITM membantu saya untuk memberikan peluang kepada saya untuk memperbaiki prestasi saya yang semasa sekolah dahulu bukanlah seorang pelajar yang cemerlang. ITM membantu saya mengasah skill dan menunjukkan peluang-peluang yang boleh saya ambil sungguhpun saya tidak cemerlang ketika berada disekolah dahulu. Memang dahulu orang tidak memandang ITM kerana berpandangan ITM merupakan institusi kelas kedua. Tetapi semuanya berubah apabila Dato' Seri Dr Mahathir (Perdana Menteri Ke-4) telah mengumumkan ITM telah dinaiktaraf sebagai Universiti pada tahun 1999. Saya masih teringat lagi pengumuman tersebut diadakan di Stadium Tertutup di Shah Alam. Masa itu, kami semua sangat bergembira dan amat berbangga dengan pengumuman tersebut. Masih lagi teringat, kami menyanyikan lagu Wawasan Setia Pelajar ITM dengan sangat bersemangat. Sedar atau tidak dah hampir 19 tahun peristiwa keramat itu berlangsung. Sejak bergelar Universiti, Baru lah ada NGO-NGO atau pihak-pihak yang berkaitan cuba mendesak kerajaan membuka pintu. Ini jelas menunjukkan kredibiliti UiTM dan perjuangan UiTM dalam mendidik anak-anak Melayu dan Bumiputera sudah mula diiktiraf. 

               Memang, saya sangat berbangga sebagai alumni UiTM. Kemana saya pergi, saya tidak pernah malu mengakui saya merupakan bekas graduan UiTM dan kini telah menjadi ahli keluarga UiTM. UiTM mengubah hidup saya, memberikan peluang kepada saya sehingga saya berada pada tahap ini. Jasa UiTM tidak akan saya lupakan. Saya tidak akan MENGKHIANATI UiTM dan sedia berkhidmat dengan ikhlas untuk membantu generasi muda ini berjaya. Masyarakat yang sering mengeluarkan kenyataan menjengkelkan tidak memahami prinsip penubuhan UiTM. Kami tidak bersifat rasis, tetapi UiTM ditubuhkan untuk membantu orang-orang melayu seperti saya ini dan bumiputra bagi mengimbagkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat melayu untuk sama-sama duduk sama tinggi dan rendah dan berjaya dengan bangsa lain. Mengapa, masyarakat melayu ini perlu dibantu?. Sejarah menunjukkan, Penjajah British yang merosakkan sosial masyarakat Tanah Melayu apabila sengaja menempatkan masyarakat Melayu diluar bandar, Masyarakat India di estet-estet dan masyarakat cina dibandar-bandar. Mengapa penjajah British berbuat sedemikian?. Semuanya dilakukan dengan alasan tidak mahu bangsa melayu ini bangkit dan lahir cerdik pandai yang boleh menyusahkan mereka. Mereka tidak mahu Bangsa Melayu ini bangkit menuntut kemerdekaan. Saya amat kagumi perjuangan tokoh-tokoh perjuangan melayu yang bersusah payah mengharungi cabaran untuk mengeluarkan bangsa melayu dari cengkaman british. Disitu fungsi UiTM...merapatkan jurang ini agar masyarakat melayu dan bumiputera dapat duduk setanding dengan bangsa-bangsa lain. UiTM juga memperbetulkan kemabli sosial masyarakat kita yang sebelum ini dirosakkan oleh British.  

         Tun Dr Mahathir Mohamed pernah kecewa dengan sikap orang-orang Melayu terlalu bergantung dengan kerajaan. Malah ada orang-orang Melayu yang berjaya sudah lupa daratan mementingkan diri mengaut kekayaan dan memeras tenaga bangsanya sendiri. Ada orang Melayu yang alpa hanya tahu merungut, masih bersikap malas dan hanya mahu membuat kerja senang dengan tidak mahu berusaha lebih. Memang perit kenyataan ini, tetapi itulah hakikat yang sedang dihadapi dalam kelompok orang-orang Melayu. Secara jujur, pengalaman saya yang sudah 12 tahun berkhidmat dalam UiTM, saya masih lagi menghadapi sikap pelajar-pelajar Melayu yang mengambil sikap sambil lewa dan tidak serius. Berapa ramai pelajar melayu yang kecundang dalam pelajaran yang menyalahkan sistem UiTM walaupun kegagalan itu berpunca dari sikap mereka sendiri.Berapa ramai pelajar melayu yang bercinta dan hilang fokus tengelam dalam perasaan mereka sehingga melupakan keluarga dan kecundang. Berapa ramai pelajar melayu yang tidak suka ditegur, berdegil, membenci pensyarah, tidak mahu menerima tunjuk ajar dan ego. Semuanya sikap-sikap di atas menunjukkan anak-anak melayu kita tidak mampu bersaing, Mereka tidak seperti anak-anak Cina dan india yang bersungguh-sungguh di alam Universiti. Mereka sanggup duduk berjam-jam di perpustakaan, menelaah pelajaran, membuat study group dan sanggup menghabiskan duit untuk kerja-kerja assigment. Adakah anak melayu ini bersedia dengan persaingan dengan bangsa-bangsa lain?. jawapan jujur saya TIDAK. Bukan bermaksud saya mahu memalukan bangsa saya sendiri. Tetapi itu lah hakikat dan realiti. UiTM yang tanpa mengenal erti penat dan jemu memastikan agar anak-anak melayu ini berjaya. UiTM memberikan peluang kepada anak-anak melayu ini dan UiTM juga yang mematangkan anak-anak melayu ini. Mereka tetap diberikan peluang walaupun keputusan peperiksaan anak-anak Melayu ini sangat teruk.  UiTM yang membantu memberikan petunjuk jalan  dan perjalanan masa depan kepada anak-anak Melayu ini. 

                 Kita selalu dikaitkan dengan persepsi "JANJI MELAYU" yang tidak boleh dipercayai. Pelajar Melayu sangat tidak menepati masa. Kelas yang dimulakan pukul 8.00 pagi umpama satu beban. Malah ada pelajar melayu dinaikkan ke tatatertib dan memberikan alasan tidak boleh bangun pagi. Ada pelajar melayu yang tidak datang ke kelas kerana dibuai mimpi indah. Pelajar melayu ini datang kelas mengikut masa mereka sendiri. Tidak menghormati pensyarah yang sudah memulakan kelas. Mereka tidak ada rasa bersalah dan tidak bertanggungjawab. Pelajar Melayu tidak suka mengikut peraturan. Setiap peraturan yang diarahkan mempunyai sebab yang tersendiri. Setiap peraturan memastikan pelajar dididik dengan situasi pekerjaan yang sebenar dan berdisiplin. Peraturan mudah pun dianggap satu beban besar. Itulah sikap pelajar kita. Belum lagi saya bercerita mengenai assigment. Ada antara mereka yang malas menyelesaikan tugasan, bersikap tangguh, tidak pandai mengambil peluang. Inilah cabaran kami warga pensyarah UiTM untuk terus mengajar dan mendidik dalam cara yang profesional. Kami mempunyai sistem yang sangat baik tetapi perlu juga masa untuk mengubah pelajar-pelajar Melayu ini menjadi terbaik. Cuba tuan/puan fikirkan, apa akan jadi nasib anak-anak melayu sekiranya UiTM memperketatkan syarat kemasukkan dengan hanya mengambil pelajar yang cemerlang?. Apa yang akan terjadi sekiranya UiTM hanya menumpukan kepada strategi mengejar ranking semata-mata. Saya sangat mempercayai nasib anak-anak melayu ini tidak akan terbela. Pendek kata UiTM terpaksa berkorban, terpaksa menghadapi persepsi masyarakat yang tidak pernah memahami perjuangan UiTM dan terpaksa bekerja keras bagi memastikan pelajar-pelajarnya keluar berjaya dengan bergaya. Ini bukan satu tugas yang mudah..malah ianya merupakan tanggungjawab yang sangat hebat yang perlu dipikul oleh warga pensyarah. Kami sama sekali tidak pernah beranggapan ia satu beban, tetapi kami anggap sebagai tanggunjawab kerana kami sayangkan UiTM. 

                 UiTM berada dalam kelasnya sendiri. Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dato' Hassan Said, di bawah pimpinan beliau begitu bekerja keras bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan UiTM. UiTM perlu cemerlang dalam akademik dan cuba menempatkan diri setanding dengan Universiti lain di dunia. Tetapi UiTM tidak boleh melupakan tanggungjawab sosial. Kepuasan dan kejayaan UiTM ialah apabila ramai graduan menempa nama dipersada dunia, UiTM mempunyai sistem yang besar. Mempunyai 14 cawangan di seluruh negara, kami mempunyai graduan jumlah yang besar, kami mempunyai nama-nama besar di merata-rata dunia. Cuba kita selidik latar belakang ramai tokoh-tokoh terkemuka. Boleh dikatakan kebanyakkan mereka adalah berdarah dari UiTM. Tetapi apa yang paling membanggakan kami. ANAK_ANAK MELAYU DAN BUMIPUTRA YANG BERSAING DAN BERJAYA. 

                    Apabila saya melawat UiTM Sungai Buloh, saya amat berbangga dengan fasiliti Fakulti Perubatan UiTM. Fasiliti yang sangat hebat dan bertaraf dunia. UiTM mempunyai private hospital yang begiti cantik. Fakulti pergigian yang sememangnya antara yang terbaik di Malaysia. Kemudahan di UiTM puncak alam sangat mengagumkan. Fakulti undang-undang yang sememangnya melahirkan ramai peguam hebat, Fakulti Perakaunan yang merupakan antara yang terbaik dan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka yang merupakan antara fakulti dalam bidang seni yang memiliki graduan pengajian peringkat Master dan PhD yang cukup ramai. UiTM mempunyai kekuatan yang tersendiri. Sudah sampai masanya UiTM perlu visibiliy kejayaan dan kehebatan ini. Bukan untuk berbangga, tetapi menutup mulut mereka-mereka yang sering memberikan persepsi negatif ini. Saranan dari Pimpinan UiTM perlu diambil perhatian oleh semua warga UiTM.

                   Insyaallah, saya akan menulis dan berkongsi dengan tuan-puan dalam sesi akan datang berkenaan pengorbanan UiTM dan mengapa kami sama sekali tidak bersetuju UiTM dibuka. Memang benar, kita hidup dalam masyarakat majmuk. Saya tidak bersikap rasis. Saya menghormati semua bangsa-bangsa lain di tanah ini. Cuma saya memohon, janganlah cuba menganggu Institusi Raja-Raja Melayu dan UiTM kerana inilah maruah kami. Maruah yang perlu dipertahankan. Sejarah jelas menunjukkan Orang Melayu adalah Orang yang berbudi, tinggi budi bahasanya. Kami mahu hidup dalam keadaan harmoni, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain. Hormatilah apa yang saya sebut sebagai MARUAH ini. Janganlah sesekali dipersoalkan dan cuba diganggu gugat. Air yang tenang janganlah di Kocakkan. Janganlah menguris perasaan dan menganggu MARUAH ini. Hormatilah hak dan peranan masing-masing. Insyaallah Malaysia akan terus berjaya dan berada dalam landasan kejayaan menuju ke aras Negara Maju... Insyaallah 

                   Bertemu kita lagi dalam posting yang akan datang. Salam Hormat.    


                       

No comments: