Followers

Thursday 8 January 2015

DIMANA TEMPATNYA PELAJAR FOTOGRAFI DALAM INDUSTRI. SALAH SIAPA?.

Assalamualaikum W.B.T

Tajuk ini mungkin agak kontroversi, tetapi saya bukanlah seorang yang gemarkan kontroversi atau mencari publisiti dengan mengeluarkan entry sebegini. Sahabat-sahabat yang mengenali saya tahu, siapakah diri yang sebenar. Saya lebih suka bersikap Low Profile dan tidak terlalu menonjolkan diri. Sebelum kita berbicara mengenai isu ini, saya cuma berikan sedikit brief mengenai pengalaman saya dalam bidang akademik. Saya telah bertugas dan menjadi ahli keluarga UiTM sejak dari tahun 2006. Saya pernah dipertanggungjawabkan sebagai salah seorang daripada ahli yang mengubal silibus. dan kini saya telah diberikan kepercayaan sebagai Pakar Rujuk MQA. Sudah ramai bekas-bekas pelajar saya sehingga ada diantara mereka kini merupakan pensyarah dan menjadi ahli keluarga UiTM Melaka. 

Apabila kita membicarakan isu ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya, kemana perginya pelajar fotografi?. Mengapa nama dan kedudukan mereka tidak gah dalam industri seperti jurugambar yang saya hormat, Ada juga, nama-mana besar ini tidak pernah menerima pendidikan formal iaitu mempunyai diploma atau ijazah dalam bidang fotografi. Ada juga persoalan, mengapa pelajar fotografi tidak mempunyai kekuatan dan pengetahuan dalam keusahawanan dan tidak mempunyai kekuatan untuk bersaing dengan nama-nama besar itu. Jika kita renung kembali, ada benarnya persoalan ini. Saya sendiri tercari-cari, dimana mereka ini selepas bergraduat. 

Sebelum saya, membincangkan dengan lebih lanjut, perlu untuk saya mengupas sedikit mengenai mengenai kokurikulum dan silibus fotografi yang telah digubal oleh tenaga akademik atau pensyarah fotografi di UiTM. Kokurikulum yang dirangka merupakan satu rekabentuk kokurikulm yang mengambil aspek pengetahuan, praktikaliti, keusahawanan dan multi tasking. Contohnya, peringkat diploma mempunyai penanda aras (JSU) lebih rendah daripada pelajar ijazah. Pelajar diploma mempunyai peratusan yang lebih banyak dalam teknikal. tetapi pelajar degree pula lebih banyak kepada Creative thinking, membuat interpretasi dan teori. Tidak dapat saya nyatakan secara terperinci disini kerana ianya merupakan dokumen sulit. Walaubagaimana pun, ada kursus yang menumpukan kepada keusahawanan, pilihan bahasa ke tiga (seperti jepun, jerman, mandarin dan france), ada juga subjek-subjek liberal. subjek praktikaliti, studio, teori, kaedah penyelidikan dan sebagainya. Pendekkata, semua elemen-elemen untuk mempersiapkan diri pelajar2 fotografi untuk menghadapi industri sudah tersedia. Malah, silibus ini sentiasa ditambah baik dan diperbaiki kekurangannya. Untuk pelajar memahami industri fotografi. Ditambah lagi latihan industri selama 6 bulan di mana-mana agensi, bahagian, kerajaan, swasta untuk mereka mempraktikan dan membiasakan diri dengan industri. 

Semuanya sudah tersedia kepada pelajar-pelajar UiTM. Mungkin kita boleh merujuk dengan kolej swasta seperti Lim Kok Wing, MSU, MMU dan lain-lain yang saya percaya cuba mereka bentuk silibus kursus fotografi yang terbaik. apatah lagi semua IPTA dan IPTS kerajaan akan dipantau rekabentuk silibus oleh badan berkecuali iaitu MQA. MQA merupakan satu agensi autonomi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang mempunyai kuasa untuk memberikan pengiktirafan. MQA telah memberikan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh IPTA dan IPTS dalam merekabentuk kursus. UiTM sudah pasti tertakluk di bawah pengawasan MQA. Jadi, kita tidak boleh menyalahkan silibus sepenuhnya. 

Salah satu punca, mengapa pelajar fotografi tidak dikenali dalam industri ialah minat. Saya sebenarnya, agak terkilan pada mulanya, kerana ada sesetengah pelajar yang memohon masuk Diploma Fotografi tidak mempunyai minat dan sedikit pengetahuan dalam bidang ini. Sudah ramai saya menemu duga. Kebanyakkan dari mereka tidak tahu dan mempunyai arah yang jelas mengapa mereka memilih kursus fotografi. Ada di antara mereka memohon kursus lain seperti grafik dan IDE, tetapi entah bagaimana, mereka telah dicampak ke kursus fotografi. Apabila minat tiada, mereka hilang roh nya. Mereka cuma belajar setakat menepati syarat lulus. Ini amat berbeza dengan jurugambar di luar sana. Mereka sangguip bayar beratus malahan beribu ringgit untuk menyertai bengkel. Menghabiskan wang untuk keluar mencari jobs dan work. Sanggup explore teknik-teknik baru. Ini adalah kerana jurugambar yang tidak mendapat pendidikan formal mempunyai minat dan roh dalam fotografi. Saya ceritakan satu situasi yang benar-benar berlaku ketika penganjuran Bengkel Pemantapan Fotografi Siri (2) 2014. Saya ada menawarkan kepada pelajar untuk menyertai bengkel tersebut dengan cuma bayaran RM 100.00 sahaja. Pelajar lebih suka duduk dirumah menikmati cuti semestar dan seorang pun tidak berminat menyertai bengkel ini. Adakah ini perlu disalahkan Universiti dan Tenaga akademik.?. Sudah bermacam cara dibuat untuk meningkatkan minat pelajar. tetapi sayang seribu kali sayang..

Punca kedua, ialah masa, bukan tiada pelajar fotografi yang cemerlang, tetap ada. Ada diantara mereka mempunyai nama dalam bidang video dan bekerja dengan agensi tempatan mahupun antarabangsa. Tetapi, mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mereka dikenali seperti jurgambar termasyhur yang lain. Ada diantara mereka cuba untuk menimba pengalaman sebelum menunaikan hasrat membuka studio atau agensi. Kursus fotografi di Melaka sebagai contoh, masih terlalu baru. Mungkin masa akan datang, nama mereka pasti akan dikenali. Bukan maksudnya mereka tidak berusaha, Tetapi cabaran tu tetap ada.

Industri Fotografi di Malaysia masih terlalu kecil. Kita tidaklah sebesar jika hendak dibandingkan dengan benua Amerika, Eropah atau negara-negara Asia seperti Singapura, Korea, Jepun, China dan lain-lain. Kebanyakkan Agensi, Jabatan Kerajaan ataupun swasta melihat industri fotografi ini masih lagi kecil. Rata-rata masyarakat Malaysia hanya mengenali jurugambar perkahwinan. Ada di antara mereka telah mengangkat jurugambar perkahwinan sebagai prestij. Mengapa ini berlaku?. Mengapa mereka tidak mengenali jurugambar daripada bidang-bidang lain. Jawapan nya adalah, jurugambar perkahwinan paling mudah mendapat bayaran, jobs ataupun permintaan berbanding dengan bidang-bidang lain. Pendedahan kepada pelajar amatlah kecil. Ada seorang rakan saya berkongsi kepada saya, jika studio fotografi mengkhususkan kepada job advertising semata-mata, mungkin agak sukar untuk studio tersebut bernafas. Jadi hendak atau tidak, beliau terpaksa mempelbagaikan business profile nya termasuk menawarkan video korporat, consultation dan sebagainya. Jika pelajar fotografi ingin membuka studio, mereka perlu mencari pengalaman dengan senior-senior yang sudah membina nama. Mencari linkage dan pelanggan. Ini bukan satu tugas yang mudah. Jujur saya katakan, syarikat-syarikat besar kini mempunyai department dan jurufoto mereka sendiri. Jika tiada sekalipun, mereka lebih gemar memilih nama-nama besar fotografi. Jadi pembinaan portfolio dan pengaruh itu menjadi sangat penting, Dalam konteks ini, penting pelajar fotografi mempelbagaikan kemahiran yang ada.

Jika kita melihat sektor awam pula, gred jawatan tertinggi jurugambar setinggi B38. Kumpulan perkhidmatan jurugambar adalah kumpulan sokongan dan skim mereka di bawah skim bakat. Seorang jurugambar Gred 17 menerima gaji permulaan RM 936.00 dengan kenaikkan tahunan sebanyak RM95.00 sahaja. Bagi Gred 38 pula menerima gaji RM 3,430.00 dengan kenaikkan tahunan sebanyak RM 180.00 sahaja. Jawatan jurugambar dalam kerajaan tidak mempunyai kumpulan Pengurusan dan Profesional. Ini amat menyedihkan. Ini juga satu faktor mengapa pelajar lepasan diploma tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan. peluang mereka tidak luas. Jurugambar yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda tidak diberikan kelebihan kerana kumpulan jawatan bagi Gred 41 ke atas tiada. Ini juga merupakan faktor mengapa pelajar lulusan fotografi menukar arah bekerja dalam bidang yang bukan apa yang mereka pelajari semasa di Universiti.

Kesimpulannya, kita memerlukan tindakan segera bagi memastikan agar lepasan graduan lulusan fotografi mempunyai masa depan kerjaya yang cerah. Banyak yang perlu kita perbetulkan dan berusaha meningkatkan permintaan industri terhadap graduan fotografi. Pelajar Fotografi telah di ajar pelbagai skills. Telah dibantu untuk berusahawan dan sebagainya. Peluang perlu diberikan kepada mereka bagi memastikan graduan ini tidak malap. Untuk makluman, bukan UiTM sahaja yang mengeluarkan Graduan dalam bidang fotografi. UNISEL, Lim Kok Wing, MMU, Kolej Segi dan banyak institusi lain juga mengeluarkan graduan dalam bidang fotografi. Ini bermakna, lambakan graduan memang berlaku. Saya amat khuatir, jika perkara ini tidak dibendung, graduan kita akan mempunyai masalah untuk mendapatkan pekerjaan jika Industri bidang fotografi mulai tepu. Bersama-samalah kita mencari jalan dan bertukar-tukar pandangan demi generasi kita pada masa akan datang .

Nadzri b. Mohd Sharif
Seri Kelemak
9 Januari 2014
11.11 a.m 

1 comment:

Admin said...

Tahniah atas penulisan yang membuka minda.
Benar, pelajar perlu diterapkan semangat keusahawanan,
bijak mencari peluang dan boleh berdiri atas kaki sendiri..

Selamat berjuang warga jurugambar semua.