Followers

Saturday 17 November 2012

ASAL USUL KESULTANAN SELANGOR


Sejarah Kesultanan Melayu Selangor bermula di Kuala Selangor. Ketiadaan ketua kaum di Kuala Selangor pada ketika itu telah menimbulkan keinginan  orang Perak dan Kedah untuk menjadi Penghulu di kawasan itu. Malangnya tiada seorang pun daripada mereka telah diterima baik oleh penduduk tempatan. Keadaan ini sangat berbeza daripada kedatangan Raja Lumu yang telah disambut baik dan diiktiraf menjadi yang Di Pertua Negeri Selangor yang pertama.

Mereka yang datang ke kawasan itu hanya dibenarkan untuk meneroka tanah baru dan membuat kediaman di sepanjang pinggir Sungai Selangor. Sehingga kini masih lagi terdapat beberapa buah kampung mengikut nama negeri atau tempat asal peneroka ini. Umpamanya Kampung Kedah, Kampung Siam, Kampung Asahan, dan Kampung Kuantan.

 SEJARAH AWAL KESULTANAN SELANGOR

Peranan orang Bugis di dalam sejarah Malaysia cukup penting sekali. Hal ini bermula daripada perbalahan dalaman Kesultanan Johor Riau Lingga. Pada waktu itu, Raja Kechil memerintah Johor Riau-Lingga. Baginda mendirikan pusat pemerintahan di Siak, Sumatra. Ini menyebabkan Daeng Loklok, iaitu orang Bugis, bergelar Bendahara Husain, ingin mengambil alih tampuk pemerintahan Johor tetapi hasratnya tidak dipersetujui oleh Raja Kechil. Untuk mendapatkan sokongan bagi menjayakan hasratnya itu, Daeng Loklok kemudiannya menemui Raja Sulaiman untuk menggunakan pengaruh baginda bagi mendapatkan bantuan daripada lima adik-beradik Raja Bugis, iaitu Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak, dan Daeng Kemasi.

Sebaik-baik sahaja Raja Bugis menerima utusan daripada Raja Sulaiman, tujuh buah armada perang Bugis terus menuju Riau untuk menyerang Raja Kechil. Dalam serangan itu, Raja Kechil telah ditumpaskan dan baginda melarikan diri ke Lingga pada tahun 1728 bersamaan tahun 1134H. Sebagai balasan, Raja Sulaiman bersetuju untuk melantik Raja-raja Bugis  menjadi Yamtuan Besar atau Yang Di-Pertuan Muda bagi memerintah Johor, Riau, dan Lingga.

Selepas mendapat tahu yang Riau jatuh ke tangan Raja Kechil semula, Raja Bugis telah datang ke Selangor untuk mengumpulkan bala tentera  dengan tujuan untuk menyerang Raja Kechil. Raja Bugis dengan 30 buah armada perangnya menuju Riau untuk menawannya kembali. Dalam perjalanan ke Riau, mereka telah menawan Linggi, sebuah daerah di Negeri Sembilan yang pada ketika itu dikuasai Raja Kechil. Apabila mendapat tahu tentang penaklukan itu, Raja Kechil segera ke Linggi untuk menyerang balas.

Angkatan tentera Bugis telah berpecah dengan 20 buah daripada kapal perangnya meneruskan perjalanan  ke Riau dan diketuai oleh tiga orang daripada lima adik-beradik Raja Bugis.Raja Sulaiman dari Pahang turut datang memberikan bantuan untuk menawan Riau semula. Dalam peperangan ini mereka telah berjaya menawan Riau semula. Raja Sulaiman dan Raja Bugis kemudiannya  telah mendirikan kerajaan bersama.

Kegagalan mempertahankan Riau dan menawan Linggi semula daripada tangan Bugis menyebabkan  Raja Kechil kembali ke Siak.  Pada tahun 1729, Bugis sekali lagi menyerang Raja Kechil di Siak semasa Raja Kechil ingin memindahkan alat kebesaran Diraja Johor, iaitu sebuah meriam, ke Siak. Setelah berjaya mengambil alat kebesaran tersebut semula, Raja Sulaiman kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Johor dengan membawa gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang memerintah Johor, Pahang, Riau, dan Linggi.

Sultan Sulaiman telah melantik Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Riau. Kemudian adik perempuan baginda, Tengku Tengah, dikahwinkan dengan Daeng Parani yang mangkat di Kedah semasa menyerang Raja Kechil di sana. Seorang lagi adik Sultan Sulaiman, Tengku Mandak, dikahwinkan dengan Daeng Chelak (1722-1760) yang dilantik sebagai Yamtuan Muda II Riau pada tahun 1730-an. Kemudian anak Daeng Parani, iaitu Daeng Kemboja, dilantik menjadi Yamtuan Muda III Riau (yang juga memerintah Linggi di Negeri Sembilan).

Anak Daeng Chelak, Raja Haji, telah dilantik sebagai Yamtuan Muda IV Riau. Baginda yang hampir dapat menawan Melaka daripada Belanda pada tahun 1784  mangkat setelah ditembak dengan peluru Lela oleh Belanda di Telok Ketapang, Melaka. Baginda dikenali sebagai Almarhum Telok Ketapang.

Pada tahun 1730-an, seorang Bugis bernama Daeng Mateko yang berbaik-baik dengan Raja Siak  mengganggu ketenteraman Selangor. Ini menyebabkan Daeng Chelak dengan angkatan perang dari Riau datang ke Kuala Selangor untuk menangani keadaan ini. Daeng Mateko dapat dikalahkan dan beliau kemudiannya  melarikan diri ke Siak. Semenjak itu Daeng Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor.

Pada tahun 1742 Daeng Chelak ke Kuala Selangor dan beliau bersama-sama dengan orang Bugis melancarkan serangan ke atas   Perak. Beliau tinggal beberapa lama di Perak sebelum berpindah ke Selangor semula. Semasa berada di Kuala Selangor, Daeng Chelak  telah diminta oleh penduduk setempat supaya terus menetap di situ sahaja. Pada ketika inilah  rombongan daripada Riau memanggil Daeng Chelak pulang ke Riau. Walau bagaimanapun, Daeng Chelak telah meminta salah seorang puteranya, iaitu Raja Lumu, datang ke Kuala Selangor. Daeng Chelak akhirnya mangkat pada tahun 1745.

Perhatian : 

Maklumat ini adalah maklumat berdasarkan penyelidikan,Hak cipta maklumat ini adalah terpelihara.Sebarang penggunaan maklumat ini perlu mendapatkan kebenaran penulis,

 BIOGRAFI KENANGAN ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH AL HAJ: 
NADZRI B HJ MOHD SHARIF

No comments: